MISSION IMPOSSIBLE

Peguam umpama perisik atau ejen yang seringkali diharapkan untuk melaksanakan misi-misi mustahil atau quasi-mustahil. Tatkala menerima arahan atau brief daripada anak guam umpama menerima arahan melalui alat canggih yang boleh self-destruct dalam 5 saat dalam filem Mission Impossible. Peguam ditagih menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan super efisyen dan penuh kejayaan, seolah-olah kita mempunyai kuasa dan skil hebat umpama agen di dalam Marvel Agents of Shield.

Bunyinya sedikit keterlaluan. Namun itulah realitinya yang berlaku. Apatah lagi bagi peguam kes jenayah yang mana nyawa dan kebebasan diri anakguam disandarkan pada kudrat dan kebijaksanaan sang peguam. Seorang anak guam warga Afrika pernah mengatakan bahawa saya telah dihantar oleh tuhan untuk membebaskan beliau (god sent), walaupun beliau beragama kristian. Memang berat harapan yang ditaburkan umpama pahlawan di dalam alam komik pedang setiawan pun ada juga kadang-kadang terasa.

Semakan realiti (reality check) untuk semua; peguam memang berhadapan dengan kes-kes yang bertaraf mustahil ini. Pertamanya mustahil kerana kekurangan pengalaman dan kepakaran. Sewaktu mula mengorak langkah di alam kepeguaman ini, untuk berhadapan dengan Majistret pun sudah menjadi satu nightmare kepada saya. Begitu juga untuk menyoal balas saksi, mengendalikan kes untuk pertama kali dan sebagainya, kesemua misi-misi mustahil itu Alhamdulillah telah ditempuhi dengan berjaya, bergaya dan kadang-kadang teraniaya.

Halangan bentuk begini memang boleh diatasi. Bagi peguam jenayah, tidak ada short cut untuk menjadi peguam yang hebat dan disegani. Setiap level misi-misi mustahil ini wajib ditempuhi secara kediri. Learning the hard way adalah approach yang terbaik untuk cepat maju ke hadapan. Berguru dengan senior, belajar dengan pihak lawan dan Mahkamah serta  tidak pernah berasa putus asa untuk maju adalah antara ramuan yang baik untuk meningkat naik dalam arena yang serba mencabar ini.

Namun, di sana ada juga kes-kes yang dikategorikan sebagai mustahil, bukan kerana kekurangan pada peguam. Sebaliknya, nature kes itu sendiri kadang-kadang membuatkan peguam berasa lemah semangat dan sedikit demotivated apabila mengendalikan kes-kes sebegini. Antara kategori kes yang boleh dikatakan rumit dan mencabar ketrampilan peguam adalah kes-kes SPRM dan juga kes seksual yang melibatkan pengadu di bawah umur.

Kes-kes SPRM bukan sahaja melibatkan pembuktian yang lebih mudah kepada pihak pendakwaan seperti keterangan trap money, bahkan pendakwaan diperkuatkan dengan arsenals dan artillery yang banyak di dalam Akta SPRM itu sendiri. Tambahan pula, iltizam pihak SPRM nampaknya lebih kuat berbanding agensi lain kerana kebanyakan kes SPRM akan sampai ke Mahkamah tertinggi iaitu Mahkamah Rayuan. Pendek kata hingga ketitisan dakwat terakhir, masih mereka cuba sedaya-upaya untuk menang.

Begitu juga kes-kes seksual melibatkan pengadu bawah umur, memang tidak ramai peguam jenayah yang berani untuk mewakili OKT. Pembuktian di pihak pendakwa juga tampaknya lebih senang kerana elemen kerelaan tidak menjadi isu dalam kes-kes sebegini. Apatah lagi menjadi lumrah jika saksi yang muda hadir ke Mahkamah memberikan keterangan dengan yakin dan kadang-kadang menitis air mata; bisa meruntun banyak jiwa termasuklah Hakim yang mendengar kes.


Kategori kes sebegini juga boleh diatasi dan boleh diusahakan menjadi kurang mustahil atau winnable. Dengan kerja keras dan usaha gigih yang berterusan, Insyaallah kes-kes yang sukar boleh transform menjadi lubuk rezeki peguam. Malah ada peguam yang dikenali dek kerana kepakaran mereka dalam kes SPRM dan kes rogol.

Akhir-akhir ini, kes-kes di bawah Akta Hasutan juga termasuk dalam kes-kes yang mencabar. Trend terkini menunjukkan kadar sabitan yang tinggi bagi kes-kes Akta Hasutan. Bahkan hukuman yang dijatuhkan akhir-akhir ini juga meningkat naik tidak seperti kes-kes terdahulu yang biasanya mengenakan hukuman denda sahaja.


Apa yang boleh peguam lakukan? Lagi kuat cabaran yang datang, maka sudah tentu menagih lebih usaha dan kesungguhan dari pihak peguam. Tiada kompromi dalam memberikan pembelaan terbaik. Jika ia membawa kepada pembebasan anakguam, bersyukurlah. Jika sebaliknya yang berlaku, bermuhasabahlah dan berusahalah dengan lebih lagi. Ingatlah kata AR Tompel dalam filem Nasib Do Re Mi- everything is possible! Wassalam.



Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA