HYPOTHETICAL

Assalam,

"Tuan Loyar pakcik nak tanya kes anak pakcik ni serius ke?" Jawab saya, "Walaupun kes Mahkamah Majistret, serius juga pakcik sebab boleh dipenjara sampai 3 tahun". Pakcik bertanya lagi dengan jurus fishing laut dalam, "Jadi kalau masuk penjara habislah anak pakcik?" Jawab saya, "Kita ikhtiarkan yang terbaik pakcik, kita tunggu dokumen pendakwaan diserah dan saya akan nasihatkan apa pilihan terbaik”.

Pakcik masih kurang berpuas hati seraya meneruskan bertanya dalam sessi client counseling ini; "Pakcik nak tanya ni Tuan Loyar, agak-agak kalau pengadu kes anak pakcik ni tiba-tiba la mati sebelum kes bicara, apa jadi pada kes anak pakcik?" "Gulp". Belum sempat saya menjawab soalan itu mungkin menyedari demenour saya yang agak kurang selesa dan terkejut, satu lagi soalan hypothetical menerjah telinga saya; "Bukannya pakcik maksudkan apa-apa, manalah tahu memang dah ajal dia, jadi pakcik nak tahu saja lah". "Gulp 2.0".

Waktu dah lepas waktu asar. Biasanya akal dan fikiran sudah kurang optimal pada waktu ini. Waktu petang-petang begini bukan lagi waktu yang fokusnya masih tajam. Mengambil anak di sekolah atau mengayuh basikal adalah aktiviti alternatif yang jauh lebih membahagiakan berbanding menghadap anak guam dan ahli keluarga yang banyak pula soalannya. Berjumpa anakguam bermaksud mendengar masalah mereka dan cuba memberikan solusi dalam fakta dan hal keadaan yang ada.

Namun, hidup mesti terus. Rezki perlu dicari. Amanah kepada anakguam perlu dilunaskan. Dalam sekitar 5 saat saya cuba mengumpul saki baki kekuatan intelek yang masih berbaki untuk untuk memberikan jawapan yang sebaiknya. Jawapan yang tidak mendatangkan mudharat namun masih kekal jawapan yang jujur dan mampu memuaskan hati pakcik yang bertanya.

Pilihan jawapan yang mula-mula terlintas di fikiran adalah menjawab dengan skima dan pembaris. Memang jawapannya adalah; “Jika pengadu meninggal dunia sebelum beliau sempat datang ke Mahkamah memberikan keterangan, kebiasaannya kes tidak boleh diteruskan, anak pakcik boleh terlepas daripada pertuduhan walaupun mungkin dapat perintah lepas tanpa bebas (DNAA).

Tapi, sempat pula saya terfikir secara hypothetical juga bahawa mungkin soalan pakcik yang innocent ini bukan hypothetical sebenarnya. Mungkin ada maksud tersirat, mungkin ada hasrat, ada perancangan dan lebih buruk lagi mungkin ada niat. Saya boleh memilih untuk berbaik sangka saja di sini dan terus memberikan jawapan pembaris ini. Sebaliknya, saya terpaksa berburuk sangka sedikit dan tabayyun pakcik ini dengan menanyakan beberapa soalan preliminary inquiry.
 
“Pakcik saja kan tanya macam tadi”, “Pakcik tak kenal pun pengadu kan?, “Baru je ada 2 orang peguam kena tuduh sebab didakwa ganggu saksi di Seremban pakcik” adalah beberapa lontaran soalan pre-emptive measure yang saya kemukakan kepada pakcik ini. Jawapan yang konsisten diberikan oleh pakcik iaitu “pakcik tahu, pakcik saja je tanya, ooo kalau ganggu saksi pun boleh kena penjara?”.

Akhirnya, sampailah kepada jawapan saya kepada soalan hypothetical pakcik yang mula-mula tadi. Saya telah memilih untuk memberikan jawapan ala-ala orang politik yang bertujuan mengelakkan mudharat besar disamping mampu menjaga hati dan perasaan pengundi. Jawab saya dengan yakin; “Pakcik, kalau pengadu meninggal sekalipun, kes ini masih boleh diteruskan. Statement pengadu masih boleh dimasukkan sebagai ganti, ada seksyen khas dalam Akta Keterangan yang benarkan pendakwa buat macam tu”. Jawapan yang benar tapi tidak menceritakan keseluruhan kebenaran.

“Ooo pakcik baru tahuu” adalah respon jujur pakcik. “Pakcik serah pada kebijaksanaan Tuan Loyar lah kalau begitu”. Satu koklusi dari pakcik yang mengikis sedikit buruk sangka yang wujud di hati saya tadi. “Kalau gitu pakcik kita ikhtiarkan sama-sama, saya bahagian saya di Mahkamah, pakcik bahagian pakcik. Maksud saya bahagian pakcik tu adalah doa, solat hajat mohon dipermudahkan dan teruskan membayar yuran saya dengan istiqamah.” Saya menutup sessi client counseling dengan khulasah yang begitu.

Apa yang saya kongsikan ini adalah antara contoh persoalan yang real yang diajukan oleh anakguam atau keluarga mereka. Kadang-kadang apa yang ditanya itu mengejutkan dan mencabar kredibiliti dan integriti kita. Ada yang bertanya, bolehkah ejas atau kawtim untuk selesaikan kes mereka? Jawab saya dengan mudah; “Duit nak ejas atau kawtim tu bayar ke peguamlah untuk kendalikan kes di Mahkamah, tak perlu buang duit. Sudahlah salah dan berdosa malah boleh kena pulak dengan SPRM. Tak berbaloi, fokus pada membayar yuran peguam yang sudah tentu perlu ada di Mahkamah”.

Kadang-kadang saya juga pernah ditanya kenapa tuan tak macam peguam lain atau peguam OKT lain yang konfiden cakap boleh menang kes, boleh buat magic macam-macam. Saya jawab dengan salah satu daripada 2 skema jawapan; “Ambiklah peguam magic tu wakil awak, saya peguam biasa saja”. Atau jawapan kedua; “Kalau nak saya wakil, kena percaya dengan saya dan kena dengar nasihat saya. Kalau tak boleh patuh dua benda ni, carilah peguam magic itu wakil awak”.

Pernah juga sekali saya dimaklumkan oleh keluarga anakguam yang beliau kurang yakin dengen saya sebab saya tidak menjanjikan kemenangan. Peguam lain akan kata 100% boleh lepas dengan fakta yang sama. Saya jawab; "Saya akan cerita apa yang betul. Yang sedap didengar dan jugak yang tak sedap didengar. Nilai saya atas kerja saya dan bukan atas janji. If you can accept that then engage me. Kalau tak, anggaplah nasihat percuma saya harı ni sebagai amal saya."

Menangani anak guam dan keluarga adalah satu perkara yang delicate. Terkadang perlu tegas sedikit bagi memastikan integriti profesion kita terjaga. Penting agar peguam ni tidak jadi seperti dicucuk hidung, patuh dan taat saja arahan anakguam walaupun ia melanggar batas dan etika demi wang ringgit.

Namun, kemanusiaan juga diperlukan dalam menangani anakguam. Peguam tidak boleh angkuh dan sombong serta menganggap anakguam dan keluarga ini seperti pelanggan semata-mata. Mereka juga manusia yang memerlukan pembelaan dan dalam sesetengah keadan mereka juga teraniaya. Tidak ada ruginya pula untuk menjadi peguam yang bertimbang rasa yang masih ditunjangi ketegasan dalam soal prinsip dan integriti. Wassalam.


Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA