MEREKA YANG REBAH




Salam,

Saya masih teringat semasa zaman pra baligh di darjah 6 dahulu ada satu lagu yang berunsur keinsafan iaitu Mereka Yang Rebah berkisar mengenai manusia-manusia yang tewas angkara najis dadah. Lagu itu meniti di bibir anak-anak ketika itu. Satu lagi lagu yang juga saya ingat adalah Masih Aku Terasa nyanyian kumpulan Gersang yang tiada bersangkut paut langsung dengan entri ini.

Beberapa hari yang lepas pasukan bolasepak harimau malaya juga telah rebah dirobek oleh sang singa berpura-pura. Memang perit untuk menelan kepahitan kekalahan itu. Apatah lagi rebahnya harimau malaya bukan sahaja dek kerana pasukan lawan diperkuatkan oleh awang import yang telahpun veteran dan berisi; malahan juga akibat kealpaan sendiri dan sedikit unsur kebodoh-sombongan di pihak jurulatih yang konsisten menurunkan pemain yang berstatus penumpang sahaja di atas padang.

Begitulah hidup kita, ada harinya kita menggapai kemenangan. Maka moleklah kita beringat-ingat bahawa kemenangan itu bukan segalanya mahupun selamanya. Ia adalah ujian untuk kita mengekalkan prestasi agar sentiasa di kemuncak, memperbaiki kelemahan dan paling penting mengawasi diri agar tidak terjerumus ke lembah kebongkakan dan bangga diri.

Ada pula saatnya kita ditimpa kekalahan. Usaha sudah dicurahkan, keyakinan sudah dizahirkan namun tidak juga kemenangan yang tercipta. Ini juga satu ujian untuk mengkoreksi diri barangkali tidak cukup kegigihan kita, kurangnya tawakkal kepada yang Esa dan boleh jadi kita melaksanakan tanggungjawab seperti melepaskan batuk di tangga.

Perlawanan di mahkamah juga begitu sifatnya. Ada masa kita diberikan keputusan yang memihak kepada kita (menang). Ada kalanya pula kita dihempaskan dengan keputusan yang tidak menggembirakan hati kita dan anak guam kita. Pernah dulu saya begitu berkira dan mungkin berbangga dengan rekod kemenangan. Tidak pernah kalah kes 39B contohnya. Tidak pernah kalah kes seksual juga sehingga digelar pakar seksual.

Namun, dengan adanya kekalahan yang melawat rekod kita itu, sedikit sebanyak menyedarkan kita bahawa kita juga manusia. Ada perkara yang di luar batasan kemampuan kita. Adakalanya kita sudah bertarung secemerlang Apek di gawang gol, namun keputusan Hakim tetap menjadi misteri dan penuh kejanggalan seperti taktik K. Rajagopal. Ia juga memberi peluang kita mengkoreksi diri, usaha dan ketekunan adakah mencukupi ataupun tidak.

Seperti juga rezeki, kemenangan perlu dicari bukan dinanti. bak kata bait lagu AlFarabi Band; jika di laut selamilah, jika di hutan terokailah, jika di gunung dakilah, jika di swimming pool terjun tiruklah. Walaupun rekod bukan segala-gala, jika kita asyik dipalit kekalahan berderet-deret maka perlu juga muhasabah diri samada kita sesuai menjadi seorang loyar.

Yang lebih utama adalah bagaimana kita bangkit dari kekalahan. Kalah pusingan pertama, masih ada pusingan kedua. Kalah peringkat pertama boleh dirayu lagi ke peringkat seterusnya. Jika masih kalah walaupun usaha dan komitmen 100% telah dicurahkan, maka sebenarnya kita sudah berjaya dan menang dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan semangat. Win, loose or draw kita akan senantiasa mengharungi kehidupan rutin kita dengan senyuman. Wassalam.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA