BRANDING v IDENTITI

Assalamualaikum,

Akhir-akhir ini dunia bolasepak tempatan menerima satu kesegaran baru oleh selebriti yang diberi nama Dato Vida. Maaf, saya tidak kenal beliau mahupun produk beliau. Tidak pula saya menonton apa-apa rancangan tajaan beliau seperti Gegarvaganza dan sebagainya. Namun, kehangatan dan minat peminat bolasepak tempatan terutamanya peminat The Red Warriors kembali memuncak selepas 2-3 tahun arena bolasepak TRW menuju jalan belakang di saat pesaing lain seperti JDT sudah 50 langkah ke depan.

Salahkah wanita atau produk kecantikan menaja pasukan bolasepak? Tidak ada salahnya kerana bolasepak moden yang profesional memerlukan dana untuk maju. Bandingkan noisy neighbours Man City dengan Red Devils Man United; sudah tentu anda boleh tentukan pasukan mana lebih berjaya sekarang (dan lebih menarik ditonton juga).

Sedikit kontroversi timbul gara-gara beberapa syarat yang diletakkan kepada pasukan TRW. Antaranya mengubah warna rasmi kepada pink, mengubah nama pasukan daripada TRW kepada PQPTRW dan bermacam-macam lagi perubahan yang mungkin pada satu sudut berupa a breath of fresh air tetapi ada juga yang menggugat jatidiri pasukan.

Melarang makan kuaci untuk tujuan kebersihan adalah bagus. Membersih dan menaiktaraf tandas stadium yang serba hancing itu lebih lagi bagus. Begitu juga idea-idea bersifat revolusionari seperti mewujudkan gimnasium bertaraf antarabangsa dan idea yang bersifat keagamaan seperti mengasingkan pintu penonton lelaki dan wanita. Pendek kata ada yang positif dan ada juga yang boleh diperdebatkan lagi.


Pertembungan ini pada saya adalah pemahaman antara branding melawan identiti. Branding yakni mencipta keunikan pada pasukan anda atau produk anda supaya mengatasi pesaing lain tidak ada masalah sebenarnya. Ini lah banyak yang cuba diterapkan oleh Dato Vida barangkali. Namun yang lebih mustahak adalah identiti atau jatidiri. Pasukan kelate yang bendera negerinya merah bertukar menjadi merah jambu? Seriously? Pink bukan masalahnya kerana saya juga meminati kumpulan Jambu. Tapi ini persoalan yang menyentuh identiti dan jatidiri yang lebih penting dan tidaklah mudah untuk mengubahnya.

Balik kepada dunia perundangan. Pertembungan branding dan identiti juga berlaku. Bahkan saya rasa ramai yang tersilap dari segi keutamaan terutamanya bagi peguam-peguam muda (dan juga peguam tua seperti saya dulu yang pernah berkhidmat untuk negara beberapa tahun). Mempunyai name card yang lawa dan canggun tidak salah. Mempunyai kereta (pinjam dari bank) yang mahal untuk impress anak guam juga tidak dipertikaikan. Begitu juga menghiasi pejabat dengan imej dan peralatan yang baik-baik dan mahal-mahal juga boleh dibuat. Malahan saya juga menampal keratan akhbar mengenai kes-kes saya di ruang menunggu pejabat. Untuk kenangan dan juga untuk tatapan anak guam dan bakal anak guam. Kreativiti dalam memprojekkan diri dalam profesion yang tidak boleh mengiklankan diri adalah diperlukan mutakhir ini.

Hakikatnya identiti peguam itu sendiri adalah lebih penting. Bukankah peguam dikenali dengan beberapa identiti streotaip yang negatif di kalangan masyarakat seperti loyar buruk, penipu, membela orang salah, dan macam-macam lagi konotasi negatif? Jadi, persoalan untuk rakan-rakan peguam dan bakal peguam di luar sana; identiti peguam yang bagaimana yang anda mahu dikenali di mata anak guam dan lebih dari itu, di mata masyarakat?

Pilihlah jalan mana yang diminati atau diidamkan. Jika mengejar kekayaan semata-mata, ada caranya samada yang halal, haram mahupun gabungan keduanya. Tetapi, pilihlah jalan yang memberi kepuasan kepada semua. Yang memberi keuntungan kepada diri sendiri, masyarakat dan agama. Lebih elok dikenali sebagai peguam yang berjaya dan bertimbangrasa daripada peguam yang berjaya tetapi mempunyai excess baggage dengan pelbagai cerita dan tohmahan berkenaan etika dan pengendalian kes. Jika ingin merasai denyut nadi rakyat marhaen ceburilah bidang jenayah dan usahakanlah untuk ada juga mewakili  kes-kes melibatkan perjuangan serta penderitaan rakyat kebanyakan. Insya Allah anda akan menemui kepuasan semasa memberi berkhidmat sebagai peguam.

Wassalam.


Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA