PARTNERS IN CRIME

Assalam,

Saya ada terbaca perkongsian seorang rakan peguam bahawa ada kajian yang menunjukkan antara lainnya, bahawa mereka yang hidup solo lebih cepat membawa kepada kematian sebanyak 50%. Benar atau tidak kajian itu bukan isunya, tapi saya tertarik untuk mengaitkannya dengan karier seorang peguam.

Ada peguam yang lebih suka berkerjaya solo dan menjadi lone ranger. Pada saya tidak salah. Mungkin lebih kurang peningnya atau risikonya jika kita adalah our own boss. Saya lebih cenderung untuk memilih bahawa adalah lebih baik jika kita mempunyai rakan kongsi dalam karier kepeguaman. Mempunyai rakan kongsi bukan hanya diukur ketika senang, yakni berapa bahagian masing-masing akan dapat. Ia juga dinilai lebih dari itu terutamanya ketika kita susah dan perlukan bantuan. Ini termasuklah ketika sakit demam kita atau anak-anak kita, masa kita perlu break dan bercuti dari tekanan kerja dan macam-macam lagi yang sebenarnya lebih baik tidak ditanggung seorang diri.

Perlu disedari, menjadi seorang peguam mungkin menjadikan kita antara salah satu spesis yang wujud; jenis yang bertapa di dalam pejabat dan satu lagi jenis yang 'mengular' di luar (di Mahkamah). Peguam yang perlu berada di pejabat dan menjaga punch card adalah seperti peguam conveyancing. Manakala contoh klasik bagi peguam yang senantiasa mengular di luar adalah peguam jenayah.

Oleh itu, satu nasihat yang ikhlas bagi rakan-rakan yang ingin membuka firma guaman sendiri; fahamilah nature kerja rakan kongsi anda supaya hubungan perkongsian tersebut kekal tiljannah. Seringkali didengari perkongsian yang dibina tidak seindah zaman berbulan madu, mudah sekali untuk berlakunya perpecahan antara rakan kongsi. Punca utama? Sudah tentulah pertama-tamanya saspek utama adalah tiadanya persefahaman.

Kenapa boleh berlaku perpecahan sedangkan yang menjadi rakan kongsi itu adalah mungkin rakan qarib dan muqrib sejak zaman universiti lagi. Bahkan boleh juga berlaku pasangan suami isteri atau adik-beradik pun yang tidak kekal lama dalam perkongsian guaman. Sebab itulah jika ingin mencari rakan kongsi sebenarnya adalah sama berat dan sama sukarnya dengan mencari pasangan hidup. Rakan kongsi adalah segala-galanya kerana beliau boleh menjadikan hidup kita bahagia dan berjaya. Sebaliknya, rakan kongsi dari neraka akan merosakkan karier, reputasi dan kehidupan peribadi seseorang peguam.

Sebagai contoh, sesetengah orang sukar memahami kerjaya peguam jenayah yang jarang-jarang ada di pejabat. Melainkan peguam seperti saya yang insist kepada anak guam untuk berjumpa di pejabat; ramai peguam jenayah berjumpa anak guam di merata tempat. Daripada di penjara kepada hotel 5 bintang kepada kedai mamak dan sehinggalah di bawah pokok. Oleh itu, masa berkualiti mereka amat sedikit di pejabat. Ini belum ditambah lagi dengan sessi bicara dan sessi menunggu di Mahkamah saban hari. Pendek kata jika KPI peguam jenayah diukur dengan punch card beliau, maka beliau akan sentiasa gagal mencapai KPI.

Sebaliknya, nature kerja peguam yang perlu berada di pejabat juga kadang-kadang tidak difahami oleh orang lain. Mengapakah telefon yang berbunyi perlu dijawab oleh peguam sendiri dan mengapakah penjelasan daripada anakguam perlu diberikan on the spot. Begitu juga isu deadline yang perlu dihadapi dan diselesaikan di pejabat tanpa takwil-takwil lagi. Bagi saya peguam jenayah, ia mungkin nampak remeh dan membosankan tapi itulah barangkali keseronokan bekerja sepanjang hari di pejabat.

Oleh itu, persefahaman atau cuba untuk memahami nature kerja rakan peguam lain adalah kunci. Tidak berada di pejabat bagi peguam jenayah bukan bermaksud mereka tidak bekerja. Itulah kerja mereka! Mereka perlu berada di luar dengan masyarakat. Jika mereka berada di pejabat memandang cicak sahaja, sudah tentu itu tandanya khidmat mereka sudah tidak lagi dikehendaki. Bagi peguam yang sentiasa terperap di pejabat pun bukan tandanya mereka anti sosial. Cuma tuntutan kerja mereka begitu, pejabat perlu dekat di hati mereka. Pejabatku syurgaku.

Paling ideal adalah mempunyai rakan kongsi yang menjalankan amalan guaman dalam bidang yang sama dengan kita. Masing-masing sudah tahu cara kerja dan cabaran-cabaran dalam bidang yang sama itu. Namun begitu, tidak bermaksud perkongsian guaman yang berjaya tidak boleh melibatkan rakan-rakan kongsi yang berlainan bidang. Banyak firma yang berjaya yang ditunjangi oleh rakan kongsi yang pelbagai bidangnya.

Aspek kedua yang sama mustahak adalah kepercayaan. Tanpa kepercayaan, tidak mungkin sesuatu perkongsian akan berjaya dan makmur. Kepercayaan boleh diukur semasa senang dan juga susah. Jika dalam masa susah atau gawat, kesemua rakan kongsi bekerja kuat dan saling back up dan top up antara satu sama lain, itu indikator yang sangat bagus. Pendek kata ada 10 Riyal pun masih akan kongsi berdua. Begitu juga semasa senang, jika sikap dan pengorbanannya kekal sama tanpa ada yang gelap mata, itu juga satu lagi indikator bahawa kita berada di landasan yang betul dalam perkongsian guaman kita.

Akhir bicara, dalam hidup kita ini termasuklah dalam karier kepeguaman, kita tidak berseorangan. Kita perlukan rakan-rakan yang boleh saling bantu-membantu samada sebagai rakan kongsi mahupun persefahaman dalam bentuk lain seperti konsortium peguam contohnya. Bak kata superhero justice league- you can't save the world alone. Wassalam.





Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA