Loyarberjurus

hanya untuk yang berjurus sahaja

Monday, September 26, 2011

KONSISTENSI v DOUBLE STANDARD




Salam,

Untuk menjadi seorang yang konsisten bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi konsisten dalam melakukan sesuatu yang bagus dan disukai ramai secara berterusan. Seorang penyerang yang konsisten perlulah menjaringkan gol dalam ratio yang baik seperti 1 gol dalam 2 perlawanan misalnya. Begitu juga penjaga gol yang konsisten adalah yang mempunyai rekod clean sheet yang agak banyak dalam semusim.

Konsistensi yang mudah dalam aspek perlanggaran undang-undang dan kekurangan pengajaran. Seperti konsisten lambat ke mahkamah, konsisten melewatkan sembahyang, konsisten berhutang dan juga konsisten memotong Q di jalan raya. Sifat konsisten sebegini senang dijumpai dan ramai yang berbakat dalam aspek ini tanpa perlu digilap.

Paling sukar adalah untuk menjadi konsisten dalam membuat keputusan berlandaskan keadilan dan kebenaran. Jika kita mengatakan hitam pada satu ketika dan putih pula pada ketika yang lain pada perkara yang bersifat sama; kita sudah mengamalkan double standard. Contoh paling mudah adalah ahli politik yang mengatakan ISA itu halal pada satu hari dan mengubahnya menjadi makruh hanya kerana PM telah tiba-tiba menjadi super cool ingin memansuhkannya. Ini dinamakan double standard pada diri sendiri dan pihak lawan yang tidak sependapat.

Kejadian 3 pegawai SPRM yang direlokasikan atau dipetisejukkan ke bahagian pentadbiran kerana sedang disiasat atas tuduhan menyamun pengurup wang boleh dijadikan kes untuk dikaji. Tindakan merehatkan mereka ke bahagian pentadbiran atas alasan tidak mahu mereka terbabit dalam sebarang penyiasatan sekali imbas nampak seperti mulia sungguh niatnya. Namun, adakah tindakan ini konsisten dengan tindakan terhadap orang kebanyakan yang juga dituduh dengan pertuduhan samun?

Adakah orang biasa akan diberi pelepasan sementara sebegitu rupa? Bukankah mereka akan direman semaksimum mungkin dan jika boleh roadshow ke balai-balai akan dibuat bagi menjustifikasi penahanan lebih 14 hari? Tidakkah biasanya kes-kes begini akan segera dituduh apatah lagi yang jelas mempuyai bukti kukuh seperti eye witness, cctv, tangkapan red-handed dan sebagainya? Adakah orang kebanyakan akan dirahsiakan nama mereka sepanjang siasatan untuk mengelakkan mereka dimalukan kerana menjaga nama jabatan?

Jawapan kepada semua persoalan di atas adalah a resounding NO. Jadi, di manakah konsistensi yang dicanangkan wujud dan dilaksanakan dalam kes begini? Perkara yang sama juga seringkali berlaku jika melibatkan VVIP, ahli politik, selebrititi dan sebagainya. Kelihatan layanan yang tidak sama rata diberikan berbanding kepada orang yang tidak punya apa-apa. Inilah yang dinamakan double standard. Mengapa perlu golongan ini dilebihkan walhal mereka menghadapi situasi yang sama dengan ramai OKT di mahkamah saban hari.

On the other side of the coin, konsistensi juga perlu wujud pada persepsi dan pandangan ahli masyarakat bahawa mereka ini bukan lagi penjenayah yang sudah disabitkan. Menjatuhkan hukuman dan menganggap mereka guilty as charged juga bukanlah satu tindakan yang konsisten. Kita tidak wajar menjadi orang yang melaungkan keadilan jika kaum kerabat kita yang dituduh; sebaliknya pantas menjatuhkan hukuman jika orang lain yang dituduh. Pendek kata, cakap hendaklah serupa bikin.

Walau bagaimana berat tuduhan terhadap mereka, walau betapa tinggi kedudukan mereka, walau bagaimana benci kita dengan jenayah yang mereka dituduh itu; mereka hanya wajar dicabut nyawa atau disumbat ke penjara melalui proses undang-undang. Anything less than that, then we are again being inconsistent and practicing double standard for the umpteenth time. Wassalam.

Monday, September 12, 2011

MIN HAITHU LA YAHTATHIB




Salam,

Perbezaan utama antara mereka yang makan gaji dengan bekerja sendiri adalah berkenaan dengan persoalan rezeki yang diperolehi saban bulan. Bagi yang menjadi "orang gaji" datanglah ribut mahupun taufan, pasti bibir mereka akan tersenyum pada satu tarikh yang pasti di setiap hujung bulan. Tidak kiralah gaji tersebut akan habis menjelang tengah bulan atau tidak, hakikatnya, security itu satu nikmat yang besar yang wajar dihargai oleh setiap yang makan gaji. Tak perlu petir minda bagaimana hendak mendapat gaji, cukup sekadar melaksanakan tugasan dengan amanah tanpa sebarang tekanan (di alam fana barangkali).

Bagi yang bekerja sendiri, security bulanan itu seolah-olah tiada langsung. Sumber kewangan adalah tidak tetap (fluctuate). Pendek kata jika ada yang bertanya berapa gaji saya, akan dijawab antara kosong ke infinity. Wujudnya juga perasaan uncertainty dalam mencapai target bulanan. Cukupkah bulan ini? Negatifkah pendapatan bulan ini atau berapa banyak yang boleh disimpan bulan ini? Lepaskah overhead, gaji staff pula bagaimana? Persoalan-persoalan ini mengisi lakuna yang divakumkan dek kerana tiadanya sense of security itu.

Apabila wang poket kita untuk menyuap seisi keluarga perlu datang dari usaha dan keringat sendiri; sebenarnya mencetuskan pelbagai aura dan sikap positif. Saya secara peribadi berasakan pergantungan kita kepada Allah menjadi lebih kuat. Solah dhuha kita, amalan-amalan seperti selawat tafrijiyyah dan ayat seribu dinar menjadi lebih kerap dilakukan. Ikhlas atau tidak biarlah Allah yang menilai tapi jika kena caranya, sifat tawakkal kita akan lebih membuak-buak. Kadang-kadang kita hanya melihat usaha keras kita, contact yang kita ada, modal yang kita sediakan dan sebagainya, namun faktor hubungan dengan Allah yang memudahkan aliran rezeki seringkali kita abaikan.

Jika kita yakin dengan usaha kita digabung dengan tawakkal kita kepada Allah, sudah tentu kita tidak akan keluh-kesah dan terlalu risau tentang rezeki kita. Bak kata penggali kubur dalam siri kesukaan saya Tanah Kubur; 'rezeki yang halal itu sentiasa akan cukup walau berapa jumlahnya'. Kita akan bertembung dengan musim kemarau dalam pencarian rezeki tapi kita tak akan berputus asa. Sebaliknya, jika kita mendapat banjir besar bahkan tsunami sekalipun, kita akan tetap bersyukur.

Satu lagi aspek yang memberikan kepuasan kepada mereka yang bekerja sendiri adalah setiap sen yang kita perolehi itu terasa begitu manis dan bermakna. Segala penat lelah, keperitan dan cabaran yang kita tempuhi dibalas secara terus kepada kita. Nikmat ini adalah sangat besar dan tidak mungkin dapat difahami oleh mereka yang makan gaji walau gaji mereka semahal gaji Lionel Messi atau Perdana Menteri Singapura sekalipun. Benarlah sabda nabi S.A.W bahawa 9/10 daripada sumber rezki itu adalah dari sumber perniagaan.

Aspek yang tidak kita nampak tapi benar adalah sumber rezeki ini datang dari pelbagai cara dan jalan. Kadang-kadang orang yang kita sangka tidak menyukai kita menjadi sumber rezeki kita kerana beliau menghargai kemampuan kita. Berlaku juga orang mengambil khidmat kita hanya kerana melihat sendiri prestasi kerja kita tanpa sebarang pengantara. Boleh terjadi juga sumber-sumber yang kita tidak jangka langsung seperti dari kawan yang sudah lama terpisah, pembaca blog kita mahupun orang yang sekadar selesa dengan sikap dan tingkahlaku kita.

Bak kata lirik lagu kumpulan alfarabi band; jika rezeki itu di laut selamilah, jika di gunung dakilah, jika di lembah turunilah. Apa yang dituntut dari kita hanyalah usaha gigih yang berterusan dan diperkemaskan dengan azam dan tawakkal, Insyaallah akan muncul rezeki dari sumber-sumber yang tidak langsung disangka-sangka ini.

Sebagai orang yang berpeluang pernah merasai kehidupan di kedua-dua alam tersebut; saya berpandangan kita wajar mensyukuri dan berpada dengan pekerjaan kita. Sumber rezeki kita biarlah tidak sebanyak orang lain tetapi berkat dan hati kita enjoy melaksanakan tugasan dan rutin harian kerja. Jika kedua-dua berkat dan enjoy ini sudah tiada dalam kamus pekerjaan kita; maka usah berlengah lagi. Tukarlah kerjaya kepada yang lebih berkat dan membahagiakan. Usah dilihat bintang di langit, cukup diperhati rumput di tanah. Wassalam.