DILEMA SEORANG LOYAR
Salam,
Dilema adalah satu perkataan yang unik dan signifikan dalam hidup kita. Perkataan dilema juga diabadikan dalam lagu-lagu yang lunak didengar seperti "Di Persimpangan Dilema" oleh Nora dan juga lagu-lagu yang tak berapa merdu didengar seperti "Di Dalam Dilema" oleh KRU. Che Det juga menggunakan perkataan dilemma dalam buku beliau. Adalah sesuatu yang bagus apabila kita berada di lembah kedilemaan ini kerana ia menunjukkan kita mempunyai pilihan untuk dibuat.
Saya juga menghadapi pelbagai dilema saban hari. Sekecil-kecil dilema seperti hendak pakai tie warna apa untuk dipasangkan dengan uniform tahi cicak ke mahkamah dan lebuhraya yang mana yang kurang jemboree (kesesakan lalulintas) apabila pulang ke rumah supaya sempat sampai sebelum gelap. Namun, terkadang ada juga bertembung dengan dilema yang tidak digemari seperti berhadapan dengan anak guam yang degil, tamak atau lebih sudu dari kuah dan bertindak lebih loyar dari loyar sendiri.
Kita sering mendengar bahawa peguam melaksanakan arahan anakguam atau peguam perlu mendapat "instruction" anakguam terlebih dahulu. Adakah itu yang sewajarnya? Mengapakah loyar selaku orang berotak dan berkelayakan perundangannya perlu diarah oleh anakguam yang mungkin hanya pakar dari aspek perlanggaran undang-undang sahaja? Ini berlaku kepada saya di mana anakguam yang menghadapi pertuduhan 39B tidak mahu menerima peluang pertuduhan diringankan walhal beliau yang beria-ia meminta saya menulis representasi sebelum ini. Beliau sebaliknya dengan tenang mengatakan "hati kecil saya yakin saya akan bebas, lagipun saya tak bersalah".
Saya sering menasihatkan anakguam mahupun keluarga mereka bahawa sebarang keputusan untuk sesuatu kes terutamanya yang melibatkan nyawa sebagai taruhannya; hendaklah diputuskan oleh yang empunya tubuh iaitu OKT. Peguam atau keluarga tiada hak untuk memaksa OKT mengaku salah atau sebaliknya. Namun, itulah yang "rampant" berlaku di mahkamah-mahkamah rendah di mana loyar-loyar "panel" yang pakar dalam urusan mitigasi dan bantah jamin; akan memaksa anakguam mengaku salah walaupun mungkin tindakan itu bukan pilihan yang terbaik. Loyar bertugas memberi nasihat dan pandangan serta cadangan jalan mana yang terbaik untuk OKT demi kebajikan beliau dan keluarga beliau. Pertimbangan utama adalah seperti dalam kes saya adalah untuk menyelamatkan OKT dari tali gantung yang tidak kenal belas kasihan.
Dilemanya di sini; bagaimana jika pilihan yang dibuat oleh anakguam itu bukan yang terbaik untuk dirinya? Seperti dalam kes saya, OKT sanggup memperjudikan nyawanya sebagai cagaran untuk mendapat kebebasan yang total. Walau betapa percaya saya sekalipun dengan cerita beliau, saya tidak akan berupaya menjalankan tugas dengan baik dan hati yang tenang kerana saya sendiri percaya 95% beliau akan disabitkan dan dihukum gantung, walau terrorist bagaimanapun loyar kerana fakta tidak boleh diubah. Melainkan jika ditanya kepada loyar-loyar yang juga adalah ahli silap mata yang boleh membawa saksi-saksi ghaib atau keterangan yang "suprise".
Maka, perlukah loyar itu meneruskan tanggungjawabnya dalam keadaan dilema begini? Ditelan sakit perut, diluah gastrik pula. Dalam keadaan anakguam yang tidak mahu menerima nasihat dan lebih percaya loyar residen di Sungai Buloh serta "instinct" beliau sendiri; bolehkah saya meneruskan tugasan membela beliau? Bagaimana jika beliau benar-benar digantung dalam keadaan saya tidak dapat meyakinkan beliau untuk mengaku salah dan memberi peluang beliau kembali ke pangkuan isteri dan anak-anak dalam masa 7 ke 10 tahun lagi?
Percayalah bahawa beban dan amanah menjadi loyar kes-kes jenayah adalah maha berat dan belum tentu ramai yang mampu menanggungnya. Jika kiblat kita adalah harta benda dan RM tanpa memperdulikan nasib anakguam yang dibela; nescaya kita boleh tidur nyenyak di malam hari. Namun, jika kita ingin jadi loyar yang bertanggungjawab, berusaha memberi pilihan terbaik untuk anakguam di samping berusaha keras mempertahankan kebenaran dan timbangrasa dengan kawan dan lawan; itulah yang mengundang dilema setiap hari. Tiada Brabus (atau berambus) mahupun Mercedes (atau Mek Sedih) yang boleh melenyapkan dilema ini.
Semoga niat yang betul, minat yang mendalam serta keazaman yang tinggi untuk berkhidmat menjadi antibiotik yang jitu untuk mengubati dilema yang timbul ini. Maaf kerana memberi anda dilema kerana membaca cerita separuh masak mengenai dilema seorang loyar ini. Wassalam.
entri ini memberi satu kekuatan dan harapan pada saya. terima kasih.
ReplyDeletememang dilema...lebih letih bila anakguam atau keuarga lebih bijak dek informasi kedai kopi..satu kes, Keluarga nak saman malu pengadu slps anakanya, Kanak-kanak PG kes 376 dan dapat bon berkelakuan baik..ada justifikasi ke saman malu itu?
ReplyDeleteSalam Madaniah,
ReplyDeleteSama-sama. Semoga sedikit nukilan hasil dari pengalaman yang tidak seberapa ini dapat memberi sedikit cuitan kepada hati2 pengamal undang-undang atau bakal yang memahami.
Salam loyar Krai yang dihormati,
ReplyDeleteAdalah menjadi satu yg normal utk pihak keluarga bermati2an mempertahankan kebenaran ahli keluarga hingga sampai tahap ingin saman malu dsb. Biasanya saman malu atas prosiding jenayah yg berlangsung hanya ada merit jika kita dapat tunjukkan dalam bicara itu adanya pembohongan di pihak saksi ataupun wujudnya pendakwaan mala fide. Maknanya 99% tidak ada justifikasi utk saman sebenarnya.
sabar bro. saya pun kadang mengalami kerumitan. ada anakguam yang dengar instruction dari loyar lain. sedangkan kita secara official mengendalikan kes tersebut. bilamana loyar yang memberi instruction itu bukan accidentologist maka ada arahan2 yang bersifat tidak masak dan matang. malah menyusahkan semua pihak; mahkamah, saya, saksi2 dll. kalau awak nak dengan loyar lain kami boleh saman awak untuk legall fees. apabila dengar kata2 begini dia berubah fikiran. bukan setakat mereka boleh ugut kami loyar. kita pun boleh gertak mereka juga..
ReplyDeleteSalam bro Rohan pakar accidentologist,
ReplyDeleteMenarik juga gertak-menggertak ni, tapi mungkin kena case by case basis dan tengok kesesuain kes dan client.
terima kasih ..nice article ..teruskan menulis dilema peguam jinayah, buat panduan ambo yg baru nak kenal2 ni
ReplyDeleteu/p saya berterimakasih kpd sdr zack yg telah ajar saya skill fire balik client di SICO dulu
- muhd abduhu-
Salam saudara Abduhu,
ReplyDeleteTerima kasih kembali. Sudi2kan memberi respons untuk menambah baik lagi skil dan kepakaran bersama.
Tuan Ariff,
ReplyDeleteAkak belum berkesempatan menjadi loyar...teruskan niat yg murni tu...setiap perbuatan disertai dengan niat..ALlah mengetahui niat kita...moga mampu merubah sistem perundangan juga satu hari nnti..inshaALlah.
Salam,
ReplyDeleteMaaf lambat sangat reply. Teruskan menegur saya jika saya tersasar terima kasih.