REMAN OH REMAN
Salam,

Lantas saya tertarik untuk mengetuk keyboard sedikit menukilkan perihal reman, sifat dan akibatnya. Banyak sebenarnya perkara menarik mengenai reman yang boleh dikongsikan. Pertamanya, reman ini tidak wajar dianggap sebagai satu rutin semata-mata. Kenapa? Kerana ia melibatkan persoalan kebebasan diri seseorang. Percayalah, nikmat kebebasan diri adalah sesuatu yang amat jarang dihargai, melainkan selepas ianya direnggut legally or otherwise, barulah terasa begitu bernilai sekali apa yang dipanggil kebebasan itu.

Oleh itu, pindaan pada CPC yang memendekkan tempoh reman, mengkategorikan reman mengikut seriousness kesalahan dan sebagainya, boleh memastikan kezaliman seperti upacara roadshow (reman seorang itu di beberapa balai selama lebih 14 hari berturu-turut) dapat dielakkan. Namun, undang-undang tanpa pelaksana yang memahami dan saksama hanyalah umpama kereta yang serba mewah tanpa pemandu yang cekap untuk memandunya. Kosong, kosong, kosong.
Dari satu sudut pandang yang lain, secara peribadi saya tidaklah gemar untuk mengambil kes yang masih di peringkat reman. Ada unsur paradoks di situ nampaknya, benar. Mengapa? Saya juga perlu bersikap adil kepada pihak polis sebagai penjaga keamanan. Selagi mereka menjalankan tugas dengan betul, tidak ada abuse of prosess of law dan tidak menjadikan reman sebagai satu bentuk hukuman, mereka perlu juga diberi ruang untuk menyiasat. Menjadi peguambela bukan bermaksud kita membela at all cost. Seperti juga apabila saya menyifatkan diri saya sebagai anti-establishment, bukan bermakna semua perkara dari establishment itu ditentang, melainkan yang bobrok dan zalim sahaja. Tapi jika adanya penyalahgunaan kuasa wujud, sudah tentu saya bersedia untuk menjadi orang pertama di hadapan atau fronlinernya.
Selain itu, pemerhatian saya juga realitinya ramai masyarakat yang terpaksa membayar yuran kepada peguam walaupun di peringkat reman lagi. Malahan ada yang sampai ribuan ringgit hanya untuk hadir 2-3 minit bercakap sesuatu yang tidaklah memerlukan kemahiran peguam. Apatah lagi jika peguam itu tidak jujur dan menjanjikan sesuatu yang tidak pasti. Terkadang saya berfikir, untuk mengambil wang dari saspek dan keluarga mereka pada peringkat reman ini merupakan sejenis kezaliman juga kalau tidak berhati-hati. Kadang-kadang sukar juga untuk menolak kerana pihak keluarga selalunya mendesak untuk kita mengeluarkan saspek serta-merta sedangkan aksi sebenar hanyalah bermula sebaik saspek dituduh di mahkamah.
Pengenalan YBGK mungkin satu solusi yang agak munasabah. Hak saspek untuk diwakili di peringkat reman dan untuk mempertahankan kebebasan mereka; dapat dijamin kerana adanya peguam YBGK. Walaupun kebanyakan mereka adalah peguam yang baru, sekurang-kurangnya mereka boleh membantu mahkamah di peringkat reman ini. Dapat juga mengelakkan IO kes bulldoze sahaja permohonan reman itu. Dan apabila saspek dituduh, barulah peguam jenayah sebenar yang berkemahiran menjalankan kes bicara akan masuk ke dalam gambar (come into the picture). Seperti dalam sesuatu peperangan, ada yang berfungsi sebagai jeneral, manakala ada yang berfungsi memegang panji-panji atau meniup semboyan. Semuanya sama penting belaka.

Tidak dinafikan bukan semua peguam yang hadir itu tujuannya untuk menegakkan keadilan dan mempertahankan kebebasan anakguam. Ada juga yang datang seperti rombongan cik kiah, hanya untuk mempromosi diri dan menempel semata-mata dan menunjukkan kita sibuk dan menyibuk. Kayu ukurnya mudah saja untuk mengesan peguam species ini, tengok bila tiba tarikh bicara adakah mereka hadir? Adakah mereka hanya hadir untuk ditatap media dan memberi press conference sahaja? Pada saya, peguam kena sama naik; kerja dan politik gambarnya (poligamnya). Usahlah lebih poligam tapi kerjanya haprak. Biarlah performance peguam itu lebih disebut-sebut berbanding kekerapan keluar di media massa. Kita akan dinilai dan diukur bukan kerana gahnya kita di media tapi sumbangan kita dalam menegakkan keadilan di mahkamah.
Wassalam.
Comments
Post a Comment