TANAM POKOK GANJA

Hobi bercucuk tanam adalah satu hobi yang mulia. Ia jauh lebih baik daripada hobi ikut-ikutan. Contohnya trend berbasikal sebagai gaya hidup yang menjadi pilihan artis dan marhaen masa kini.  Trend di mana pakaian yang ketat umpama disarung nangka menjadi pilihan. Aset dan juga excess baggage pada tubuh, samada secara sengaja atau tidak, turut dipertontonkan kepada khalayak. Hobi ikutan begini mencemarkan imej pengayuh basikal sejati seperti saya dan ramai lagi rakan-rakan. Yang mengayuh demi untuk kesihatan. 



            Berbalik kepada hobi bercucuk tanam tadi, bukan saja kita akan ada peluang bercanda dengan alam, tubuh badan juga boleh mengeluarkan peluh jantan yang sepatutnya. Tapi awas! Bukan semua pokok kayu yang boleh ditanam. Dalam negara kita, pokok ganja atau nama Bahasa Inggerisnya cannabis, dilarang sama sekali untuk ditanam.

            

            Ya, benar. Ganja di negara kita bukan setakat menyalahi undang-undang jika dihisap, dimiliki dan sudah tentu diedarkan. Ganja juga tidak boleh ditanam. Menyebut tentang kesalahan ini, saya mengimbau di sekolah rendah dahulu. Ada sebatang pokok ganja ditanam di dalam Taman Sains sekolah rendah saya. Saya lantas terfikir siapakah yang patut dipersalahkan dengan kesalahan menanam pokok ganja itu.

 

            Peruntukan hukuman bagi kesalahan menanam pokok ganja adalah maha berat. Ada termaktub dalam Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952. Hukumannya? Penjara seumur hidup yakni sehingga 30 tahun dan wajib disebat tidak kurang daripada enam sebatan rotan. Tidak ada pilihan diberikan kepada Hakim. Tiada judicial discretion diberi di sini.

 

            Tapi, memang patutlah orang yang menanam pokok ganja ni dihukum seberat itu. Lagipun, ganja yang ditanam itu bakal merosakkan hidup ramai manusia. Jika ia dibiarkan subur dan membugar hingga akhirnya dijual di pasaran, pastilah akibatnya buruk bukan? Jawapannya; ya wajar. Namun boleh juga jadi tidak wajar dihukum sebegitu dahsyat.

 

            Saya mulakan dengan apa yang nyata dan tersurat. Peruntukan Seksyen 6B itu sendiri. Hukumannya satu sahaja, tidak ada takwil-takwil. Tidak kiralah mengaku salah ataupun bicara penuh. Tetap akan kena penjara seumur hidup dan sebatan enam rotan. Kes-kes klasik seperti Raja Izzuddin Shah dan Sau Soo Kim untuk plea of gulit sebagai mitigating factor dipertimbangkan, sudah tidak berguna lagi. Pilihan untuk mengaku salah sudah as good as gone.

            

            Masalah yang lebih mengganggu pemikiran pengamal undang-undang jenayah (kluster iblis) seperti saya adalah; kesalahan itu sendiri bersifat sangat umum. Boleh stretched beyond any imagination. Maksudnya? Kesalahan yang disebut dalam seksyen itu adalah menanam pokok ganja. Tidak lebih dan tidak kurang.

 Bermakna, tidak kiralah yang ditanam itu ladang ganja seluas di golden triangle (Thailand, Myanmar dan Laos). Ataupun ianya sekadar sebatang pokok ala-ala bonsai dalam pasu mini yang dibeli di kedai Kaison. Jika ianya disahkan sebagai mengandungi genus cannabis oleh ahli kimia, ia tetap menjadi satu kesalahan. Rangenya terlalu besar. Hukumannya tetap sama.

 

Satu lagi isu dalam kesalahan menanam pokok ganja ini adalah adanya peruntukan berbentuk anggapan. Seksyen 6B(4) akta yang sama. Fahaman secara mudahnya; orang yang ditahan berada di dalam premis atau di atas satu kawasan di mana sesuatu pokok ganja itu ditanam, dialah yang dianggap menanamnya. Hinggalah dibuktikan sebaliknya. 

 

Mudahnya membuktikan sesuatu kes bukan? Tidak perlu ada keterangan yang tertuduh itu tanam sendiri pokok ganja. Tidak perlu juga keterangan sokongan seperti alat-alat menanam pokok atau baja. Bukti video atau gambar mengenai penanaman pokok juga tidak payah dikemukakan. Yang boleh disandarkan cukup sekadar keterangan yang tertuduh itu ada bersama dengan pokok ganja dalam tempat yang sama. Memadai kerana adanya satu senjata perundangan yang ampuh dipanggil ‘anggapan’.

 

Bila sesuatu anggapan digunakan, maknanya pembuktian kini berdasarkan technicalities.  Bukan lagi berasaskan keterangan terus. Ianya sudah tentu tidak salah kerana undang-undang sendiri yang membuka jalan dan membenarkannya. Tapi, samada ia adil untuk mencabut nyawa seseorang atau untuk menghumbannya selama 30 tahun ke penjara? It remains to be seen.

 

Pengalaman mengendalikan kes-kes bersifat ‘sukar hendak menang’ sebegini adalah sesuatu yang tidak ternilai. Sebab itulah persediaannya kena lebih daripada sekadar biasa-biasa. Ia membawa kepada saya membaca baris demi baris Hansard Parlimen bertarikh 14 Januari 1976. Tarikh di mana saya sendiri belum lagi dilahirkan pun ke dunia yang fana ini.

 

Saya sedikit terpesona dengan membaca Hansard yang berumur sebaya dengan saya itu. Hansard yang membahaskan pengenalan Seksyen 6B yang pada saya, agak berat sebelah itu. Gaya bahasa dan perbahasan oleh ahli-ahli Parlimen saya dapati agak berkualiti dan civilized. Jelas menampakkan niat murni penggubal undang-undang untuk membendung penularan dadah ganja. Tidak ada acara jerit-menjerit atau maki-memaki. Banyak bezanya dengan Parlimen kita dewasa ini yang bercampur aduk antara fakta dan drama.

 

Menarik untuk kita ambil nota (take note) bahawa Seksyen 6B ini juga menggunakan istilah ‘cultivate’ selain perkataan ‘plant’. Maksud mudahnya, cultivate sudah tentu melibatkan penanaman berskala mega. Sekurang-kurangnya ada bajak, kebun dan mungkin wujudnya ladang ganja. Barulah setimpal dengan hukuman yang berat itu. Bukannya sekadar yang ditanam untuk eksperimen di dalam pasu di beranda rumah. 




Hari ini, deraian air mata tumpah lagi di dalam Mahkamah. Anakguam saya bagi kes menanam pokok ganja telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan di akhir kes pendakwaan lagi. Ibu, bapa dan adik-beradiknya juga mengalirkan air mata kesyukuran. Tidak dapat dibendung lagi. Peguam sahaja yang kekal tenang tanpa mempamerkan sebarang perasaan.

 

Boleh jadi, anak guam saya kali ini bernasib baik. Ada isu-isu lain dalam pembuktian kes ini telah saya cungkil dengan jayanya. Akhirnya, Mahkamah dapati kes prima facie pun telah gagal dibuktikan. Jika faktanya berbeza, langkah anak guam saya mungkin penuh dengan ranjau sepanjang jalan. 

 

Tambahan pula, anggapan yang diperuntukkan dalam undang-undang tadi, siap sedia untuk mencengkam anak guam saya. Akibatnya, beban membuktikan yang dia tidak menanam ganja akan beralih kepada tertuduh. Tertuduh pula kena datangkan bukti yang dia tak bersalah.  Agak songsang jika difikirkan tapi itulah undang-undang. Istilahnya yang lebih sedap disebut adalah ‘mematahkan anggapan pada tahap imbangan kebarangkalian’.

 

Pada saya, tempoh dua tahun anak guam ini ditahan reman, cukuplah menjadi pengajaran untuknya. Jika dia masih ingin meneruskan minat bercucuk tanam, mungkin tanaman lain seperti cekur manis, bayam brazil mahupun daun saderi adalah pilihan-pilihan alternatif. Lebih mesra alam dan bebas daripada ancaman pertuduhan jenayah.

 

Sebelum terlupa, kesalahan Seksyen 6B ini juga tidak boleh dijamin. Kategorinya adalah unbailable. Disekat oleh Akta Dadah Berbahaya itu sendiri. Ini bermaksud daripada hari pertama ditahan sehinggalah kes selesai, tertuduh perlu menjadi warga penjara. Tidak seperti kesalahan di bawah Kanun Keseksaan seperti kes bunuh sekalipun. Masih boleh dijamin secara teorinya kerana ia sekadar berstatus non-bailable.

 

Kes-kes menanam pokok ganja ini memang serius. Hukumannya menggambarkan keseriusan kesalahan itu. Namun, untuk melonggokkan kesemua jenis penanaman pokok ganja dan memperuntukkan hanya satu hukuman sahaja; juga adalah satu perkara yang serius. Kita mungkin perlu kembali kepada era tahun 1976 untuk melihat ahli-ahli Parlimen kita kembali berbahas untuk menambah baik peruntukan undang-undang yang sedia ada ini. Demi keadilan dan kebaikan semua.

 

Comments

  1. Perbahasan dalam hansard yang tuan baca itu berlaku betul-betul pada hari saya dilahirkan. Tahniah tuan.. satu jiwa telah berjaya dibebaskan dan satu pengajaran sudah berjaya tuan berikan kepada masyarakat. Salute.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Tuan atas komen yang diberikan. Mungkin tuah hari lahir Tuan

      Delete

Post a Comment

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA