VIRAL
Assalam,
Baru sahaja kes yang saya kendalikan iaitu satu kes bunuh telah diputuskan oleh Mahkamah. Keputusannya Mahkamah dapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Tewas dalam sesuatu perbicaraan bukanlah sesuatu yang tidak dijangka. Ada kes yang kita yakin boleh menang berakhir dengan kekalahan. Sebaliknya, ada kes yang kita berasa tidak ada peluang, namun akhirnya adalah kejayaan.
Sebagai manusia biasa, peguam juga boleh beremosi bila tewas. Perasaan ralat, persoalan samada patutkah aku buat dengen lebih baik dan macam-macam lagi menyerbu diri. Apatah lagi jika yang tidak berjaya itu kes yang viral dan expected by majority of netizens to be a sure 99.9% win. Peguam namun mesti professional dan memahami bahawa tugas kita adalah untuk memastikan sistem keadilan tertegak. Jika itu dipasak dalam hati, maka kita tak perlu gundah gulana atau memurungkan diri.
Hakikatnya, kerjaya peguam terutamanya peguam jenayah bukanlah berpaksikan win-loss record. Jika itulah kayu ukur kebisaan seorang peguam jenayah; maka jalan-jalan untuk terjebak dengan amalan-amalan tidak sihat akan terbuka luas. Tabiat suka berjanji langit dan bintang untuk secure perlantikan adalah permulaannya. Ia selanjutnya boleh diikuti oleh taktik-taktik yang tidak bersih untuk memenangi kes at all cost. Tak gentleman kawan-kawan. Berdosa lagi.
Seseorang peguam dilantik atas kepercayaan, keyakinan dan kepakaran yang ditagih oleh anak guam dan keluarga. Yang dituntut daripada seorang peguam adalah komitmennya, kesungguhannya dan kejujurannya dalam melaksanakan amanah pabila sudah dilantik. Bab ini tidak ada kompromi. Tidak ada alasan untuk tidak bersungguh-sungguh dan berusaha dalam ruang lingkup yang dibenarkan undang-undang.
Mengendalikan kes-kes sensasi atau viral sudah tentu memberikan pengalaman yang berbeza dan luarbiasa kepada seorang peguam. Hanya mereka yang pernah terlibat sahaja yang akan dapat memahami erti tekanan dan pengharapan yang sudah tentu berlipat kali ganda berbanding kes-kes jenayah yang biasa. Alhamdulillah dalam karier saya setakat ini, telah diberikan peluang mengendalikan banyak kes yang berskala tinggi ini.
Sudah tentu ia memberikan publisiti kepada peguam itu sendiri. Sementelah lagi dalam profesion kepeguaman yang menghalang sebarang bentuk pengiklanan dilakukan oleh peguam. Jika kueh yang pelik namanya seperti kerbau guling pun bila diviralkan menjana sambutan hangat di pasaran, apatah lagi kita peguam yang ada nama yang baik selama ini.
Sesetengah orang malah berkata; even a bad publicity is still a publicity. Kelibat wajah yang terpampang di dalam berita tv sudah tentu akan menyebabkan orang-orang di kampung halaman berbicara. Begitu juga jika nama yang kerap keluar di dada-dada media. Ia juga memberikan satu mesej kepada masyarakat bahawa peguam itu relevan, sought after dan boleh jadi adalah seorang peguam yang hebat.
Realitinya, publisiti sebegini boleh memberikan unnecessary pressure kepada peguam. Bahkan, sepatutnya seorang peguam tidak menagih sebarang bentuk publisiti, apatah lagi jika ianya publisiti murahan. Mengendalikan kes yang sukar tapi tiada sebarang makhluk yang memberikan perhatian, memberikan komentar berlari (running commentary) atau pandangan hindsight; tidaklah terlalu memberikan tekanan. Sebaliknya, kes yang biasa pun tapi jika menjadi fokus masyarakat dan peguambela-peguambela sambilan di alamaya, biasa meningkatkan level kesukarannya.
Jadi bagaimanakah seorang peguam sewajarnya approach sesuatu kes yang sensasi dan viral? Pertamanya, hendaklah diinsafi bahawa tanggungjawab dan taklifan ke atas peguam adalah berat tanpa mengira kes yang sensasi atau yang biasa-biasa saja. Apatah lagi apabila ianya melibatkan nyawa dan kebebasan hidup seseorang yang tidak ternilai harganya. Malah nilainya jauh melebihi beg-beg mewah dan tak masuk akal yang waras untuk diborosi seperti hermes birkin. Namun, apabila melibatkan kes yang viral, tidak ada salahnya kita melaburkan lebih pengorbanan dan melipatgandakan usaha dalam mengendalikannya.
Keduanya, usah terlalu cakna atau mengambilkira pandangan dan komentar netizen di media sosial. Hendaklah kita ambil notis dan meraikan bahawa pihak lain yang memberikan komentar tidak ada apa-apa bebanan amanah di bahu mereka. Jika mereka adalah pengamal undang-undang sekalipun, mereka tidak privy kepada fakta dan hal keadaan sebenar yang wujud dalam kes tersebut. Kita sahaja sebagai peguam yang tahu apa yang berlaku dan menjunjung tanggungjawab dan kerahsiaan komunikasi dengan anak guam. Kita juga sahaja tahu apa yang terbaik untuk anak guam dan bagaimanakah peluang bagi beliau.
Pandangan-pandangan yang diberikan jika ada manfaatnya kepada kita yang akan bergelumang di dalam mahkamah secara real, bolehlah dijadikan panduan. Sebaliknya komen-komen seperti yang menyalahkan institusi seperti mahkamah, polis, pendakwaraya mahupun kerajaan; tidak sepatutnya membebankan pemikiran peguam yang mengendalikan kes itu. Juga rumusan atau judgement yang diberikan oleh orang ramai yang tidak tahu fakta yang sebenar juga tidaklah membantu. Oleh itu elakkanlah daripada menekuninya.
Ketiganya, teruskan mengendalikan kes dengan penuh iltizam dan kepakaran yang kita ada. The ultimate aim sudah tentu adalah untuk menyelamatkan nyawa anak guam dan/atau memberikan peluang untuk mereka mengecap nikmat kebebasan. Jika itu sudah kita lakukan tanpa kecuaian, kekurangan atau kesilapan (baca: blunders not mistakes), maka sedarilah bahawa tugas kita sebagai peguam bela sudah dilaksanakan dengan jayanya. Berjaya atau tidak, ia bukan lagi dalam kawalan kita.
In the end, all that matters is your efforts and not the end result. Jika kita berjaya hasil daripada kerja keras kita, maka bersyukurlah dan nikmatilah bonus tersebut. Apapun, masih ada sinar di hujung terowong jika tidak berjaya kerana masih ada lagi peringkat rayuan di mahkamah yang lebih tinggi. Harapan masih tidak pudar, usaha yang berterusan pasti dikerah jika masih diberikan kepercayaan. Sekian, wassalam.
Comments
Post a Comment