ADA APA DENGAN REPRESENTASI

Salam,

Representasi adalah satu perkataan keramat yang selalu diungkapkan dalam arena kepeguaman jenayah. Terkadang, ia umpama satu penawar atau antidot yang teringin sangat didengar oleh telinga sang tertuduh yang saban hari dicengkam jeriji besi. Mereka yang tertekan samada tekanan kehidupan penjara yang serba menyesakkan itu, ataupun tekanan akibat ketidakpastian dalam hidup mereka. Berapa lamakah lagi aku akan hidup, adakah cahaya di hujung terowong ataupun adakah nyawaku akan berakhir di tali gantung.

Representasi sudah menjadi common word dan judicial notice bahkan di kalangan orang awam. Walaupun kadang-kadang sebutannya silap seperti ada yang menyebutnya lepresentasi atau represent atau lebih canggih lagi rap sahaja. Pokok pangkalnya, harapan yang disandarkan pada keajaiban representasi oleh seorang peguam jenayah begitu tinggi, bahkan dianggap boleh menyelamatkan nyawa.

Let's get the record straight. Pertamanya, menulis surat representasi samada memohon pertuduhan lebih ringan atau menarik balik terus pertuduhan hanyalah salah satu pilihan yang ada dalam sesuatu kes jenayah. Pilihan yang lain adalah mengaku salah, minta bicara atau ada juga loyar silap mata menasihatkan supaya tertuduh menghilangkan diri (not advisable). Keduanya, tidak semua kes yang sesuai atau berbaloi untuk ditulis satu representasi. Kes yang keterangannya overwhelming mungkin hanya membuang masa untuk representasi kerana alasan yang tinggal hanyalah alasan kemanusiaan sahaja. Tiada merit langsung untuk dipertimbangkan oleh pihak TPR dan bakal menempah nasib di bakul sampah.

Dalam arena kepeguaman jenayah, ada species peguam yang dipanggil peguam mitigasi atau peguam bound over sahaja. Seperti mana ada juga DPP yang termasuk kategori DPP sebutan semata-mata. Mereka tidak salah, mungkin kerana masih baru mereka berada di posisi sebegitu. Yang tidak betulnya jika mereka berterusan (dan berbahagia) berada di level tersebut tanpa mahu upgrade kedudukan mereka menjadi pengamal undang-undang yang lebih baik.

Wujud juga species peguam yang bergantung harap dan menjadikan representasi sebagai modal mereka untuk mendapatkan kes. Selalunya, peguam begini akan menjanjikan kejayaan dan pembebasan dengan hanya menulis representasi dan pelbagai janji ditabur untuk menggoda anakguam melantik mereka. Selalunya berlaku, apa yang dijanjikan itu tidak semudah itu untuk menjadi kenyataan. Hasilnya, dan malang kepada anakguam, peguam haprak sebegini akan meninggalkan anakguam mereka dan enggan meneruskan perbicaraan kes. Jadi, moral of the story, beware of this rare species of lawyers.

Sedikit nasihat saya untuk rakan peguam dalam menulis representasi ini. Banyak representasi saya ditolak walaupun kita merasakan meritnya cukup kuat. Tidak kurang juga yang berjaya membuka mata pihak DPP agar menggunakan budibicara dan kuasa mereka dengan seadilnya. Pertamanya, tulislah representasi jika itu berbaloi. Elakkan menulis semata-mata untuk drag kes tersebut, atau dengan kata lain writing for the sake of writing. Kaji kekuatan dan kelemahan kes anakguam dengan teliti dan advise accordingly mengikut peculiar facts of each case.

Keduanya, yang paling mustahak, representasi bukan medan  penglipur lara dan menceritakan 100% versi tertuduh tanpa membandingkannya dengan versi pendakwaan. Peguam kena realistik. Tidak semua cerita anakguam tu tepat dan tidak semua versi pendakwaan itu menyimpang. Cuba untuk selarikan kedua-dua versi dan jika ada kemukakan keterangan sokongan yang mungkin pihak IO terlepas pandang dalam siasatan beliau. Ingatlah bahawa DPP itu umpama seorang chef yang memasak masakan mengikut resepi yang dicari oleh IO kes.

Ketiganya, timing adalah segalanya. Menulis representasi seeloknya dibuat selepas keseluruhan dokumen pendakwaan diperolehi. Tujuannya agar sudut pandang kes pendakwaan telah kita nilai dan bandingkan sebelum kita mula mengetuk keyboard. Masa yang terbaik juga adalah selepas keterangan saksi utama contohnya mangsa atau AP yang berjaya kita koyak-rabakkan atau tidak langsung implicate anakguam kita. Dapatlah kita masukkan excerpt dari keterangan ini dalam reperesentasi. Inilah yang saya lakukan sehingga pihak DPP bersedia menarik balik terus kes 39B yang melibatkan saksi agent provocateur, satu jenis kes 39B yang amat direbuti oleh rakan DPP.


Keempatnya, harus diingat bahawa representasi ini bersifat without prejudice basis. Ada sesetengah peguam berpendapat rugi jika dalam representasi jurus-jurus terkuat kita didedahkan. Ada benarnya juga di mana pendakwaan mungkin boleh memperbaiki kes mereka. Tapi bagi saya, jika kita yakin point kita itu kuat dan bermerit, mengapa perlu kita risau untuk mendedahkannya dalam representasi? Selain menunjukkan kita gentleman dan yakin dengan kelebihan taktikal kita, ia juga menunjukkan kita tidak bergantung pada kelemahan lawan dan serangan hendap untuk memenangi sesuatu kes.

Akhir sekali, to write or not, terpulang pada sesuatu kes. Jika menulis satu representasi itu kita percaya dapat menyelamatkan satu nyawa, memberikan peluang kehidupan kepada sang tertuduh atau mengurangkan penahanan beliau di penjara, go ahead. By all means buatlah representasi yang terbaik umpama satu hujahan penuh. Berjaya atau tidak bukan isunya kerana dengan membuat representasi yang bagus pada kes yang sepatutnya, kita telah melakukan keadilan dengan meletakkan sesuatu di tempatnya. Wassalam.



Comments

  1. assalammualaikum...saya bukan seorang lawyer, cuma orang biasa yang berminat untuk mengetahui tentang perundangan..macam mana saya boleh berkomunikasi dengan Encik? boleh beri saya email? TQ

    ReplyDelete
  2. Walaikumsalam anonymous,

    Boleh email saya di imazaffira@gmail.com tq

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA