MA QALLA WA DALLA
Salam,
Antara jobscope utama seorang peguam adalah berhujah. Ada yang berlaku di peringkat awal. Contohnya, hujahan membantah reman. Contoh yang lain adalah hujahan permohonan jamin. Ini antara misalan klasik hujahan peringkat awal bagi seseorang peguam.
Tapi, sebenarnya, ada lagi hujahan yang berlaku jauh lebih awal. Dengan kata lain; bertaraf prequel. Yang saya maksudkan ini adalah hujahan untuk meyakinkan anak guam atau ahli keluarga mereka. Hujahan untuk menoktahkan persetujuan mereka agar melantik kita.
Hujahan ini boleh menjadi yang paling penting bagi seseorang peguam. Ia bakal menentukan samada hujahan-hujahan susulan yang lain akan benar-benar wujud. Jika hujahan ini ditolak, ia bermaksud tiada rezki yang tertulis untuk peguam. Bolehlah dihalakan usaha ke arah kes-kes yang lain pula.
Ada hujahan yang berlaku di pertengahan kes. Misalnya, hujahan bantahan. Mungkin membantah perihal pertuduhan yang defektif. Boleh juga bantahan atas cara pengendalian kes. Hujahan ini boleh jadi ringkas. Mungkin hanya senafas saja bantahannya. “Saya bantah soalan pendakwaan. Leading!” Memang satu nafas saja diperlukan. Tanpa berkelip mata.
Hujahan di pertengahan jalan ini boleh membawa kepada tempoh yang lama. Berhari-hari. Bisa menjadi seperti bicara dalam bicara. Yang agak terkini saya sendiri kendalikan adalah, bantahan terhadap permohonan pendakwaan untuk menggunakan peruntukan saksi terlindung. Ia di bawah Seksyen 265A Kanun Prosedur Jenayah. Berhujahnya saya mengambil masa dua hari. Itu belum dikira tempoh bersengkang mata membuat research yang terperinci.
Semalam, saya mengharungi lagi satu proses berhujah di Mahkamah. Kali ini, hujahan permohonan jamin. Satu kes di bawah Akta SPRM. Seperti biasa, saya membuat persediaan sewajarnya. Bermula dengan know the facts.
Latarbelakang anak guam dikumpulkan bagi tujuan peringanan jumlah jaminan. Jumlah subject matter yang terlibat juga diperlukan bagi menentukan jumlah jaminan yang munasabah.
Seterusnya, know the law. Pertuduhan yang bakal dipertuduhkan juga dirujuk kembali. Kendatipun ini sudah pertuduhan yang ke berapa belas kali saya berjumpa. Tidak rugi mengasah parang yang sama berulang kali.
Akhir sekali, know the judge. Semakan dengan sistem terkini Mahkamah membolehkan kita tahu Hakim mana yang akan kita hadapi esok. Stail, kecenderungan dan range jumlah jaminan yang biasa diberikan juga siap diulangkaji. Pendek kata tidak ada tolok bandingnya persediaan saya kali ini. Biarpun hanya hujahan ringkas permohonan jamin. Tetap perlu ada homeworknya yang mantap.
“Yang Arif, saya nak bercakap sendiri boleh?” Saya dikejutkan dengan permintaan anak guam kepada Mahkamah. Dia ingin berhujah lanjut. Walhal saya telah berhujah dengan secukupnya sebelum itu. Nampaknya saya terlupa satu lagi rukun tambahan sebelum memulakan hujahan; know the client.
Mujurlah angin Hakim pagi semalam begitu nyaman, sepoi-sepoi bahasa. Penuh kesabaran walaupun anakguam mengulangi kembali hujahan peguamnya sendiri. Cuma dalam bahasa seorang layman. Dengan senyuman yang tidak kelihatan di sebalik pelitup muka, Puan Hakim sekadar berkata; “Jangan risau, kamu kan dah lantik peguam. Peguam dah buat kerja dia sebaiknya.”
Sampailah kita kepada persoalan utama; sekadar mana hujahan itu? Adakah perlu panjang lebar? Yang lebih berjela-jela itu lebih bagus? Atau, biarkan saja ia ringkas. Kerana ia terus menusuk ke matlamatnya (straight to the point)?
Pada saya, yang terbaik adalah yang mencapai matlamat. Asasnya di situ. Jika isunya kompleks, sudah tentu ia memerlukan penghujahan yang lebih lama. Berbeza dengan isu-isu yang simple, tidaklah perlu meleret-leret.
Yang paling baik adalah perkataan yang sedikit tapi jelas. Khairul kalam ma qalla wa dalla. Dalam Bahasa Inggerisnya; less is more. Kata-kata bijak pandai ini boleh kita jadikan panduan dalam berhujah. Sudah tentu jika anakguam berhujah sebagai rakan tag team kepada peguam; itu sudah berlebihan. Tidak lagi menjadi kategori yang sedikit tapi berhasil.
Prinsip ma qall wa dalla ini tidaklah sesuai diamalkan dalam semua keadaan. Contohnya dalam peraturan kuarantin wajib. Tempoh 3 hari eksklusif untuk Jemaah Menteri tidak semestinya lebih baik daripada tempoh 10 atau 14 hari untuk rest of the world.
Tempoh inkubasi covid 19 ini bukankah mencapai sehingga 14 hari? Jadi, keputusan meringkaskan tempoh kuarantin kepada 72 jam sahaja, sudah pastilah bertentangan dengan maslahah menjaga kesihatan. Kita tidak mahu Menteri-menteri kesayangan dijangkiti penyakit ini kerana tempoh kuarantin pra-matang.
Yang lebih kita tidak mahu adalah rakyat kebanyakan, staf serta pegawai Menteri yang didedahkan dengan risiko jangkitan kluster Menteri. Lantaran boss mereka bebas berkeliaran dan bertempiaran dalam segala majlis rasmi dan tak rasmi selepas hanya 3 hari. Kasihanilah mereka jika kita enggan mengasihani Menteri sekalipun.
Sebagai pengamal undang-undang, kita tidak boleh lari daripada membicarakan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan. Equality before the law. Sekali baca pun sudah nampak tidak adilnya syarat pengecualian untuk Jemaah Menteri, dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 itu. Tidak perlu pun peguam yang menghuraikannya.
Benar, Artikel 8 ini tidak mutlak. Boleh saja undang-undang dibuat untuk membezakan kelas antara rakyat. Contoh mudah adalah keperluan untuk mendapatkan kebenaran (leave) untuk merayu ke Mahkamah Rayuan bagi kes berasal dari Mahkamah Majistret. Tertuduh perlu dapatkan leave ini, sedangkan pihak pendakwaan dikecualikan.
Ada senario begitu. Tidak melanggar roh Artikel 8 tadi. Tapi, peraturan memendekkan kuarantin ke 3 hari saja, tidak ada justifikasi yang masuk akal. Penekanan diberikan di situ (emphasis added).
Dimulakan dengan hujahan, diakhiri dengan kebejatan. Undang-undang yang dibuat mestilah adil. Ia perlu adil untuk semua golongan; kayangan dan marhaen. Jika tidak, undang-undang yang baik sekalipun akan mengundang kecaman secara berjemaah oleh semua pihak. Dan selayaknya undang-undang begitu dibantah. Wassalam.
Comments
Post a Comment