TIADA LAGI BUDIBICARAMU




Salam,

Semalam saya terpanggil dan tersentak dengan pertuduhan satu kes BPR yang dikemukakan di mahkamah semasa saya seperti biasa menghabiskan masa mengasah skil menunggu saya. Lelaki India yang kelihatan innocent tersebut dituduh memberikan rasuah RM 20 kepada seorang polis trafik. Saya terfikir saya mungkin tersalah dengar atau pertuduhan tersalah dibaca, namun tidak, jumlah yang terlibat memang RM 20.

Saya menyambung mendengar prosiding dengan penuh minat. OKT yang tidak diwakili terus mengaku salah. Lebih menarik apabila fakta dibacakan, OKT nampaknya dikatakan memberikan RM 20 itu kepada polis trafik untuk melepaskan adik beliau yang ditahan menaiki motorsikal tanpa lesen. Rayuan OKT lebih menarik kerana beliau mendakwa; "kenapa polis tu ambil duit yang saya offer? Kalau tak, tidak jadi satu kesalahanlah".

Pendakwa raya mempunyai kuasa segah namanya. Perlembagaan persekutuan yang memberikan kuasa dan disokong oleh CPC. Kuasa mendakwa, menarik balik dan memberhentikan pertuduhan hanya ada pada pendakwa raya semata-mata. Sudah menjadi lumrah semakin tinggi kedudukan kita, maka semakin kuat dugaan dan cabarannya. Begitu juga semakin besar kuasa yang kita ada, maka semakin tinggi kewarasan dan pertimbangan bijak yang dituntut.

Saya selalu beranggapan bahawa pendakwaan adalah ibarat filter terbaik antara pihak penguatkuasa dan mahkamah. Tapisan yang dibuat dengan bijak dan berlandaskan undang-undang yang diimbangkan dengan budibicara akan menghasilkan pendakwaan yang mantap. Kes-kes yang sampai di mahkamah adalah yang genuine, mempunyai keterangan mencukupi dan winnable. Pendek kata, doktrin "let the court decide" tidak mendapat tempat dalam kamus tugasan pendakwaan.

Barangkali ada tindakan lain yang lebih sesuai dan setimpal bagi kesalahan berskala kecil seperti di atas. Penjawat awam contohnya mungkin sesuai digantung atau dibuang kerja berbanding dituduh di mahkamah. apabila dituduh di mahkamah pelbagai "hukuman sebelum hukuman" menanti. OKT direman, mendapat malu, kerugian masa, kerugian wang untuk jaminan, perbelanjaan guaman dan macam-macam lagi mehnah dan tribulasi.

Pihak polis pun yang ditawarkan wang rasuah itu mungkin boleh berlaku adil dengan menangkap saja OKT ini dan melokapkannya semalaman sebagai pengajaran. Rasuah walau seringgit pun salah. Yang berbillion itu sudah tentu lagilah salah. Itu bukan isunya disini. Apa yang menjadi tandatanya adakah budibicara sudah luput dari checklist wajib sebelum sesuatu pertuduhan dibuat?

Adakah hanya buku dan peraturan yang kaku dirujuk? Jika ada kesalahan, maka terus pertuduhan dibuat. Tidak ditimbangkan setimpalkah hukuman penjara dan denda minimum RM 10,000 bagi memberi rasuah RM 20? Ataupun budaya takut sudah mencengkam di mana sikap memilih jalan mudah (play safe) lebih diutamakan, berbanding keberanian untuk membuat keputusan berdasarkan budi bicara yang munasabah? Tiada siapa mencabar kuasa pendakwaan disini. Apa yang ditagih adalah sedikit keseimbangan antara apa yang tersurat (on paper) dengan apa yang tersirat (budibicara).

Barangkali peruntukan hukuman wajar memberikan lebih budibicara kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman agar selari dengan skala kesalahan. Contoh terbaik adalah memberikan pilihan alternatif penjara seumur hidup kepada hukuman mati bagi Seksyen 39B kerana ada kes-kes yang mungkin lebih sesuai dihukum selain dicabut nyawa OKT. Begitu juga kesalahan kes BPR meniadakan hukuman minimum denda agar contohnya kesalahan rasuah RM 20 didenda RM 200 dan kesalahan komisyen berbillion didenda berbillion juga.

Sedarlah bahawa kita ini manusia bukannya robot. Oleh kerana itulah manusia-manusia dan bukannya komputer atau mesin diletakkan sebagai pendakwaraya, hakim, peguam dan sebagainya agar akal yang dikurniakan sang pencipta dapat memandu kita membuat keputusan yang adil dan sesuai dengan hal keadaan kes. Wassalam.

Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA