SURVIVOR SERIES

Assalam,

Survivor series adalah salah satu pay per view gusti WWF/WWE yang saya minat sejak kecil lagi. Ia menemukan jaguh-jaguh gusti iaitu sejenis sukan yang menggabungkan persembahan dan lakonan dalam pertempuran 4 lawan 4 sehingga tinggal seorang sahaja sebagai survivor. Alhamdulillah pabila usia makin dewasa dan mencecah kematangan, minat terhadap perkara-perkara yang melalaikan dan membuang masa berkualiti seperti juga ketagihan gajet masakini; sudah menurun seturun-turunnya. 

Kendatipun begitu, tidaklah bermaksud tidak ada apa-apa yang positif langsung saya perolehi daripada minat tersebut. Melihat jaguh-jaguh yang relatifnya lebih kecil seperti Eddie Guerrero, Shawn Michaels dan CM Punk mempamerkan semangat juang, resilience dan memenangi perlawanan against all odds adalah menginspirasikan.

Sejak 2016, keadaan ekonomi yang tidak menentu dan berjerubu melanda iklim pekerjaan dan pencarian rezeki ramai pihak. Daripada yang marhaen rakyat kebanyakan sehinggalah golongan yang berbangga sebelum ini sebagai bangsawan kelas menengah, semuanya pasti digigit dan dicengkam sedikit sebanyak dengan kegawatan ekonomi yang berlaku dan masih berlaku hingga kini.

Adakah bidang perundangan (legal practice) juga mendapat tempias yang sama? Sudah tentu dan jawapannya adalah sohih tidak syak lagi. Ketika inilah nikmat kestabilan dan adanya fixed date mendapat gaji sebagai penjawat awam adalah sangat-sangat dirindui. Banyak kisah nyata dan real rakan-rakan yang terpaksa mengecilkan firma dengan memberhentikan peguam atau staf masing-masing. Tidak kurang pula yang merosot teruk kerja atau fail-fail yang diperolehi walaupun daripada panel masing-masing. Ini belum dikira dengan peguam litigasi yang berhadapan dengan permasalahan anak guam yang tidak mampu membayar yuran guaman walaupun kuantiti kes tidak pun berkurang. Masing-masing tidak berani untuk expand hatta termasuklah mengambil pelatih dalam kamar sekalipun.

Jadi bagaimanakah caranya untuk mengharungi badai kegawatan ekonomi yang mencengkam ini? Berikut saya senaraikan ikhtiar-ikhtiar yang telah, sedang dan akan terus dibuat. Mudah-mudahan ada yang sesuai dipraktikkan. Pertamanya, bersangka baiklah dengan Tuhan. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa rezeki itu tidak pernah salah alamat dan memang ianya sangat tepat sekali. Merasai suasana yang terduduk atau tersandar mahupun terhimpit dalam kegawatan perlulah didakapi dengan penuh keinsafan dan seribu kesyukuran. Bukankah itu semua nikmat juga? Sekurang-kurangnya nikmat diberi peringatan oleh Tuhan.

Bagaimana kita nak mengaplikasi rasa kesyukuran dalam kehimpitan? Contoh yang jelas adalah apabila kita gagal mendapatkan sesuatu kes atau brief. Jika kita positif kita akan redho dan berpandangan mungkin Tuhan ingin menyelamatkan kita daripada mengendalikan kes yang bermasalah atau tidak berbaloi dengan kudrat dan komitmen kita. Sebaliknya, jika kita negatif, sudah tentu kita akan rasa kecewa dan tertekan gara-gara terlepas rezeki tersebut. 

Paling mustahak adalah kita bersyukur dengan apa yang ada dan bersimpati pada yang tiada. Percayalah, anak guam lebih menilai kerja, usaha dan kejujuran kita berbanding apa kereta yang kita pandu atau di mana kita makan. Saya bersyukur juga kerana anakguam kes jenayah ini yang kebanyakannya direman di penjara, tidak memandang yang zahir sebaliknya menilai kebagusan kita atas kepakaran dan komitmen yang dicurahkan. A lasting impression is better than the first impression.

Keduanya, ketika inilah kita berpeluang mengkoreksi diri, membetulkan mana-mana alignment kehidupan yang mungkin tersasar dan juga mengautopsi kelemahan yang wujud. Itu tandanya Tuhan sayangkan kita dan mahu kita bangkit jika kita telah terduduk atau tersembam dalam kesempitan hidup mencari rezeki. Pada yang kurang menabung, ketika inilah masa untuk mengenal tabung haji atau sekurang-kurangnya tabung DIY berwarna merah, hijau dan biru.

Jika kita awal-awal lagi sudah mengambil langkah pre-emptive sebelum berlakunya kegawatan seperti tabungan yang mencukupi, tiadanya pemborosan atau sikap bermewah dengan harta; sebenarnya impak kegawatan itu sebenarnya sudah dilembutkan lebih awal. Tahniah dan beruntunglah jika anda termasuk dalam golongan tersebut yang memahami ibrah dari kisah Nabi Yusof tentang persediaan sebelum kemarau tiba. 

Ketiganya, ketika inilah juga masa yang terbaik untuk explore perkara baru atau niche market yang berbeza yang boleh menaikkan nilai tambah kita. Sejujurnya, saya berpegang kepada mazhab bahawa menjadi specialist dalam satu bidang adalah lebih baik daripada menjadi average dalam banyak bidang. Itulah prinsip yang saya pegang untuk menolak kes-kes yang tidak ada elemen jenayah langsung. Itulah juga prinsip yang menyebabkan saya hanya mampu bertahan mengendalikan 4,5 kes syariah sahaja kerana tiadanya jiwa pada selain jenayah.

Diversiti dalam kegawatan sebenarnya adalah sesuatu yang baik. Tidak salah untuk menerima tugasan selain bidang kepakaran kita asalkan kita berusaha keras dan merujuk kepada ahlinya dalam melaksanakan amanah itu. Satu cara lagi adalah dengan berkoleborasi dengan rakan-rakan yang pakar dalam bidang berkenaan. Selain dapat memperolehi ilmu baru, dapat juga kita menyedut kepakaran rakan-rakan kita tersebut. Itulah yang saya sendiri amalkan iaitu dasar terbuka membenarkan rakan-rakan membantu (baca: bantu bukan enterframe) saya dalam kes-kes jenayah walaupun sebagai pemegang tombak cuma.

Keempatnya, zaman mencabar begini memerlukan kita menjadi lasak dan kuat semangat. Pendek kata kena gedebe dalam usaha dan kerja seperti Pok Ya Cong Codei. Tak perlulah rasa down gara-gara ditegur Hakim atau tewas dalam kes kita. Reputasi dan nama baik kita tetap intact jika kita kekal mengendalikan kes dengan profesional, jujur dan bersungguh-sungguh.

Zaman begini juga bukanlah masanya untuk berehat mahupun untuk berpuas hati pada kejayaan yang sedikit. Setiap hari kita perlu mencabar diri sendiri dan berusaha menambah ilmu, pengalaman dan kepakaran. Kejayaan-kejayaan rakan-rakan hendaklah dilihat sebagai inspirasi bukannya dengki. 

Akhirnya, masa-masa begini yang penuh dengan ketidaktentuan juga menuntut kita untuk memperkuatkan lagi pergantungan dan tawakkal kita kepada Tuhan. Benar, kerja keras dan usaha kena dipesatkan. Namun, tidaklah sampai kita lupa siapa yang memiliki rezeki itu sendiri. Usahlah dibazirkan masa pada perkara yang sia-sia. Tumpukan lebih masa kepada keluarga, mencari makanan rohani dan memelihara jasmani yang sudah melebihi 4 series ini. Hasilnya kita akan pasti dapat lihat rezeki akan tetap sampai kepada kita. Cuma yang tinggal adalah untuk kita bersyukur dan berasa cukup dengan apa yang dikurniakan. Nescaya kita akan mendapat nikmat merasa lapang dalam kehidupan bukannya sesak dada dan tekanan perasaan. Wassalam. 



Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA