MAQAM PEGUAM

Assalam,

Karier sebagai peguam umpama MLM. Maksudnya ada hierarki, umpamanya ada tingkatan iman berbeza-beza dan level-level berlainan untuk mengenalpasti peguam. Ada peguam yang berada dalam kategori merangkak-rangkak atau masih umpama bayi bertatih. Sudah tentu level ini akan selalu menempuhi kejatuhan, cabaran dek kerana kekurangan pengalaman. Namun janganlah susah hati dan gundah gulana terutamanya untuk peguam-peguam muda. Maqam ini pasti dilalui oleh semua peguam. Tanpa anak tangga pertama, tidak mungkin boleh naik ke anak-anak tangga yang lebih tinggi.

Yang mustahak adalah maqam ini sewajarnya ada tempoh tertentu. Sementelah tempoh beginner, jika terlalu lama menjadi beginner, sudah tentu wujud masalah di mana-mana. Bukanlah menang atau kalah yang menjadi ukuran. Sebaliknya berapa banyak yang kita pelajari sepanjang menempuhi hari-hari di maqam terendah ini. Jika setiap pengalaman yang dikecap di maqam ini, kemarahan-kemarahan yang diterima, pembodohan-pembodohan yang dilemparkan mampu menjadikan kita peguam lebih baik, lebih berpengalaman dan lebih matang; maka maqam ini dilalui dengan sukses sekali.

Saya masih ingat kata-kata bekas majikan pertama saya dalam perkhidmatan kerajaan, beliau mengatakan tidak kisah berapa kes yang kamu menang atau kalah. Tapi jika kamu asyik kalah tanpa ada menang sedikitpun, pertimbangkanlah karier lain yang lebih sesuai. Kata-kata yang dalam untuk dihadam tapi sangat benar. Sebab itulah pengalaman dimaki, dibodohkan dan dimarahi itu lebih mudah diingat. Kenapa? Kerana itulah pengalaman mahal yang mengetuk kita untuk lebih berusaha untuk bangun dan tidak mengulangi kesalahan sama. 

Jadi berapa lama perlu berada di maqam entry level ini? Terpulang pada masing-masing. Cuma pemerhatian saya selama lebih 15 tahun dalam karier kepeguaman ini; masih lagi ada peguam yang sebaya dengan saya yang masih tersangkut di level ini walaupun mereka lebih kurang sebaya (dan tua) dengan saya. Puncanya? Selain faktor tiada rezki atau tiada minat, kemungkinan yang lebih besar bertitik-tolak atas pilihan sendiri di awal karier. Contohnya dalam bidang jenayah, maqam ini sudah tentu melibatkan kerja-kerja seperti bantah reman, mitigasi, rayuan jaminan dan sewaktu dengannya. Kini, ramai yang terlibat dengan YBGK di peringkat ini, yang merupakan satu langkah yang baik asalkan mereka tidak transform kes YBGK menjadi kes peribadi.

Jika selepas berbelas-belas tahun kita masih stuck dengan kerja bersifat begitu sahaja dan tidak upgrade kepada mahir mengendalikan perbicaraan, permohonan, rayuan dan lain-lain samada di mahkamah rendah atau tinggi mahupun lebih tinggi; maka mungkin pilihan kita sendiri yang tidak mahu menaikkan maqam kita. Jangan silap faham, membuat kerja-kerja seperti reman, mitigasi dan sebagainya masih perlu dilakukan oleh peguam senior mana sekalipun. Dan tidak pelik juga peguam-peguam maqam ini lebih berduit daripada peguam yang membuat kerja-kerja lebih sukar. Kerjanya mudah dan duitnya juga laju.Tak salah mencari duit tapi alang-alang mencari rezki biarlah kita meningkat dari segi pengalaman, kepakaran dan kematangan juga.

Jadi untuk peguam-peguam muda di luar sana, pilihlah dengan tepat. Sandarkan pada pertimbangan iman dan akal. Bukanlah pertimbangan wang dan fulus semata-mata. Jika ingin short cut, anda boleh pilih untuk berada di zon selesa dengan kerja-kerja yang mudah. Tapi jika anda ingin menjadi peguam yang maqamnya lebih tinggi, jalannya lebih jauh dan lebih mencabar. Anda perlu belajar setiap hari, sentiasa mencari pengalaman dan kepakaran baru. Percayalah selepas beberapa tahun, anda tak akan menyesal kerana memilih jalan yang sukar ini. Wang akan menyusul janganlah risau kerana persoalan rezki itu bukan dalam ilmu kita.

Minggu lepas pertama kali saya hadir bicara dan berhujah di hadapan 5 hakim Mahkamah Persekutuan. Walaupun tewas, saya bersyukur maqam saya naik setakuk lagi kepada peguam yang ada pengalaman berhujah di mahkamah tertinggi di negara ini. Adakah saya perlu berhenti di sini? Tidak! Menuntut ilmu, memperkayakan pengalaman dan kepakaran mesti berlaku hari-hari. Terlalu banyak lagi ilmu, pengalaman dan kepakaran yang belum dikuasai. Malahan, setiap peguam walau betapa rendah maqam mereka sekalipun mempunyai kelebihan peribadi yang kita tidak ada. Belajarlah dari sesiapa sahaja, dari mahkamah, dari peguam senior mahupun junior, malahan dengan kakitangan mahkamah sekalipun. Undertaker tetap Undertaker walaupun rekod beliau dicalar oleh Brock Lesnar sekalipun. Maknanya demi ilmu dan kepakaran, buanglah ego sedikit yang ada itu.


Menjadi peguam maqam tinggi atau lebih tinggi tahap mahadewa perlu dijadikan aspirasi setiap peguam. Kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian kita semata-mata. Sasarkan awan tapi jangan lupakan rumput yang dipijak. Mendiang Karpal Singh contohnya adalah aspirasi terbaik dalam bidang jenayah. Pengalaman saya pernah melawan beliau dan bersama beliau juga sebagai co-counsel adalah antara pengalaman-pengalaman mahal yang meningkatkan maqam. Begitu juga pabila ke mahkamah, perhatikanlah peguam-peguam maqam tahap tinggi ini berhujah. Walaupun kadang-kadang apa yang dituturkan itu sama sahaja dengan kita peguam maqam rendah ini hujahkan, sangat berbeza cara dan impaknya. Malahan kadang-kadang kita boleh terpesona mendengar cara peguam maqam tinggi menyebut kes atau minta tangguh kes. Simple tapi sangat kemas. Itu tak dapat dibeli melainkan dengan pengalaman sahaja.

Wassalam.


Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA