UNDER PROMISE, OVER DELIVER

Assalam,

Hari ini saya menyelesaikan satu tugasan mewakili anakguam dengan penuh kepuasan. Puasnya seperti menyambut kemenangan pasukan Magpies menewaskan Red Devils di St James Park tempohari. Hukuman yang tidak disangka-sangka iaitu lebih ringan daripada yang dihujahkan oleh saya sendiri memberikan sedikit elemen kejutan dalam prosiding hari ini.


Air mata kesyukuran anakguam dan ucapan terima kasih bertalu-talu daripada anak-anak warga emas yang dibawa ke Mahkamah dengan menaiki wilcha yang dipinjamkan oleh polis Mahkamah ini tambah mengesankan jiwa. Anak guam warga emas malah turut mencium tangan saya semasa saya ingin beredar tadi. Satu gesture yang sungguh hebat dari seorang yang jauh lebih berusia menandakan kesyukuran yang tak mampu diucap.

Bukan saya seorang yang menahan emosi tadi, bahkan dari kata-kata Hakim semasa menjatuhkan hukuman saya dapat mengesan elemen kesebakan dalam penuturan beliau. Bahkan 'musuh' saya tadi iaitu timbalan pendakwa raya yang memohon hukuman deteren dan berat juga memaklumkan sejurus selepas hukuman diberikan yang inilah julung-julung kalinya beliau sebak dek kerana nasib yang bakal menimpa seorang tertuduh, yang tidak sepatutnya diperdulikan oleh seorang pendakwa.

Semasa anak-anak kepada anakguam bertanyakan saya sebelum sessi bermula berapakah hukuman yang bakal dijalani oleh ayahanda mereka di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. Saya seperti biasa menerangkan dengan sejujur mungkin bahawa hukuman adalah budi bicara mutlak Mahkamah. Saya hanya mampu membuat jangkaan serta range hukuman berdasarkan available facts dan juga trend penghukuman yang biasa diberikan. Nothing more and nothing less.

Memberi keyakinan kepada anakguam atau keluarga mereka boleh menjadi satu perangkap kepada peguam. Adalah sangat mudah sekali untuk berkata dengan yaqin bahawa hukuman yang bakal diberikan adalah begitu dan begini. Apatah lagi untuk declare bahawa peguam boleh 'secure' pula hukuman yang dihajati. Wow!



Lebih senang lagi meluncur dari bibir peguam untuk menjanjikan bulan, bintang dan 7 petala langit dan bumi semata-mata untuk memberikan keyakinan kepada anakguam. Yakinnya anakguam maka berisilah poket peguam. Itulah sifir mudahnya. Terkadang saya ditanya oleh bakal anakguam, kenapa tuan tidak boleh confirm menang atau hukuman sebegitu sedangkan lawyer lain boleh? Jawapan mudah dan berbahasa saya dengan penuh takzim adalah; lantiklah lawyer itu dan bukan saya.

Memberikan keyakinan yang berlebihan yang tidak konsisten atau parallel dengan kemampuan diri peguam itu sendiri bakal menatijahkan hasil yang kurang memberangsangkan. Apabila hasil yang tidak umpama yang dijanjikan ini yang terhasil, maka muncullah perangkap kedua bagi peguam iaitu menyalahkan semua pihak lain di dunia ini melainkan diri sendiri. Inilah yang dinamakan over promise, under deliver.

Sepatutnya prinsip under promise, over deliver dipegang oleh peguam. Apa yang dijanjikan tidaklah perlu melangit. Cukup sekadar menerangkan yang sahih dan yang berpijak di bumi nyata apakah possible outcome kepada anakguam berdasarkan fakta dan hal keadaan kes anak guam itu sendiri.

Ia mungkin mengandungi perkara-perkara yang tidak sedap didengar serta mungkin memberikan tanggapan bahawa peguam itu tidak confident untuk menang. Tapi, itulah risiko yang harus ditempuh. Risiko tidak dilantik dan tidak dibayar yuran guaman. Jika itu yang berlaku kerana kita berpegang pada prinsip, maka genggamlah prinsip itu kemas-kemas. Rezeki yang jauh lebih baik akan datang dan mungkin kita diselamatkan daripada mengendalikan kes yang menyerabutkan kepala dan anakguam yang bermasalah serta liat membayar yuran.

Adalah lebih baik mengendalikan sesuatu kes dengan niat yang betul, nasihat yang jujur dan kerja yang bersungguh daripada melakukannya atas dasar janji-janji manis dan diakhiri dengan tindakan shifting the blame to others di akhir sesuatu kes. Anda mungkin lambat kaya dan beroleh kes yang lebih sedikit berbanding mereka yang gemar berjanji, namun nilai ketenangan jiwa dan reputasi yang baik di kalangan semua pihak adalah jauh lebih mahal dan bernilai.

Wassalam.

Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA