MY HEART WILL GO ON

Assalam,

Saya sentiasa yakin dan percaya saya memang seorang peguam yang berdedikasi. Setiap tugasan dan amanah yang saya terima akan saya cuba laksanakan sebaik mungkin, jika boleh pada tahap 110%. Malah sejak dulu saya ada motto peribadi yang saya pegang- "saya tak boleh bekerja tanpa tekanan", "pressure is good, it will propel or catapult me to work", au kama qaal.

Saya juga seorang yang agak keras kepala dan persistent. Sejak dulu lagi saya akan pertahankan prinsip dan kepercayaan saya dan tidak akan berdegis (berganjak) daripadanya. Malahan saya agak bangga declare diri sendiri sebagai anti establishment sejak zaman belajar hinggalah ke zaman pekerjaan. Dia kala kawan-kawan menyokong MU, Liverpool dan semua team power, saya kekal setia sebagai Toon Army menyokong Newcastle. Cumanya, mungkin sejak beberapa tahun ini terutamanya sejak balik dari pengembaraan rohani haji 2 tahun lepas telah memberi perspektif baru pada saya tentang hidup agar lebih terbuka dan kurangkan berdegil dan self centered.

Sejak beberapa bulan ini, saya mula mengalami denyutan nadi yang laju dalam suasana yang tidak semena-mena. Bukan bila nervous pergi ke Mahkamah menghadapi kes yang sukar atau mengayuh basikal sedikit jauh pun, kadang-kadang rasa berdebar-berdebar di jantung muncul. Selain itu dalam masa-masa tertentu saya merasakan dada sedikit ketat,sempit dan nafas tidak sampai. Ia berlaku bukan selepas naik tangga yang banyak atau brisk walking ke Mahkamah dari parking yang jauh dan sebagainya. Ia berlaku bila adanya tekanan dalam menyiapkan tugasan yang selalunya saya akan cuba siapkan sesempurna mungkin.

Apa yang saya buat? Saya teruskan dengan sikap dedikasi+keras kepala saya itu. Tugasan melibatkan anakguam dan Mahkamah, dalam program Bekwoh bersama sahabat-sahabat dan lain-lain saya teruskan dengan penuh komikmeng. Alah, workaholic kan bagus, bukannya alcoholic yang haram atau shopaholic hanya makruh. Cuba berfikir positif bahawa chest pain yang saya rasai adalah perkara kecil yang akan hilang sendirinya. Membuat usaha-usaha bijak sendiri seperti makan supplement untuk jantung, eksesais tambahan di gym pejabat dan treadmill di rumah serta membeli jam sukan untuk menyukat nadi. "Lama-lama hilanglah tu" dan "makin improve dah" adalah antara ayat-ayat klasik untuk menyedapkan hati sendiri.


Sebenarnya saya mencipta alasan untuk tidak melakukan perkara yang paling mustahak selain menadah doa kepada Ilahi dan ikhtiar-ikhtiar lain itu iaitu berjumpa doktor. Saya akui 2 tempat yang saya paling tidak gemar untuk pergi adalah kenduri kahwin dan klinik/hospital. Pelik tapi benar, itulah saya. Apatah lagi baru saja sahabat baik saya dan juga isteri kepada seorang lagi sahabat baik menjalani pembedahan jantung menukar injap jantung. Satu ujian yang sangat hebat dan tidak mampu ditanggung dengan tabah oleh kebanyakan orang. Lebih baik tak tahu ada penyakit daripada jumpa doktor nanti tiba-tiba tahu pula ada yang yang tak diingini. Begitulah falsampah hidup yang dipegang.

Hasilnya, selepas bercuti selama hampir 2 minggu dikelilingi keluarga dan sahabat-sahabat di beberapa lokasi yang mendamaikan, saya kembali masuk ke pejabat dengan timbunan kerja untuk disiapkan. Bukan saja perlu disiapkan, tetapi juga dipastikan hasilnya sempurna mengikut standard saya sendiri. Natijahnya, chest pain yang saya alami menjadi semakin kuat menyebabkan saya sukar hendak tidur dan denyutan nadi yang tinggi mejadi lebih kerap dan merisaukan. Akhirnya saya mengalah dengan suruhan sang isteri untuk ke klinik setelah dipinta kesekian kalinya.

Di klinik, Dr mengesyaki ada masalah pada jantung saya dan merujukkan saya ke hospital untuk dibuat ujian-ujian lanjut antaranya CT scan jantung dan eco test. Alhamdulillah, hasil ujian adalah baik dan saya disahkan tidak ada apa-apa masalah yang serius pada jantung ataupun buah pinggang. Pengalaman masuk mesin CT Scan berbentuk donut gergasi cukup menjadi iktibar. Apatah lagi saya perlu menunggu lebih 3 jam dan menelan 4 biji ubat menurunkan nadi jantung kerana proses scanning tidak boleh dibuat jika nadi lebih daripada 65 denyutan seminit.

Blessing in disguise juga kerana hasil ujian mengesahkan saya sudah ada amaran hypertension, kolestrol dan gula yang tinggi. Nasihat Dr pakar kardio adalah jagalah kesihatan, banyakkan bertenang, jaga pemakanan dan kerapkan senaman. Nasihat-nasihat yang biasa didengar tetapi sukar dipraktikkan dengan macam-macam alasan dan justifikasi. Alasan utama saya adalah; aku juga bersenam seperti berbasikal, aku tak makan belasah seperti orang lain dan at least aku tak merokok, kira selamatlah.

Untuk kawan-kawan samada di bidang perundangan atau dalam apa bidang sekalipun, manage your stress please. Apatah lagi bagi yang sudah mencapai umur kematangan umur keramat 40 tahun seperti saya. Selain kerjaya, banyak lagi perkara yang penting dalam hidup seperti keluarga dan kesihatan diri. Kurang-kurangkanlah amalan yang tidak sihat seperti bekerja tanpa rehat yang cukup, merokok, lepak larut malam sambil makan minum tanpa batasan dan meminati k-pop. 

Capailah impian dalam kerjaya masing-masing. Kerja sekuat mungkin tapi sulamlah dengan kerehatan yang cukup, masa yang berkualiti dengan keluarga dan amalan-amalan yang menyihatkan jasmani dan rohani. Untuk berjaya dalam karier adalah satu kepuasan, tapi jika disertai kesihatan yang baik dan keluarga yang membahagiakan akan menjadi lebih-lebih lagi satu kecapaian yang bermakna. Bak kata rakan seperguruan saya; love your heart sahabat. Wassalam.


Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI