BUKAN KU TAK SUDI

Assalam,

Saya terbaca tulisan di alam cyber berkenaan 10 sebab utama mengapa seorang peguam tidak menjawab panggilan telefon dari seseorang anakguam. Ini juga merupakan komplen utama anakguam terhadap peguam beliau, iaitu sukarnya menjawab panggilan telefon. Menarik tulisan itu kerana ada yang sama dengan pengalaman saya dan ada juga yang tidak sama malahan yang agak kasar juga. Biar saya kongsi apa pula sebab saya sendiri tidak menjawab panggilan telefon anakguam. Walaupun saya akui komunikasi dengan anakguam sangat mustahak, terkadang tidak terangkat juga dek sebab-sebab tertentu. Inilah alasan-alasannya;

Pertamanya, saya berada dalam mahkamah. Tidak kiralah samada saya sedang berhujah, sedang menunggu sampai kematu kes dipanggil atau sedang mengisi masa berFB, hakikatnya saya dalam mahkamah. Ini bermakna 100% panggilan anda tidak akan diangkat. Tidak mungkin saya memberi isyarat tunggu sebentar kepada hakim dan menjawab serta-merta panggilan tersebut. Apatah lagi jika panggilan itu menggunakan talian tetap, lagilah bermasalah kerana saya tidak boleh membalas dengan sms. Janganlah dilupakan bahawa kerja utama peguam seperti saya adalah menghabiskan masa di mahkamah.

Keduanya, saya juga ada kehidupan lain dalam hidup saya iaitu keluarga saya dan juga perkara-perkara lain yang membolehkan saya ini digelar manusia yang bertanggungjawab sebagai seorang bapa, suami, anak dan juga anggota masyarakat. Pendek kata, ada masanya hidup saya ini perlu difokuskan kepada pihak-pihak lain selain anakguam semata-mata.Oleh itu, menjadi amalan saya bahawa selepas waktu kerja di sebelah malam dan juga di hujung minggu, biarlah saya menjadi hak-milik keluarga dan masyarakat setempat. Berilah juga peluang untuk saya melawat rumah Allah untuk beribadah selain lawatan rutin ke mahkamah dan penjara. Tanpa keluarga tidak ada gunanya saya sebagai peguam yang berjaya.

Ketiganya, kes tersebut tidak ada apa-apa progres pun yang perlu untuk diupdatekan. Kerisauan anakguam mahupun keluarga terhadap status sesuatu kes amat diraikan dan difahami. Namun, selalunya selepas briefing panjang lebar di awal perlantikan, kebanyakan anakguam memahami proses yang terlibat dan timeframe bagi sesuatu perkembangan kes berlaku. Kalau sekadar bercakap dengan anakguam untuk menerangkan status yang sama sahaja saban minggu sudah tentu tidak produktif dan boleh membuang masa. Saya percaya less is more. Alangkah bagusnya jika semua anakguam memahami.

Keempatnya, saya sedang berada di dunia lain. Maksudnya bukanlah saya sedang membuta atau qailulah di siang hari. Setiap orang ada cara tersendiri untuk melaksanakan kerja. Saya jenis yang mengambil masa yang sedikit sahaja tetapi masa itu perlu berkualiti dan ultra fokus diberikan. Setengah orang boleh buat cara berlainan seperti kebolehan membuat kerja sambil berFB, berwassap dan berBBM. Bagi saya jika masa terluang itu saya sedang mengerah keringat dan petirkan minda saya seperti menyediakan hujahan; maka sebarang gangguan dari smartphone saya yang bernada dering Maher Zain itu adalah tidak dialu-alukan.

Kelimanya, saya sedang attend orang seperti anda juga. Maknanya saya sedang berjumpa, menemubual atau berbincang dengan anakguam lain. Seseorang peguam jalanan seperti saya ini mempunyai ramai anakguam dan kesemuanya perlu dilayan seadilnya. Antara caranya adalah mendahulukan anakguam yang telah melantik atau membuat appoinment berbanding yang datang kemudian. Jadi, untuk keadilan adalah wajar tumpuan diberikan kepada seseorang anakguam tanpa diganggu sessi beliau dengan peguam itu menasihati anak guam lain pula melalui telefon. Ia umpama double atau triple parking kes dalam satu hari, ambik yuran semuanya tapi hanya pergi sebahagian sahaja dan menyuruh anakguam mengambil next date bagi kes yang lainnya.

Keenamnya, yang menelefon itu bukannya anakguam. Percayalah, ada ramai orang yang menelefon peguam untuk bertanya kedudukan sesuatu kes. Kadang-kadang peguam juga disoalbalas di dalam telefon oleh yang menelefon itu mempersoalkan itu dan ini. Prinsip saya mudah dan selalu saya tekankan dalam pertemuan pertama lagi. Anakguam kena percaya kepada peguam dan tanpa kepercayaan itu, akan musnahlah perhubungan peguam-anakguam. Jadi, peguam hanya answerable kepada anakguam sahaja dan orang yang melantik beliau itu. Tidak ada kewajiban untuk peguam mendedahkan apa-apa kepada pihak lain selain itu. Ini yang saya praktikkan dan Alhamdulillah workload saya berjaya dikurangkan tremendously.

Ketujuhnya, apa yang hendak diperbualkan itu tidak legal mahupun berkait dengan kes yang diwakili. Peguam mungkin menjadi satu-satunya manusia di dunia ini yang sudi mendengar masalah anda, melayan keluhan anda dan berusaha menyelamatkan anda dari tali gantung atau penjara atau apa-apa musibah. Tapi itu tidak bermakna anda boleh menukar peguam itu menjadi kaunselor peribadi anda yang bersedia menerima apa sahaja permasalahan anda yang tak ada kena mengena dengan kes yang diwakili. Walaupun menjadi prinsip saya untuk tidak mengamalkan no money no talk, yakni saya akan cuba menjawab persoalan sesiapa sahaja melalui telefon, email ataupun blog; namun setakat ini saya belum bersedia untuk menjadi lebih dari seorang peguam yang profesional. Mungkin apabila saya menjadi seorang YB nanti, prinsip ini akan dan terpaksa berubah.

Kelapannya, ada cara lain selain dari menjawab telefon bagi permasalahan itu. Percayalah bukan semua masalah atau pertanyaan sesuai diselesaikan melalui telefon. Ada yang bertanyakan sesuatu yang kompleks yang memerlukan penjelasan detail secara berhadapan dan mungkin juga secara lakaran bertulis untuk difahami. Sebaliknya, ada anakguam bertanya kan perkara yang terlalu remeh atau berulang-ulang kali perkara yang sama yang mana jawapan melalui SMS atau wassap sudah lebih dari memadai. Oleh itu, jika soalan itu jawapannya hanya berbentuk ya atau tidak, mungkin anda boleh kurangkan kekerapan peguam menjawab telefon dengan menghantar SMS.

Kesembilannya, saya sedang memandu kereta. Selain daripada menghabiskan masa di mahkamah, alam pengkeretaan juga adalah di mana peguam litigasi menghabiskan banyak masanya sehari-hari. Sebab itulah kebanyakan peguam sanggup berhabis lebih sedikit untuk membeli kereta yang selesa kerana banyak masa dihabiskan di dalam kereta seharian berkejar-kejar ke sana ke mari. Bukannya tidak boleh menjawab melalui handsfree, bluetooth dan sebagainya. Tetapi kadang-kadang masa di dalam kereta itulah dihabiskan untuk berehat sebentar dari alam kepeguaman dan merehatkan minda dengan lagu-lagu slow rock atau nasyid atau ceramah UAI.

Kesepuluhnya, panggilan dibuat menggunakan private number di mana tertera private call tanpa sebarang nombor si pemanggil. Saya sebenarnya tidak faham jika ada kalangan kita yang memilih untuk merahsiakan identiti kita di dalam telefon. Ini menimbulkan banyak wasangka berkenaan siapakah si pemanggil. Adakah ini salesmen atau SB atau makhluk mana yang membuat panggilan? Jadi, kesimpulannya selalunya panggilan dari nombor private ini akan berkahir dengan  kecundang di mana saya tidak akan melayannya. Jika anda serius untuk bercakap dan menyelesaikan masalah anda, tak perlulah berselindung di balik anonymous identity.

Akhirnya, ketahuilah apabila sang peguam tidak menjawab panggilan telefon anda, rupanya banyak alasan kukuh (dan tidak kukuh) yang menjadi penyebabnya. Prinsip saya sebagai peguam adalah mudah. Sedaya mungkin akan saya usahakan untuk membantu anda, namun anda juga hendaklah membantu saya dengan mengelakkan saya dibebani panggilan yang tidak perlu agar masa saya lebih banyak ditumpukan kepada perkara yang sepatutnya. Wassalam.


Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA