Skip to main content

MEREKA YANG REBAH




Salam,

Saya masih teringat semasa zaman pra baligh di darjah 6 dahulu ada satu lagu yang berunsur keinsafan iaitu Mereka Yang Rebah berkisar mengenai manusia-manusia yang tewas angkara najis dadah. Lagu itu meniti di bibir anak-anak ketika itu. Satu lagi lagu yang juga saya ingat adalah Masih Aku Terasa nyanyian kumpulan Gersang yang tiada bersangkut paut langsung dengan entri ini.

Beberapa hari yang lepas pasukan bolasepak harimau malaya juga telah rebah dirobek oleh sang singa berpura-pura. Memang perit untuk menelan kepahitan kekalahan itu. Apatah lagi rebahnya harimau malaya bukan sahaja dek kerana pasukan lawan diperkuatkan oleh awang import yang telahpun veteran dan berisi; malahan juga akibat kealpaan sendiri dan sedikit unsur kebodoh-sombongan di pihak jurulatih yang konsisten menurunkan pemain yang berstatus penumpang sahaja di atas padang.

Begitulah hidup kita, ada harinya kita menggapai kemenangan. Maka moleklah kita beringat-ingat bahawa kemenangan itu bukan segalanya mahupun selamanya. Ia adalah ujian untuk kita mengekalkan prestasi agar sentiasa di kemuncak, memperbaiki kelemahan dan paling penting mengawasi diri agar tidak terjerumus ke lembah kebongkakan dan bangga diri.

Ada pula saatnya kita ditimpa kekalahan. Usaha sudah dicurahkan, keyakinan sudah dizahirkan namun tidak juga kemenangan yang tercipta. Ini juga satu ujian untuk mengkoreksi diri barangkali tidak cukup kegigihan kita, kurangnya tawakkal kepada yang Esa dan boleh jadi kita melaksanakan tanggungjawab seperti melepaskan batuk di tangga.

Perlawanan di mahkamah juga begitu sifatnya. Ada masa kita diberikan keputusan yang memihak kepada kita (menang). Ada kalanya pula kita dihempaskan dengan keputusan yang tidak menggembirakan hati kita dan anak guam kita. Pernah dulu saya begitu berkira dan mungkin berbangga dengan rekod kemenangan. Tidak pernah kalah kes 39B contohnya. Tidak pernah kalah kes seksual juga sehingga digelar pakar seksual.

Namun, dengan adanya kekalahan yang melawat rekod kita itu, sedikit sebanyak menyedarkan kita bahawa kita juga manusia. Ada perkara yang di luar batasan kemampuan kita. Adakalanya kita sudah bertarung secemerlang Apek di gawang gol, namun keputusan Hakim tetap menjadi misteri dan penuh kejanggalan seperti taktik K. Rajagopal. Ia juga memberi peluang kita mengkoreksi diri, usaha dan ketekunan adakah mencukupi ataupun tidak.

Seperti juga rezeki, kemenangan perlu dicari bukan dinanti. bak kata bait lagu AlFarabi Band; jika di laut selamilah, jika di hutan terokailah, jika di gunung dakilah, jika di swimming pool terjun tiruklah. Walaupun rekod bukan segala-gala, jika kita asyik dipalit kekalahan berderet-deret maka perlu juga muhasabah diri samada kita sesuai menjadi seorang loyar.

Yang lebih utama adalah bagaimana kita bangkit dari kekalahan. Kalah pusingan pertama, masih ada pusingan kedua. Kalah peringkat pertama boleh dirayu lagi ke peringkat seterusnya. Jika masih kalah walaupun usaha dan komitmen 100% telah dicurahkan, maka sebenarnya kita sudah berjaya dan menang dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan semangat. Win, loose or draw kita akan senantiasa mengharungi kehidupan rutin kita dengan senyuman. Wassalam.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

Dengan izin Yang Arif,
Hujahkan mahkamah yang mulia ini perlu mempertimbangkan beberapa faktor sebelum menjatuhkan satu hukuman yang adil.
1. Pengakuan salah Pengakuan salah ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos mahkamah, juga pihak-pihak lain iaitu pendakwaan dan saksiWalaupun pengakuan ini dibuat di peringkat pembelaan, masih lagi perlu dipertimbangkan kerana ia dibuat "at the earliest opportunity" dan dalam keadaan berat dadah yang bukan "substantial"PP v Ravindran & Ors [1993] 1 MLJ 452. Latar belakang OKT
Semasa ditangkap berusia 34 tahun dan bersekolah sehingga darjah 6 sahajaBelum berkahwin dan merupakan anak ke 3 dari 7 orang adik-beradikSebelum ditangkap bekerja sebagai peniaga pasar dengan upah harian sebanyak RM 30Ibu dan bapa masih hidup dan sudah uzur 3. Fakta kes
Daripada fakta kes yang telah sedia ada di hadapan mahkamah yang mulia ini, OKT telah memberikan kerjasama kepada pihak polis sehingga membawa kepada perjumpaan dadahTerdapat 5 lagi tangka…

VIRAL

Assalam,
Baru sahaja kes yang saya kendalikan iaitu satu kes bunuh telah diputuskan oleh Mahkamah. Keputusannya Mahkamah dapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Tewas dalam sesuatu perbicaraan bukanlah sesuatu yang tidak dijangka. Ada kes yang kita yakin boleh menang berakhir dengan kekalahan. Sebaliknya, ada kes yang kita berasa tidak ada peluang, namun akhirnya adalah kejayaan. 

Sebagai manusia biasa, peguam juga boleh beremosi bila tewas. Perasaan ralat, persoalan samada patutkah aku buat dengen lebih baik dan macam-macam lagi menyerbu diri. Apatah lagi jika yang tidak berjaya itu kes yang viral dan expected by majority of netizens to be a sure 99.9% win. Peguam namun mesti professional dan memahami bahawa tugas kita adalah untuk memastikan sistem keadilan tertegak. Jika itu dipasak dalam hati, maka kita tak perlu gundah gulana atau memurungkan diri.
Hakikatnya, kerjaya peguam terutamanya peguam jenayah bukanlah berpaksikan win-loss record. …

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

Salam,
Representasi adalah satu perkataan keramat yang selalu diungkapkan dalam arena kepeguaman jenayah. Terkadang, ia umpama satu penawar atau antidot yang teringin sangat didengar oleh telinga sang tertuduh yang saban hari dicengkam jeriji besi. Mereka yang tertekan samada tekanan kehidupan penjara yang serba menyesakkan itu, ataupun tekanan akibat ketidakpastian dalam hidup mereka. Berapa lamakah lagi aku akan hidup, adakah cahaya di hujung terowong ataupun adakah nyawaku akan berakhir di tali gantung.
Representasi sudah menjadi common word dan judicial notice bahkan di kalangan orang awam. Walaupun kadang-kadang sebutannya silap seperti ada yang menyebutnya lepresentasi atau represent atau lebih canggih lagi rap sahaja. Pokok pangkalnya, harapan yang disandarkan pada keajaiban representasi oleh seorang peguam jenayah begitu tinggi, bahkan dianggap boleh menyelamatkan nyawa.
Let's get the record straight. Pertamanya, menulis surat representasi samada memohon pertuduhan lebih ring…