HUJAHAN KES 39B (DEFENCE STAGE)




PENGHUJAHAN PEMBELAAN DI AKHIR KES PEMBELAAN

1. Pendahuluan

  • Dalam kes ini OKT telah dipanggil membela diri ke atas pertuduhan yang dikemukakan. Keputusan ini diasaskan pada anggapan di bawah Seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya (anggapan berat) selepas pendakwaan berjaya membuktikan elemen possession pada peringkat prima facie.
  • Ini bermakna pembelaan dipanggil bukanlah atas asas bahawa wujudnya direct evidence of trafficking (act of carrying) kerana pada peringkat prima facie, apa yang dibuktikan hanyalah mere act of carrying. Ini adalah jelas berdasarkan kes Ong Ah Chuan v PP [1981] 1 MLJ 64 [TAG 1].
  • Oleh itu, beban pembelaan pada peringkat ini ialah untuk mematahkan anggapan di bawah Seksyen 37(da) ADB ini atas imbangan kebarangkalian. Pohon rujuk kes PP v Yuvaraj [1969] 2 MLJ 89 [TAG 2] dan kes Mohamad Radhi bin Yaakob v PP [1991] 3 CLJ 2073 [TAG 3].
  • Memandangkan asas kes pembelaan adalah on the premise that versi pendakwaan yang dikemukakan adalah tidak benar berbanding versi pembelaan; maka panduan di dalam kes Mohamad Radhi di atas hendaklah dipatuhi.
  • Oleh itu, apa yang perlu OKT buktikan adalah memberikan satu penjelasan yang jujur (innocent explanation) yang berkemungkinan boleh menjadi benar (more likely than not that it was true) di atas imbangan kebarangkalian bahawa berkemungkinan barang kes dadah yang dikemukakan di mahkamah bukanlah dijumpai pada milikan beliau.

2. Hujahan pembelaan

  • Pihak pembelaan ingin menggunapakai kembali hujahan pihak pembelaan di akhir kes pendakwaan sebelum ini. Di peringkat ini, mahkamah perlulah membuat penilaian keseluruhan keterangan pendakwaan dan pembelaan serta memutuskan adakah pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Beban untuk membuktikan kes tetap berada di bahu pendakwaan throughout the trial.
  • Kami berhujah bahawa beban ini telah berjaya dipatahkan atas alasan-alasan yang berikut;

1) Pembelaan yang diberikan bukanlah satu pembelaan fikir kemudian (afterthought defence).

a. Jika diteliti line of defence pihak pembelaan sejak di peringkat kes pendakwaan lagi telahpun dikemukakan melalui saksi-saksi pendakwaan terutamanya pegawai tangkapan dan juga IO kes.

b. Saksi-saksi ini telahpun dicabar secara spesifik bahawa OKT telah ditangkap lebih awal di hadapan kedai gunting rambut beliau dan bukannya seperti keterangan saksi pendakwaan. Dengan kata lain, pembelaan bahawa OKT tiada pemilikan serta pengetahuan berkenaan barang kes dadah sudah pun awal-awal lagi dikemukakan.

c. Kewujudan saksi-saksi yang melihat tangkapan OKT di hadapan kedai gunting rambut beliau seperti versi pembelaan juga telah dikemukakan awal-awal juga.

d. Oleh itu tidaklah timbul persoalan pembelaan adalah afterthought ataupun satu recent invention. Rujuk kes Mahkamah Agung PP v Lin Lian Chen [1992] 2 MLJ 561 SC (m/s 8 & 9) [TAG 4].

e. Dihujahkan bahawa kewujudan DW2 dan DW3 tidaklah boleh dikatakan sebagai satu recent invention kerana telah dikemukakan melalui soal-balas terhadap saksi pendakwaan yang mana telah mencadangkan adanya saksi-saksi ini termasuklah isteri dan pemilik kedai sekitar. Ini bermakna, kewujudan DW3 juga termasuk dalam cadangan ini. Pembelaan tidaklah perlu mengemukakan soalan secara terperinci sehingga menamakan siapakah saksi-saksi yang wujud itu.

f. Mahkamah Persekutuan telah memberikan garis panduan yang jelas berkenaan tahap beban yang perlu kepada pembelaan dalam mengemukakan pembelaan di peringkat kes pendakwan; di dalam kes Alcontara a/l Ambross Anthony v. PP [1996] 1 CLJ 705 [TAG 5].

g. Pembelaan OKT dikukuhkan lagi dengan fakta bahawa percakapan beramaran beliau (D17) telah dikemukakan semasa kes pendakwaan. Isi kandungan D17 adalah pada asasnya sama dengan pembelaan OKT di mahkamah. Fakta bahawa D17 ini dirakamkan pada 2/3/2009 iaitu 2 hari selepas tangkapan dan sehari selepas OKT dimasukkan ke wad hospital; perlulah dipertimbangkan dalam memberi weight kepada D17. Berdasarkan kes Alcontara di atas, D17 ini cukup untuk dikatakan sebagai disclosure of the defence at the earliest opportunity.

h. Dalam tempoh sesingkat itu, OKT telahpun memberikan pembelaan beliau tanpa akses peguam dan semasa di dalam tahanan reman. Kebarangkalian pembelaan ini direka adalah highly unlikely. Tambahan pula dalam keterangan pendakwaan sendiri, OKT telah menyatakan innocence beliau. Keterangan SP3 dalam pemeriksaan utama lagi;

i. Penilaian juga hendaklah diambilkira dengan keterangan IO kes (SP5) yang gagal berbuat apa-apa untuk discharge burden untuk disprove pembelaan OKT yang dikemukakan seawalnya melalui D17. Menurut SP5, beliau tidak membuat follow up pergi sendiri ke rumah Rock. Beliau hanya menyiasat Rock berdasarkan maklumat oleh SP2 sahaja.

j. Untuk menyalahkan OKT yang dikatakan gagal memberi maklumat terperinci mengenai Rock pun tidak boleh kerana SP5 telah tidak pergi pun ke rumah Rock yang telah dikunjungi SP2 dan anggotanya sebelum itu. Jika kewujudan rumah ini juga tiada, barulah boleh dikatakan Rock mestilah satu watak rekaan (fictitious character). SP4 malah mengatakan ada bercakap dengan jiran berdekatan rumah Rock yang juga sepatutnya disiasat oleh SP5 untuk mengesahkan/menafikan kewujudan Rock.

k. SP5 juga tidak merakamkan percakapan isteri OKT (DW2) walaupun D17 jelas menyatakan kewujudan saksi ini. Beliau juga tidak menyiasat langsung berkenaan kedai gunting rambut OKT. Dalam keadaan tiadanya siasatan yang memuaskan mengenai Rock, saksi seperti dalam D17 serta kedai gunting rambut OKT; dihujahkan mahkamah tidak boleh rule out bahawa pembelaan OKT berkemungkinan benar. Had the IO put a little effort untuk mencari kebenaran; perkara ini boleh diketahui lebih awal sebelum kes di bawa ke mahkamah lagi.

2) Pembelaan juga bukanlah satu penafian kosong (bare denial).

a. Pembelaan OKT bersifat menunjukkan bahawa versi tangkapan oleh pendakwaan adalah tidak benar berbanding versi tangkapan yang dikemukakan oleh OKT. OKT tidak memberi penafian kosong semata-mata bahkan memberi penjelasan bagaimana versi beliau boleh jadi benar. Pembelaan OKT juga turut disokong oleh 2 orang saksi. Saksi-saksi ini juga could have been prosecution witnesses jika adanya usaha di pihak SP5.

b. Rujuk kes D.A. Duncan v PP [1980] 2 MLJ 195 [TAG 6]. Bare denial hanya wujud dalam keadaan keterangan pembelaan OKT hanya bersifat menafi tanpa sebarang penjelasan atau keterangan untuk dislodge keterangan pendakwaan.

c. Namun, dalam keterangan pembelaan OKT telah bukan sahaja menafikan pemilikan barang kes dadah; bahkan turut memberikan penjelasan yang munasabah yang menunjukkan keraguan mengenai versi pendakwaan sendiri.

d. Oleh itu, keterangan bersifat sebegini tidak boleh dianggap satu pembelaan bersifat bare denial. Pembelaan telah memberikan bukti untuk reasonably dislodge keterangan pendakwaan. Rujuk kes PP v. Ling Tee Huah [1982] 2 MLJ 324 (m/s 4)[TAG 7].

3) Pembelaan yang diberikan adalah berkemungkinan benar, konsisten dan disokong.

a. Di peringkat ini; mahkamah perlulah membandingkan keterangan pembelaan dengan keterangan pendakwaan unutk melihat samada keterangan itu dapat menidakkan atau mengiyakan cerita OKT. Pohon rujuk kes PP v Hua Tean Ning [2005] 8 CLJ 509 (m/s 529) [TAG 9].

b. Kewujudan kedai gunting OKT- Keterangan OKT bahawa beliau mempunyai kedai gunting rambut sendiri bukanlah rekaan dan disokong oleh DW2 dan DW3 malahan, ekshibit pembelaan yang dikemukakan iaitu D20 (a-e) iaitu pendaftaran perniagaan kedai tersebut atas nama DW2 mengesahkan perkara ini. SP5 pun mengakui dalam keterangan beliau bahawa beliau tahu OKT mempunyai kedai gunting rambut sendiri yang didaftarkan atas nama DW2. Dihujahkan, asas cerita bahawa OKT ditangkap di luar kedai gunting beliau sendiri tidak boleh diketepikan (dismissed) begitu sahaja.

c. Kewujudan Rock dan Tiar- OKT telah dapat menerangkan dengan yakin mengenai Rock serta Tiar dari segi asal-usul mereka dan kewujudan mereka. Kewujudan 2 orang ini dinyatakan dalam D17 lagi dan bukanlah pertama kali dikemukakan semasa kes pembelaan. Keterangan mengenai kewujudan Rock turut disokong oleh DW2 yang juga mengenali Rock.

d. Saranan pendakwaan bahawa pihak polis boleh tunggu di rumah Rock untuk Rock balik lepas itu jika benar Rock tinggal di situ adalah tidak berasas dan sepatutnya soalan ini ditanyakan kepada SP2 dan SP4. Mengapakah SP2 dan SP4 tidak menunggu di situ untuk memastikan Rock balik atau tidak? Mengapakah IO tidak membuat follow up untuk menangkap Rock di rumahnya? Dibandingkan kes pendakwaan dan pembelaan; ada kemungkinan benar pihak polis tidak berbuat apa-apa dan berpuas hati dengan OKT sebagai ganti Rock, tidak boleh diketepikan.

e. Mengenai Tiar pula adalah munasabah cerita OKT bahawa beliau tidak tahu apa berlaku kepada Tiar selepas beliau dan Tiar dibawa ke balai. Ini kerana berkemungkinan Tiar adalah informer polis malah OKT ada menyatakan Tiar gelak-gelak dan senyum-senyum dengan polis semasa mahkamah bertanya apa terjadi kepada Tiar.

f. Untuk meletakkan beban ke atas pembelaan untuk mengemukakan Rock dan Tiar sebagai saksi yang boleh menyokong cerita OKT adalah sesuatu yang salah. Apatah lagi dalam keadaan watak Rock dan Tiar ini telah diketahui awal-awal oleh polis melalui D17.

g. Kemungkinan benar tangkapan di hadapan kedai gunting- Hujahkan keterangan OKT bahawa beliau ditangkap oleh beberapa lelaki di hadapan kedai beliau adalah munasabah. Keterangan ini disokong oleh DW2 dan DW3 yang dapat melihat dengan jelas apa yang berlaku dari dalam kedai melalui cermin besar yang lutsinar. Ini bermakna, ada 2 eye witnesses yang menyaksikan tangkapan ini yang perlu diambilkira oleh mahkamah. Bolehkah mahkamah dismiss keterangan terbaik ini begitu sahaja? Apatah lagi dalam keadaan pihak polis tidak pernah cuba untuk verify kesahihah cerita OKT?

h. DW2 dan DW3 juga telah menerangkan dengan terperinci dan konsisten mengenai keadaan kedai serta kedudukan cermin. Keterangan mereka menunjukkan lokasi di mana kereta Waja berada memang boleh dilihat dari dalam kedai. Ini mengukuhkan keterangan OKT bahawa beliau nampak orang dari kereta Waja melambai memanggil beliau. DW3 semasa menjawab soalan mahkamah menerangkan besar cermin hampir keseluruhan dinding, memang nampak jelas dan kalau duduk dalam boleh nampak walaupun sebelah sini kereta Waja juga boleh nampak dari dalam.

i. Ini perlu diambilkira dengan fakta bahawa tiada langsung siasatan yang dibuat oleh SP5 terhadap kedai gunting samada lawatan, gambar atau rajah kasar. Oleh itu, keterangan pembelaan mengenai kedai ini dan kedudukannya yang visible ke arah luar melalui cermin lutsinar wajar diterima oleh mahkamah sebagai benar. Lakaran P22 oleh DW3 yang diminta oleh pendakwaan mengukuhkan perkara ini.

j. Keterangan DW2 dan DW3 mengenai keadaan persekitaran kedai gunting juga adalah konsisten. Mereka dapat menjelaskan dengan baik apakah kedai-kedai lain disekitar. Mereka juga menjelaskan kenapakah hanya kedai gunting OKT saja yang beroperasi dan tiadanya saksi lain. Dalam ketiadaan apa-apa keterangan pendakwaan mengenai perkara ini, maka keterangan pembelaan hendaklah diterima. Oleh itu adalah munasabah pada masa tangkapan itu, hanya kedai gunting saja beroperasi dan tiadanya saksi lain berdekatan.

k. Keterangan DW2 mengenai reaksi beliau selepas melihat suami beliau dibawa ke dalam kereta Waja adalah munasabah. Beliau tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa. Beliau tidak tahu di mana hendak mencari suami beliau. Tambahan pula anak-anak beliau masih kecil (semasa kejadian lebih kurang 1 dan 3 tahun) dan menangis ketika itu.

l. DW2 turut menjelaskan mengapakah dalam 3 hari baru DW3 hubungi beliau bertanyakan tentang OKT kerana selepas OKT ditangkap, DW2 tidak tinggal di kedai gunting, tetapi di rumah kakak beliau di Hulu Langat. Hujahkan, apa lagi yang diharapkan mampu dibuat oleh seorang suri rumah yang bergantung kepada suaminya, mempunyai 2 anak yang masih kecil, selain apa yang telah dibuat oleh DW2? Hujahkan tindakan beliau adalah munasabah dan beliau telah menjelaskan kenapa beliau berbuat sedemikian.

m. DW2 juga telah menghubungi abang sepupu beliau yang bekerja di Bukit Aman bertanyakan mengenai OKT. Adalah munasabah juga selepas 2 minggu baru DW2 dapat berjumpa dengan OKT di penjara kerana tempoh tahanan reman OKT sebelum itu. Saranan pendakwaan bahawa DW2 sepatutnya mencari Rock selepas OKT ditangkap juga tidak munasabah. Mengapa pula DW2 hendak mengesyaki Rock? DW2 bukannya ada pengetahuan apa yang berlaku kepada OKT pada hari kejadian. Beliau bahkan kenal Rock hanya sebagai pelanggan kedai gunting.

n. Keterangan reaksi DW3 juga munasabah. Selepas melihat tangkapan OKT, beliau bertanya kepada DW2. Disebabkan DW2 diam sahaja, beliau membuat keputusan untuk tidak masuk campur dan segera pulang kerana nak sambung kerja balik. Penjelasan beliau mengapakah 3 hari selepas itu beliau menghubungi DW2 bertanyakan OKT juga adalah munasabah. Beliau hanya bertanya selepas dapati kedai gunting itu tutup iaitu bertanya kenapa kedai tutp kepada DW2.

o. DW3 menjelaskan beliau tak syak apa-apa kerana ingat itu kawan-kawan OKT. Walaupun beliau bimbang, beliau malas nak campur tangan kerana takut itu hal peribadi OKT. Jadi, tindakan DW3 juga munasabah. Begitu juga adalah lojik kenapa beliau tidak melaporkan kepada polis dan sebagainya.

p. Saranan pendakwaan bahawa DW2 dan DW3 sepatutnya tampil ke hadapan berjumpa IO kes membantu siasatan adalah tidak munasabah. Sedangkan pembelaan OKT di dalam D17 pun tidak disiasat dan ditolak mentah-mentah oleh SP5; apa harapan yang ada untuk DW2 dan DW3? Adalah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk menyiasat keseluruhan kes termasuklah saksi dan fakta yang menyebelahi pembelaan sekiranya benar pihak polis ingin mencari kebenaran.

q. DW2 dan DW3 juga memberikan penjelasan konsisten dan terperinci mengenai bagaimana mereka boleh mengenali sekian lama. Mereka saling mengenali kerana DW3 pernah bekerja dengan bekas suami DW2. DW2 mengesahkan perkara ini semasa disoal oleh mahkamah. DW3 malah dapat memberikan nombor telefon DW2 apabila dicabar oleh pendakwaan. Oleh itu, adalah tidak boleh dikatakan bahawa DW3 adalah watak rekaan yang datang semata-mata untuk membantu OKT.

r. Kemungkinan frame up di pihak polis- Diteliti kes pendakwaan; SP2 telah diajukan bahawa beliau pernah disiasat sebagai saspek dan ditahan atas tuduhan di bawah Seksyen 39B. Fakta ini diakui sendiri oleh SP2. Diakui siasatan itu adalah kes yang berasingan. Namun, apabila dibandingkan dengan pembelaan OKT yang mengatakan wujudnya frame up, fakta siasatan terhadap SP2 ini menjadi penting dan relevan dalam menunjukkan kemungkinan munasabah SP2 memerangkap OKT atas asas beliau adalah pegawai narkotik yang bermasalah yang boleh menggugat kredibiliti beliau sebagai saksi dalam kes ini.

s. Seringkali kita dengar bahawa pihak polis tidak akan menangkap seseorang sewenang-wenangnya tanpa bukti. Jadi, bagaimana kedudukan SP2 sebagai pegawai narkotik yang ditangkap atas kesalahan seserius Seksyen 39B, ke atas kredibiliti beliau? Hujahkan sudah tentu ada kesan ke atas kredibiliti walaupun melibatkan kes berlainan. Apatah lagi tangkapan beliau itu adalah pada 25/3/2009 iaitu kurang dari sebulan dari tarikh tangkapan OKT.

t. Terdapat banyak autoriti yang menunjukkan bahawa frame up atau fabrication di pihak polis ini bukanlah sesuatu yang tidak boleh berlaku. Autoriti-autoriti ini juga tidak mengkehendaki wujudnya personal motive atau oblique motive di pihak polis. Pohon rujuk kes PP v Lee Eng Kooi [1993] 2 CLJ 534 [TAG 10];

u. Pohon juga rujuk kes PP v Yap Boon Chang [1992] 3 CLJ (Rep) 454 [TAG 11];

v. Oleh itu, adalah jelas motif tidak perlulah bersifat peribadi. Justru, fakta mereka tidak saling-mengenali dan cadangan pendakwaan bahawa oleh sebab itu tiada sebab untuk polis menganiaya OKT adalah tidak tepat. Dihujahkan motif wujud dalam kes ini. Fakta yang khas dalam kes ini adalah OKT adalah seorang warganegara asing (Acheh) yang mana diketahui umum kekerapan penglibatan warga Acheh dengan kes-kes dadah. Tambahan pula, kegagalan pihak polis mendapatkan sasaran utama iaitu Rock berkemungkinan menyebabkan OKT menjadi galang gantinya.

w. Hujahkan lanjut assessment keterangan polis seperti yang dikatakan dalam kes PP v Mohamed Ali [1962] MLJ 257 [TAG 12] iaitu hendaklah diterima on face value, tidaklah relevan mahupun terpakai dalam kes kita. Keterangan polis juga hendaklah subject to a maximum evaluation atau a more rigorous test of credibility. Di dalam kes PP v Wong Moy [1988] 2 CLJ (Rep) 352 [TAG 13], mahkamah melepaskan tertuduh daripada pertuduhan kerana adanya unsur fabrication di pihak saksi polis. Mahkamah persekutuan di dalam kes Chan King Yu v PP [2009] 1 CLJ 601 [TAG 14] juga melepaskan perayu dari pertuduhan atas alasan wujudnya fabrication pada keterangan saksi polis.

x. Kesimpulannya, keseluruhan keterangan pembelaan OKT adalah munasabah, konsisten dan bukanlah sesuatu yang sukar untuk dipercayai (inherently incredible). Persoalannya, adakah pembelaan OKT ini berjaya mematahkan anggapan sekaligus menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan? Mahkamah boleh meneliti demenour OKT yang memberikan keterangan bersumpah dengan yakin dan konsisten walaupun diasak bertubi-tubi oleh pihak pendakwa dalam soal-balas. Pihak pendakwaan tidak berjaya mencabar atau impeach OKT melalui soal-balas.

y. Pihak OKT malahan telah berjaya menjawab dengan baik segala persoalan yang terperinci yang diajukan oleh mahkamah sendiri. Pendek kata, tiada apa-apa yang boleh disyaki bahawa OKT ada memberikan keterangan yang tidak benar. Keterangan pembelaan OKT disokong oleh DW2 dan DW3. Kedua-duanya memberikan keterangan yang konsisten dan menyokong pembelaan OKT. Mereka juga telah withstand rigorous cross examination oleh pendakwaan dan juga persoalan oleh mahkamah. Hujahkan kredibiliti mereka adalah intact dan tiada apa-apa sebab untuk tidak mempercayai keterangan mereka.

z. Hujahkan mahkamah wajar memberi weight kepada keterangan DW2 dan DW3 ini terutamanya DW3 yang merupakan saksi bebas yang tidak ada kepentingan langsung dalam kes ini. DW3 hadir menceritakan apa yang beliau lihat sahaja. Beliau boleh hadir dan memberi keterangan yang lebih membantu OKT seperti menolak terus kesalahan kepada Rock atau Tiar tetapi itu tidak berlaku.

aa. Hujahkan kedua-dua DW2 dan DW3 gagal dicabar keterangan mereka oleh pendakwaan melalui soal-balas. Selanjutnya walaupun DW2 adalah isteri kepada OKT, beliau bukanlah saksi yang dipetik out of the blue tetapi sedia wujud dalam D17. Kedudukan autoriti mengenai saksi berkepentingan adalah jelas. Keterangan mereka harus diterima melainkan adanya cogent reason untuk sebaliknya. Rujuk kes Balasingham v PP [1959] 193 [TAG 15].

bb. Hujahkan jika sekalipun wujud percanggahan antara keterangan pembelaan; ia hanyalah pada perkara yang detail, kecil dan tidak menggugat kredibiliti saksi pembelaan. Rujuk kepada kes Mohamed Alias v PP [1983] 2 MLJ 172 [TAG 16]. Percanggahan juga melibatkan aspek observation yang berbeza antara saksi seperti isu berapa orang yang datang dengan kereta waja.

cc. Perbezaan jumlah orang ini adalah munasabah kerana hanya OKT yang pergi dekat dengan kereta waja dan seterusnya masuk ke dalam kereta. Sudah tentu beliau dapat memberikan jumlah orang yang tepat berserta adanya Tiar juga. Sedangkan DW2 dan DW3 melihat orang-orang ini dari dalam kedai melalui cermin besar dalam jarak lebih kurang 10 kaki. Oleh itu kemungkinan mereka hanya nampak mereka yang di luar dan tidak yang di dalam adalah munasabah.

dd. Yang paling penting, cerita mereka semua konsisten bahawa pada masa material, beberapa lelaki datang dengan kereta waja dan dilihat membawa masuk OKT ke dalam kereta. Jika mereka memberi keterangan yang kesemuanya serupa, sudah tentu it raises a suspicion bahawa keterangan mereka sudah pun disepakati.

ee. Percanggahan antara keterangan lisan OKT dan D17 juga hanya pada perkara yang detail. Adalah tidak munasabah untuk mengharapkan OKT untuk memberikan cerita yang terperinci dan 100% sama dalam percakapan beramaran. Jika FIR pun bukanlah ensaiklopedia yang tidak memerlukan pendetailan; apatah lagi percakapan beramaran yang diberikan semasa dalam tahanan tanpa bantuan sesiapa?

ff. Contoh percanggahan adalah mengenai peranan Tiar dan Rock. Percanggahan melibatkan perkara kecil seperti adakah ada Tiara atau Rock menghubungi OKT dan sebagainya. Dengan kata lain percanggahan ini adalah pendetailan kepada bagaimana OKT memperkenalkan Rock kepada Tiar untuk Tiar membeli dadah dengan Rock. The fact that matter is; cerita OKT adalah sama iaitu Tiar ingin mendapat bekalan ganja dan OKT memberikan maklumat tentang Rock kepada Tiar.

gg. Percanggahan-percanggahan ini adalah sesuatu yang normal dan biasa wujud apatah lagi melibatkan saksi awam yang mungkin memberikan persepsi berbeza berkenaan sesuatu fakta berdasarkan kedudukan mereka sendiri. Panduan adalah jelas seperti dalam kes Chean Siong Guat v PP [1969] 1 LNS 23 [TAG 17];

3. Penutup

  • Berdasarkan hujahan di atas, kami menghujahkan bahawa OKT telah berjaya menyangkal anggapan di bawah Seksyen 37(da) ADB dengan memberikan satu penjelasan yang jujur atas imbangan kebarangkalian dan pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
  • Oleh itu dengan rendah diri memohon agar OKT dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan yang dikemukakan. Rujuk kes Alcontara a/l Ambross Anthony v. PP [1996] 1 CLJ 705 (m/s 707) [TAG 5]. Sekian, terima kasih.

Successfully submitted and the High Court acquitted and discharged the accused at the end of defense.

Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA