DON'T JUDGE A GUY BY HIS RUMET

Assalam,

'Don't judge a guy by his rumet' adalah kata-kata hikmat yang pernah dituturkan oleh seorang sahabat saya. Berbeza sedikit dengan bidalan don't judge a book by its cover; ia sebenarnya mempunyai konotasi positif dan negatif. Positifnya (sangka baik) adalah rumet beliau itu lebih baik daripada beliau dan beliau segan untuk dibandingkan dengan rumet tersebut. Sebaliknya, beliau mungkin ada memori kurang enak yang menyebabkan beliau tidak mahu dikaitkan dengan rumet tersebut.

Waima apapun, kata-kata hikmat ini memang terkena atas batang hidung saya dalam perjalanan saya menjadi peguam jenayah dan bergelumang dengan sepak terajangnya. Saya akui saya juga manusia yang kadang-kadang ada datang perasaan prejudis dan skeptikel dengan sebilangan orang. Boleh percaya ke dia ni? Boleh bayar ke mamat ni? Betul ke cerita hamba Allah ni? Persoalan-persoalan begini sering menerjah minda dalam berinteraksi dengan anak guam, bakal anak guam dan juga bakal bekas anak guam (mohon terasa).

Secara spesifiknya saya agak prejudis dengan tertuduh warganegara Afrika. Saya sering diceritakan sejak zaman purba lagi bahawa tertuduh warga Afrika lah yang paling susah hendak ditangani. Merekalah yang paling licik dan berkemungkinan besar untuk 'mengencing' peguam sendiri. Demand mereka juga sangat tinggi yang tidak berpadanan dengan yuran guaman yang diminta. Pendek kata nak bayar ciput tapi hendak khidmat macam ribut. Bak kata orang kampung saya; 'payoh basso'! Agak pelik juga keprejudisan ini dalam keadaan saya meminati ramai pemain bolasepak Afrika seperti Demba Ba, Papiss Cisse dan Obinna Nwaneri.


Kendatipun begitu, aturan Yang Maha Pencipta begitu molek sekali. Yang paling kita tak suka itulah yang mungkin jadi pasangan hidup kita (maaf pada yang terasa). Yang kita anggap bakal menyusahkan itu rupa-rupanya yang memberikan sumber rezki dan mengharumkan nama kita di persada kerjaya kita. Nyatalah yang bermasalah bukannya bangsa, rupa mahupun warna kulit tetapi adalah sikap dan perangai individu itu sendiri. Sudah tentu juga yang bermasalah adalah peguam itu sendiri yang mempunyai mental block sendiri.

Satu panggilan daripada Timbalan Pendaftar yang meminta saya mengambil satu kes 39B warga Cameroon yang dikatakan bermasalah dan kerap membuat kecoh di mahkamah, menukar segalanya. Katanya dah dua orang peguam (tersohor @ termahal) telah di flying kick oleh tertuduh ini. Saya berkata pada diri sendiri, mungkin ini cabaran untuk saya lantaran keprejudisan saya selama ini. Saya sahut cabaran itu dengan tekad walaupun hati musykil dan risau apakah cabaran yang bakal ditempuh. 

Ternyata jangkaan saya meleset selama ini. Bermula lawatan pertama di penjara, beliau tampak sudah berpuas hati dengan penerangan dan kejujuran saya. Fast forward ke depan, kes tersebut saya tewas di Mahkamah Tinggi (hukuman gantung) namun tertuduh ini yang begitu berpuas hati dengan tugas saya telah menyebabkan tak menang tangan saya diminta mewakili ramai tertuduh warga Afrika yang lain.

Benarlah rezki itu datang dari pelbagai sumber. Satu peringatan untuk yang lupa, yang sering bergantung kepada manusia untuk mendapatkan kes dan bukannya kepada Sang Pencipta. Jika di hutan, terokalah, Jika di laut renangilah. Dan jika di Afrika, terimalah juga. Alhamdulillah anak guam yang sama meminta saya mewakili beliau di Mahkamah Rayuan dan saya menang pula kali ini. Kes tersebut kini menunggu untuk dibicarakan di Mahkamah Persekutuan pula. Satu lagi langkah yang akan saya tempuh dan perlu saya atasi halangan tersebut untuk lebih berjaya dalam kerjaya sebagai hero yang tidak didendang ini.

Back to the future, apa status sekarang? Percaya atau tidak, kebanyakan kes 39B yang saya kendalikan sekarang melibatkan warga Afrika. Malahan ada lagi yang meminta saya mewakili mereka lantaran networking mereka yang kemas barangkali di belakang tabir besi. Jika kita bekerja dengan cemerlang dan bertimbang rasa, kita akan dihargai dan disebut-sebut, walaupun kita tewas dalam mahkamah. Setakat ini tidak ada lagi anak guam warga Afrika yang gagal mengucapkan terima kasih berulangkali kepada saya, tak kiralah ketika saya berjaya membebaskan mereka atau sebaliknya ketika tewas bergaya itu.


Ada sahabat saya malah membuat ramalan saya bakal menjadi Duta Nigeria di masa hadapan. Satu ramalan yang bersifat out of the box tapi lebih kepada melawak sebenarnya. Selepas ini, buangkanlah perasaan prejudis, malas dan mungkin tak peduli yang ada pada diri kita apabila ada orang mahukan khidmat guaman kita. Mungkin satu panggilan telefon yang kita enggan jawab itu contohnya bernilai ribu riban ringgit dan memberi peluang kita menyelamatkan nyawa seseorang. Wassalam.


Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA