OUR PATHS WILL CROSS IN THE FUTURE




Salam,

 

Insya Allah maybe our paths will cross in the future. Itu kata-kata semangat yang saya titipkan untuk seorang bakal peguam. Seorang anak muda yang menulis secara peribadi, ingin menjadi anak didik saya. Menjadi seorang pelatih dalam kamar di dalam firma kecil saya. Ini bukan kali pertama saya menerima permohonan bersifat begini. 

 

Namun, takdir dan circumstances terkini tidak menjadikan permintaan itu menjadi nyata. Saya agak tersentuh. Kegigihan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh anak muda ini begitu memukau. Bukan sekadar email biasa yang di broadcast kepada belasan firma semasa memancing firma mana yang hendak diceburi. Barangkali, nilai gaji paling tinggi menjadi kayu ukur utama, bagi bakal peguam yang memancing laut dalam begitu. 

 

Tidak salah meletakkan asas wang ringgit sebagai kayu ukur utama. Sementelah zaman edan covid 19 yang tidak menentu ini. Ia menagih satu kepastian dalam kehidupan. Gaji atau elaun yang tinggi adalah salah satu daripada faktor yang boleh mendatangkan ketenangan. Emphasis added. Tidak salah window shopping firma mana yang menawarkan tawaran kewangan yang paling lumayan.

 

Namun, di sebalik itu, banyak lagi faktor yang menjadi kayu pemisah. Antara seorang bakal peguam yang berkiblatkan fulus semata-mata. Berbanding anak muda yang bercita-cita tinggi. Ingin berguru dengan yang terbaik. Bertalaqqi secara direct dengan peguam senior yang dikagumi. Sikap mencari yang terpuji. To learn from the best, the achieve the best possible result.

 

Saya bukan guru yang terbaik itu. Betapa ramai lagi peguam yang hebat. Boleh mencurahkan ilmu, pengalaman dan inspirasi kepada bakal peguam. Mereka ini insan-insan yang mulia. Bukan saja pakar dalam bidang masing-masing. Tapi juga tidak lokek ilmu untuk dicurahkan kepada generasi pelapis akan datang. Carilah mereka. Bergurulah dengan mereka. Saya ada ramai sahabat-sahabat peguam yang mulia ini.

 

Berbalik kepada permohonan anak muda tadi, dengan berat hati saya terpaksa menolaknya. Sebagai pemilik firma yang kecil, tidak mampu untuk saya menyediakan ruang, melainkan untuk beberapa orang anak murid pada sesuatu masa. Cengkaman pandemik juga menambah getirnya cabaran kepada pemilik firma yang kecil mahupun sederhana.

 

Ada rakan yang berkata; “Ambik sajalah ramai-ramai chambering atau intern. Mereka kan cheap labour. Bayar murah-murah saja. Zaman sekarang mereka pun tak boleh memilih sangat.” With greatest respect, saya sangat tidak bersetuju dengan pendapat ini. Benar, 20 tahun yang lampau, ada rakan yang chambering di Kota Bharu tidak dibayar satu sen pun. Benar juga, ada yang hanya dibayar kos-kos filing sahaja tanpa apa-apa elaun.

 

Tapi, itu dulu. Usahlah kita menzalimi bakal peguam dengan menjadikan mereka buruh paksa. Apakah mesej yang hendak diberikan kepada mereka? Vicious cycle itu akan berulang apabila  mereka pula menjadi majikan kelak. Umpama sessi ragging saban tahun di sekolah berasrama penuh. Bersembunyi di sebalik ‘tradisi’ atau ‘minggu silaturrahim’.

 

Dalam meniti anak-anak tangga bidang peguam ini, saya dikurniakan rezeki crossing paths dengan ramai guru-guru yang hebat. Juga, rakan-rakan seperjuangan yang berjurus belaka. Manusia-manusia yang mengajar saya selok belok perundangan. Lebih utama, mendidik saya erti kehidupan. Kurniaan ini adalah rezeki yang tidak ternilai. Dikelilingi orang yang baik-baik dalam hidup kita. 

 

Sudah tentu, saya juga ingin ramai bakal peguam di luar sana, menikmati rezeki yang sama. Kalaulah firma saya gah dan mewah, sudah pasti saya terima semua permohonan. Tidak tolak satu pun.  Terutamanya yang memohon secara terus kepada saya secara peribadi. Yang jelas bersungguh-sungguh. Saat itu belum lagi berlaku, masih kekal dalam angan-angan (dan perancangan).

 

Untuk bakal peguam di luar sana, jangan patah semangat. Belajar boleh di mana-mana. Sikap yang positif, usaha yang keras serta integriti yang kukuh. Itu semua yang perlu dibina dari sekarang. Demi untuk melangkah jauh dalam dunia kepeguaman yang serba mencabar ini. Bermula dari zaman chambering lagi, bukannya kemudian-kemudian. Mendapat seorang guru yang bagus, adalah bonus. Moga kita semua boleh bertemu di masa depan. Berganding bahu di arena kepeguaman ini. Crossing paths in the future. Insya-Allah.

 

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA