KECENDERUNGAN MENGHASUT

Assalam,

Akhir-akhir ini saya agak cenderung dan condong dengan hasutan. Seolah-olah hasutan itu agak dekat di hati saya. Pertamanya saya dihasut oleh beberapa orang sahabat peguam untuk kembali aktif menulis. Lebih tepat lagi saya inspired by beberapa sahabat peguam yang sudah sampai mempunyai buku tulisan mereka sendiri. Sahabat Z mengatakan dengan adanya buku ianya menjadi nilai tambah dalam karier kepeguaman kita dan satu kepuasan yang tidak boleh dinilai. Pabila ditanya orang, apa keistimewaan peguam itu berbanding yang lain? Beliau bukan saja menjadi pengurus futsal yang berkaliber bahkan juga seorang penulis buku. Begitulah agaknya mesej yang cuba disampaikan beliau.

Sahabat H pula sambil menunjukkan buku terbitan beliau sendiri (yang kedua rupanya) di Mahkamah, telah memberikan cabaran kenapa kita peguam tidak boleh menulis sedangkan ramai penulis di luar sana adalah orang-orang biasa saja sebenarnya, namun mereka berjiwa besar. Sempat lagi beliau menghasut saya dengan mengimbau jasa ulamak silam yang banyak menyebarkan Islam melalui tulisan. Manakala sahabat A yang lazimnya petah berceramah, turut menyebabkan saya terhasut dengan mendedahkan beliau dalam proses menulis buku pertama tetapi sedikit terbengkalai gara-gara kekurangan mood dan feel. Tidak saya sangka air yang tenang itu rupanya ada buaya.

Keduanya, dalam sessi lawatan ramah mesra dengan anak guam saya ke Penjara Sungai Buloh beberapa hari lepas juga, nampaknya elemen hasutan tidak dapat lari dari melingkari saya. Rezeki saya barangkali terserempak dengan Ustaz Dr Zamihan yang baru selesai lawatan rutin beliau ke atas tahanan-tahanan kes Sosma, sementelah beliau adalah pakar terrorisme. Walaupun saya tidaklah berkenan sangat dengan pendekatan dakwah beliau yang agak keras, namun peluang ini tidak saya lepaskan untuk menyapa beliau. 

Dalam perbualan beberapa minit itu sempat saya bertanyakan status kes beliau di bawah Akta Hasutan. Jawab beliau dalam tempoh reman beberapa hari itu hanya 45 minit sahaja yang IO kes gunakan untuk siasatan manakala bakinya berlalu begitu saja. Jawapan beliau tidaklah mengejutkan kerana tidak ada apa pun yang hendak disiasat dalam kes hasutan melainkan merakamkan percakapan semata-mata. Proses reman pula dalam kes yang bersifat begini pada saya adalah tidak perlu sama sekali.

Dan dengan gaya tegas yang biasa itu beliau tekankan apa yang beliau ucapkan terhadap Sultan tersebut tidaklah menghasut pun. Sebaliknya beliau membandingkan dengan kes yang masih disiasat juga melibatkan seorang lagi pendakwah iaitu Ustaz Wan Ji yang pada beliau jauh lebih serius. Siasatan ke atas figura-figura dari kelompok yang pelbagai ini sekurang-kurangnya satu usaha yang baik untuk menghakis sentimen rakyat bahawa Akta Hasutan hanya dikenakan ke atas sebelah pihak sahaja.

Ketiganya, beberapa minggu lepas saya sendiri berpeluang 'menghasut' rakan-rakan abe yars peguam-peguam di Kelantan di dalam satu sessi ceramah mengenai Akta Hasutan. Nampaknya ramai yang belum ada pendedahan mengenai pengendalian kes-kes di bawah Akta Hasutan dan ramai juga yang menzahirkan kecenderungan untuk menceburkan diri dalam arena kepeguaman jalanan dalam membela rakyat kebanyakan.

Secara peribadi, Akta Hasutan ini adalah satu-satunya akta yang ajaib dan tidak mempunyai kecenderungan untuk memberikan satu perbicaraan yang adil. Adil bagaimana? Adil apabila yang menuduh dan yang dituduh mempunyai ruang dan peluang yang sama atau hampir sama untuk membawa dan mempertahankan kes masing-masing di Mahkamah.

Sebagai pengamal undang-undang yang berpeluang mengendalikan kes di bawah Akta Hasutan sehinggalah ke peringkat apex court di Mahkamah Rayuan; kes Akta Hasutan sememangnya diakui unik dan menagih kepakaran kita. Jika kita ada pengalaman terlibat dalam kes Akta Hasutan walaupun sebagai pemegang tombak cuma, maka bersyukurlah atas pengalaman yang mahal itu.

Feature paling menarik dalam Akta Hasutan adalah, kecenderungan menghasut sahaja sudah mencukupi sebagai satu kesalahan. Maknanya secara mudah, belum actual menghasut lagi sudah menjadi kesalahan jika adanya kecenderungan itu. Ajaib bunyinya tapi itulah elemen yang perlu dibuktikan. Seperti berbuat perkara ibadat barangkali, niat pun sudah mendapat pahala.

Begitu juga inilah kesalahan jenayah yang tidak memerlukan niat untuk ianya menjadi satu kesalahan. Namun, ia bukanlah satu kes strict liability seperti melanggar lampu merah atau memiliki bahan lucah contohnya yang tidak memerlukan niat. Oleh kerana itulah, selalunya kes-kes Akta Hasutan adalah kes bersifat wajib menang kepada pihak pendakwaan tanpa jerit perih. Sebaliknya bagi pembelaan, ini adalah kes yang mana pembelaan sudah dijangka wajib dipanggil dan mitigasi hukuman adalah sesuatu yang hampir pasti.

Kes-kes Akta Hasutan juga adalah kes yang hampir mustahil untuk mencapai satu pembebasan. Kenapa begitu sukar? Kerana realitinya apa yang berlaku di Mahkamah adalah medan untuk mentafsirkan maksud kata-kata tertuduh. Seringkali cubaan peguam untuk mencadangkan maksud sebenar ucapan tertuduh ditolak sebagai tidak relevan. Bahkan cubaan saya membawa masuk tafsiran Kamus Dewan juga pernah ditolak mentah-mentah. Sangat sedikit saksi yang perlu dikemukakan dan tempoh bicaranya ringkas sahaja.

Namun, di sebalik segala kesulitan yang tersenarai, nampaknya masih ada cahaya di hujung terowong. Isu niat contohnya telah diputuskan di Mahkamah Rayuan dalam kes Mat Shuhaimi yang mana Mahkamah memutuskan peruntukan mengenai tidak perlunya niat itu adalah tidak berpelembagaan. Kes ini masih menunggu keputusan di peringkat Mahkamah Persekutuan pula. Moga-moga sinar yang kelihatan samar-samar tadi tidaklah menjadi blackout kembali. Manakala dalam kes aktivis Safwan Anang pula Mahkamah Rayuan telah melepas dan membebaskan beliau atas sebab tiadanya kecenderungan menghasut.


Saranan saya untuk fellow street lawyers, teruskan memberikan pembelaan terbaik. Seperti saranan para ilmuan pabila mendengar nasihat, lihatlah tuturnya bukan siapa orangnya. Begitu juga kita dalam menjadi peguam marhaen, lihatlah pembelaannya bukan siapa figuranya mahupun berapa yurannya.
  

Wassalam.


Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA