TAKDIR DAN WAKTU




Salam,

Takdir dan waktu adalah salah satu daripada lagu-lagu hit nyanyian kumpulan Mega. Lagu ini timbul semasa peralihan antara zaman rock kapak yang agak keras kepada zaman rock leleh, nangis dan hingus. Lagu ini juga antara banyak lagu bertaraf biasa yang pernah memenangi Juara Lagu di TV3 iaitu satu pertandingan nyanyian yang sudah kurang ditonton orang ramai dan tidak lagi menarik.

Bukan lagu itu yang hendak dikongsi dalam entry ini. Apatah lagi liriknya juga hanyalah lirik biasa bertema cinta, hampa dan kecewa. Sebaliknya, tajuknya yang menggamit idea untuk dinukilkan. Takdir seringkali disebut apabila berlaku sesuatu musibah seperti kematian, kecelakaan, kerugian dan lain-lain. Kadang-kadang terma lain yang biasa adalah seperti sebab musabbab, memang dah nak jadi, tak dapek den nolong dan sebagainya.

Beberapa hari yang lepas, seorang saudara saya meninggal dunia semasa melahirkan anak ke 3 di sebuah hospital swasta terkenal di Shah Alam. Dikhabarkan mungkin ada unsur-unsur kecuaian kerana tindakan pihak hospital hanya dibuat selepas keadaan agak kritikal di mana arwah telah sesak nafas dan muntah-muntah akibat tempoh induce yang terlalu lama berbelas jam lamanya tanpa sebarang perubahan. Akhirnya, ajal yang menjemput apabila rahim arwah pecah dan bayi beliau turut sama melangkah ke alam barzakh dan akan menunggu beliau di syurga Insyaallah.

Keadaan yang hampir sama pernah berlaku kepada saya apabila datuk saya dilanggar kereta semasa hendak melintas jalan ke masjid beberapa tahun dahulu. Beliau cedera parah, koma dan beberapa hari kemudian meninggal dunia tanpa regain consciousness. Keluarga menerima apa yang berlaku sebagai takdir dan sudah tersurat itulah saatnya ajal datang memanggil. Namun, perasaan terkilan dan marah kepada pelaku yang melanggar itu memang tidak dapat dibendung. Pelaku tersebut hanya datang beberapa hari kemudian ke hospital untuk meminta maaf. Itupun hanya selepas memastikan tiada waris lelaki (termasuk saya) ada di hospital. Memang eloklah beliau riki dahulu, jika tidak mahu saja diberikan rock bottom atau stone cold stunner kepada mamat tersebut.

Berada di persimpangan dilema begini, wajarkah kita pursue the so called offender; samada pihak hospital atau mat rempit bedebah itu? Molekkah kita initiate satu civil suit kerana wujudnya medical negligence di pihak doktor dan hospital? Haruskah kita berkeras agar mat rempit itu dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian?

Jawapannya adalah ya jika benar-benar wujudnya kecuaian di pihak pelaku tersebut. Ya juga jika kita berniat hendak mengajar mereka agar tidak lagi cuai dan menghalang future loss and possible death. Ya juga jika mereka angkuh dan enggan mengaku salah atau sekurang-kurangnya meminta maaf atas apa yang berlaku. Ya sekali lagi jika kita bukan mahukan wang ringgit hasil civil suit kita atau melunaskan dendam kesumat kita yang mahukan pesalah itu dihumban ke penjara sebagai galang ganti kehilangan kita.

Namun, dalam kita bersedih dan marah itu, mungkin elok juga kita fikirkan dengan adil dan sensible atas apa yang berlaku. Mungkin apa yang berlaku bukan kecuaian dan tidak dapat dielakkan. Doktor contohnya mungkin telah memilih option terbaik namun masih tidak berjaya. Mereka mungkin telah menyedari kesilapan dan sedia memohon maaf dan membantu sekadar kemampuan. Ada orang yang berkata mungkin arwah di alam sana tidak akan tenang jika dipanjang-panjangkan hal ehwal kehidupan beliau.

Oleh itu, terpulanglah pada keadaan dan kesesuaian. Anda mungkin menjadi manusia yang terbaik apabila sanggup memaafkan orang lain yang berbuat salah itu. Mungkin juga jika anda memilih meneruskan tindakan; orang lain boleh diselamatkan di masa hadapan pula. Apa yang mustahak kita menerima takdir yang berlaku dengan kesabaran hati dan kebesaran jiwa. Wassalam.

Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA