SPEAKER

Salam,

 

            Setiap orang ada kelebihan masing-masing. Setiap daripada kita ada ilmu tersendiri, pengalaman tersendiri dan imaginasi yang tersendiri juga. Tidak ada orang yang boleh mendabik dada mengetahui segala-galanya. Mesti ada pengalaman, ilmu atau imaginasi yang tidak akan dia miliki. Peguam contohnya, ada ilmu, pengalaman dan imaginasi yang berbeza antara satu sama lain. Walaupun peguam itu peguam jenayah yang mengendalikan kes yang sama sifat dan akibatnya.

 

Sebab itulah pada saya, semua orang boleh menulis. Pasti ada cerita, inspirasi hidup masing-masing yang boleh dikongsikan untuk kebaikan bersama. Yang tinggal hanyalah the push factor. Kemahuan, sikap dan juga teknik yang betul untuk menulis agar apa yang kita miliki itu boleh dijadikan jariah yang berpanjangan. Bukannya terawang-awang di media sosial atau tersimpan kemas dalam minda separuh sedar sendiri saja.

 

Justru, bila ada peluang untuk menyedut ilmu dan pengalaman daripada tokoh-tokoh yang boleh menambah ilmu di dada kita; peluang itu jangan dilepaskan. Semalam, saya bertuah kerana dapat menghadiri majlis ilmu secara maya dengan Tan Sri Ariff, mantan speaker Dewan Negara. Hebatnya beliau bukan kerana namanya sama dengan saya. Tapi, ilmu, pengetahuan dan imaginasi yang disampaikan semalam adalah begitu berharga sekali.

 

Jadi, tidak salah untuk saya melebar-luaskan perkongsian yang saya dapat semalam kepada khalayak semua. Sharing is caring. Entri ini nampaknya akan menjadi sedikit ilmiyyah. Please bear with me. Sebenarnya, jawatan sebagai Speaker ni agak dekat di hati saya. Arwah abah saya sendiri pernah diamanahkan memegang jawatan yang sama di sebuah negeri dulu. Bahkan, saya kerap dipanggil sebagai “anak spekar”, satu panggilan yang tidak saya fahami mahupun senangi.

 

Perkara pertama yang Tan Sri Ariff buat apabila dipilih menjadi Speaker adalah memisahkan dirinya daripada belenggu kepartian. Satu perkara yang amat sukar dibuat oleh mana-mana manusia. Selalunya, orang akan tetap mempertahankan parti masing-masing walau betapa basahpun benang yang cuba ditegakkan. 


Semua jawatan yang beliau ada dalam parti politik, dilepaskan serta-merta. Kenapa? From the outset beliau kena berusaha untuk menunjukkan yang beliau boleh menjadi seorang yang adil kepada semua pihak. Bukannya memberi advantage kepada puak sendiri.

 

Sebab itu, saya sangat simpati dengan Speaker Dewan Rakyat sekarang. Kedudukannya sebagai adik-beradik dengan Peguam Negara sudah pasti menjadi halangan sukar untuk membuktikan yang dia tidak bias kepada kerajaan (terkini). Real bias mahupun likelihood of bias


Apa saja keputusan yang dilihat memihak kepada kerajaan, pasti mengundang kecaman secara berjemaah. Waima betul sekalipun keputusan itu. Sebab itulah secara peribadi, kedua-dua Ariff bersetuju yang kedudukan adik-beradik memegang tampuk dua jawatan penting negara, sewajarnya dielakkan. Boleh mengundang kesipuan.

 

Antara etika kerja yang dikongsikan juga adalah sikap berlaku adil. Adil bukan sekadar di bibir tapi dikotakan dengan tindakan. Sebab itulah, MP pertama yang dihalau daripada Dewan Yang Mulia itu ialah ahli Parlimen kerajaan (ketika itu) iaitu Ram Karpal Singh. Usual suspects lain seperti Khalid Samad, Lim Guan Eng, Bung Mokhtar, Abdul Azeez turut pernah dihalau keluar kerana sebab yang pelbagai. Ramuan meriah gabungan kerajaan dan pembangkang menunjukkan mantan speaker ini memang meletakkan sesuatu itu di tempatnya. Adillah tu.

 

Saya fikir, ada satu perkara yang gagal dikongsikan oleh Tan Sri semalam. Perkara yang wajib ada pada seorang speaker. Sifat sabar. Persidangan Parlimen yang boleh bertukar menjadi sarkis atau suasana seperti di Pasar Borong; bukanlah untuk semua orang. Not for the faint hearted. 


Saya fikir juga, jika sayalah menjadi Speaker, saya mungkin menghalau ahli Parlimen setiap 10 minit. Segara bergilir-gilir antara wakil kerajaan dan pembangkang. Sebelum menghalau diri sendiri keluar Dewan kerana tidak tahan dengan drama yang berlaku.

 

Perkongsian semalam tidak terbatas kepada dunia keparlimenan semata-mata. Saya tidak lepaskan peluang bertanya soalan mengenai dunia practice. Sementelah beliau ada pengalaman begitu lama sebagai practicing lawyer dan juga sebagai Hakim di Mahkamah Rayuan. Nasihat daripada orang lama sangat diperlukan dalam mana semua orang berada dalam survival mode era pandemik ini.

 

Nasihat penting daripada beliau adalah berkenaan teamwork. Tidak ada ruginya bekerjasama dalam mengendalikan sesuatu kes. Apatah lagi dalam kes-kes yang besar. Kepakaran masing-masing boleh disimbiosiskan. Hasilnya pasti lebih baik. Bebanan tugas juga diagih-agihkan secara merata antara ahli kumpulan peguam.

 

Satu lagi nasihat yang agak menarik adalah perlunya berusaha untuk menjadi cekap dalam teknik mengendalikan kes. Banyak peguam terlalu obses dengan fakta kes dan membiarkan teknik yang berkesan dikorbankan. Walhal, mengikut beliau, jika kes yang faktanya lemah sekalipun, masih boleh diselamatkan jika kita mampu menguasai teknik yang betul semasa mengendalikan kes itu.

 

Akhir sekali, saya sangat tertarik dengan nasihat beliau mengenai “10 minutes rule”. Sediakan apa yang hendak dihujahkan lebih awal dalam tempoh lebih kurang 10 minit. Pendek kata, tempoh 10 minit pertama dalam hujahanlah yang sangat crucial. Boleh menentukan samada kita bakal berjaya atau gagal buat kesekian kalinya.

 

Semakin lama saya mengharungi dunia kepeguaman ini, saya sangat bersetuju dengan observasi itu. Hakim-hakim terutamanya di peringkat rayuan, memang tidak akan memberikan masa yang lama untuk kita berhujah. Kadang-kadang belum pun selesai bahagian kata-kata aluan dan doa selamat; sudah dipotong hujahan kita. Jadi, pastikan 10 minit pertama hujahan kita tu adalah point yang paling penting. Jika hendak diletakkan punchline pun, di sinilah. Usah dibuang masa Mahkamah dengan bunga-bunga bahasa atau point-point bertaraf sunat.

 

Perkongsian semalam bukan saja menambah ilmu dan pengalaman, tapi juga turut membakar semangat pendengar. Boleh saja kita berpegang dengan prinsip seperti berlaku adil kepada semua golongan; kawan atau lawan. Mungkin kita dianggap naif kerana tidak menggunakan jawatan kita untuk kepentingan kroni sendiri. Tapi, sudah pasti kita akan turut dikenang sebagai seorang yang gentleman dan berprinsip. Satu pengiktirafan yang bukan senang hendak dicapai. Wassalam.

 

Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA