GABRA

Assalam,

Gelanggang mahkamah bukan gelanggang untuk semua orang. Setiap profesion ada gelanggang dan petarungnya masing-masing. Bagi para doktor dan jururawat, hospital adalah gelanggang mereka, tempat mereka bertarung saban hari. Begitulah pula para peguam, mahkamah adalah gelanggang mereka tempat mereka berpencak dan bersilat hari demi hari. Oleh itu, hormatilah gelanggang itu apatah lagi jika gelanggang itu bukan kita yang menjadi ahlinya.

Kendatipun begitu, para peguam tidak terlepas daripada merasa gundah apabila hadir di mahkamah. Percayalah bahawa perasaan berdebar-debar ke mahkamah bagi para peguam itu benar. Kebimbangan dan mungkin juga keseraman ke mahkamah juga benar. Berasa gementar atau gabra di gelanggang sendiri itupun maha benar.

Inilah yang berlaku dalam perbicaraan kes bunuh yang saya kendalikan yang melibatkan beberapa orang peguam. Salah seorang peguam menampakkan ciri-ciri dan sifat-sifat kegabraan sejak awal-awal di mahkamah majistret lagi sehinggalah prosiding perbicaraan di mahkamah tinggi bermula. Kamipun para peguam arena kepenjenayahan tidak pernah melihat beliau beraksi di gelanggang mahkamah kepenjenayahan sebelum ini, turut menjadi gabra memikirkan tindakan beliau yang mampu mengganggu-gugat pembelaan anak guam kami masing-masing.

Beliau membuat permohonan yang bukan-bukan, membantah perkara yang remeh-temeh dan beberapa lagi aksi yang tampak seolah-olah ingin menutup kegabraan beliau. Semasa bicara, kegabraan ini terserlah apabila kerap bertanyakan soalan yang tidak langsung kena mengena dengan subject matter mahupun saksi sehinggakan hakim yang terkenal dengan kesabaran yang tinggi itupun terpaksa menegur. Ada juga aksi tidak hadir ke mahkamah kerana sakit beberapa kali yang diragui kesahihannya.

Seolah-olah peguam yang gabra ini tidak tahupun apakah maksud atau maqasid pertanyaan beliau. Sehinggakan kami peguam lain tertanya-tanya adakah beliau sedar atau tidak beliau sedang mengendalikan satu kes bunuh yang natijah sabitannya hanya satu yakni hukuman gantung di leher sampai mati. Its a classic case of asking questions for the sake of asking. Ataupun dengan bahasa mudahnya bertanyakan soalan dengan jurus yang mendedahkan kelemahan sendiri iaitu jurus memancing laut dalam. Ada rezki sangkutlah apa-apa yang menguntungkan anak guam.

Sebenarnya, ada cara untuk menghilangkan gabra ini. Sekurang-kurangnya meredakan ia agar tidak nampak sangat yang kita ini tidak kompeten dalam mengendalikan kes. Lebih membahayakan jika kecuaian kita itu bakal mengkompromi nasib anak guam sendiri. Ianya bermula dengan kejujuran. Tidak semua kes yang kita mahir. Tidak semua kes bunuh itupun contohnya yang ada isu yang pelbagai yang kita ada pengalaman mengendalikannya. There is always be a first time for everything.

Dengan berlaku jujur, kita akan tahu tahap kemampuan kita. Kita akan berguru dengan yang tahu, akan bertanya pada yang berpengalaman, akan bersanad dengan yang ahlinya. Barulah kita tidak akan teraba-raba dalam mengendalikan sesuatu kes waima itulah kali pertama seumur hidup kita menempuh kes yang sebegitu rupa dan sifatnya. Sittu duduk asal usulnya, berlaku jujurlah.

Adalah jauh lebih baik kita gelabah dan bersusah-payah menadah ilmu dan pengalaman mereka yang tahu sebelum kita memasuki gelanggang daripada kita menatang ego kita dan muncul di gelanggang tanpa sebarang ilmu, pengalaman mahupun persediaan. Itu adalah resipi kepada kegagalan yang boleh sangat dielakkan jika kita sudi belajar dan merendahkan diri.

Pengalaman saya sendiri kadang-kadang terpaksa mengendalikan kes-kes yang baru yang asing ataupun timbulnya isu-isu yang saya sendiri tidak tahu cara untuk menanganinya. Maka dengan sukahati dan sukacita saya menghubungi rakan-rakan samada yang lebih senior ataupun yang lebih junior untuk mendapatkan tunjuk ajar dan tips-tips berguna. Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Ilmu baru dapat, respek pun dapat bersama dalam pakej yang sama kerana kita sudi bertanya pada yang ahlinya walaupun orang itu lebih muda.

Seterusnya adalah persediaan atau membuat kerja rumah. Alasan seorang peguam tidak tahu sesuatu isu kerana ianya asing atau pertama kali berjumpa, masih boleh diterima. Namun, jika apa yang menyebabkan gabra itu adalah kerana tidak caknanya terhadap fakta kes itu, ini sangat-sangat tidak boleh diterima sama sekali. Tidak ada alasan untuk tidak membaca atau membuat ulangkaji melainkan kemalasan dan kecuaian semata-mata.

Saya masih ingat zaman chambering di mana saya hadir dengan seribu ketakutan berbekalkan skrip yang dipegang dengan tangan yang terketar-ketar, walaupun hanya untuk sebutan untuk pospon kes semata. Tapi keywordnya di situ adalah persediaan. Skrip tulisan tangan itulah yang membantu mengurangkan gabra di dalam mahkamah.

Kesimpulannya gabra atau gundah itu asam garam pekerjaan peguam. Sedikit gabra mungkin elok juga agar kita tidak sedap duduk dan berusaha keras untuk bersiap siaga ke mahkamah. Pokok pangkalnya jadikan gabra satu sempadan dan bukannya satu amalan setiap kali melangkah ke dalam gelanggang. Wassalam.






Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA