Loyarberjurus

hanya untuk yang berjurus sahaja

Friday, October 4, 2013

DI PERSIMPANGAN DILEMA

Salam,


Saya dihubungi oleh salah seorang pembaca blog ini berkenaan dilema yang beliau hadapi. Saya rasa selain saya menjawab secara personal, elok juga saya titipkan di sini barangkali ada manfaat yang boleh dikongsikan kepada umum. Dilema yang dihadapi adalah samada lebih sesuai terus meneruskan karier di  perkhidmatan awam, atau sebaliknya keluar dan menjadi peguam di medan di luar ini.

Saya rasa dilema ini bukan sahaja berlaku kepada rakan-rakan yang berkhidmat dalam perkhidmatan perundangan atau kehakiman. Sudah tentu mereka yang menjadi kakitangan awam di mana-mana sektor sekalipun, mungkin akan didatangi pilihan ini. Teruskan di dalam atau sahut cabaran untuk mencari rezki di luar. Sedikit pengalaman saya yang pernah mengalami dilema ini beberapa tahun dahulu diharap dapat memberi sedikit panduan.

Pertamanya, haruslah disedari bahawa skrip hidup kita semua ini tidak sama. Cabaran dan dugaan mahupun ujian semuanya berbeza dan tahapnya juga berlainan. Oleh itu untuk membandingkan kita dengan kehidupan orang lain secara total sudah tentu tidak tepat. Inspirasi atau semangat boleh diambil dari kejayaan orang lain. Begitu juga sebaliknya panduan dan iktibar boleh kita ambil dari kegagalan seseorang.

Keduanya, selepas beberapa tahun bekerja di sesuatu sektor, kita sewajarnya sudah merasai apa pahit dan manis berada di sektor itu. Apa yang kita suka dan apa yang kita tidak gemar. Tanyalah kepada diri sendiri, bolehkah kita berterusan hidup dalam suasana dan budaya dalam karier kita sekarang? Contohnya bolehkah kita tolerate budaya kipas dalam perkhidmatan awam atau bolehkah kita bertahan budaya cah keting dalam dalam alam pekerjaan di luar? Saya sekadar memberi contoh yang mungkin tidak berlaku dalam dunia karier anda. 

Ketiganya, perlulah kita tanya apakah yang kita mahu dalam hidup? Adakah kita mahu kehidupan yang secure dan stabil seperti dalam perkhidmatan awam? Atau kita mengimpikan cabaran bekerja di luar? Awlawiyyat atau prioriti adalah penting. Banyak perkara yang kita mahukan dalam hidup. Senaraikan dan barulah kita nampak kita lebih sesuai di mana. Contohnya kita mahukan pendapatan yang lebih atau kedudukan yang baik di mata masyarakat, ingin kebebasan membuat keputusan, atau ada yang ingin menjadi aktivis masyarakat atau menyumbang kepada negara. Tanyalah diri sendiri dan jawablah dengan jujur nescaya anda akan nampak di mana kedudukan anda.

Keempatnya, saya selalu percaya di mana sahaja kita mencari rezki jika kita amanah dan bersungguh-sungguh, Insyaallah kita akan naik juga tanpa perlu kita membodek atau apa saja jalan belakang yang tidak patut seperti memijak orang lain dan sebagainya. Jika inilah yang dipegang oleh penjawat awam, maka beliau akan mendapat 2 keuntungan jika mana-mana jalan pun yang dipilih. Kerana apa? Kerana beliau telah bekerja kuat dan amanah, jika beliau kekal sudah tentu lambat laun beliau akan dipandang dan dihargai oleh majikan. Sebaliknya, jika didapati rezki beliau di luar, sudah tentu beliau sudah bersedia untuk berjuang di luar hasil kerja keras selama ini.

Kelimanya, jika kita bekerja di dalam saya percaya perlu satu tempoh yang munasabah sebelum kita keluar. Contohnya selepas 4-5 tahun mungkin sesuai. Rasiaonalnya, jika masa terlalu singkat seperti kurang dari 3 tahun; kita mungkin tidak bersedia lagi untuk keluar. Mungkin ilmu, pengalaman, contact dan kewangan belum begitu kukuh. Juga kita mungkin belum cukup merasai hidup di dalam yang membolehkan kita membuat keputusan samada ianya sesuai untuk kita. Cuma janganlah terlalu lama kerana lagi lama kita di dalam makin sukar untuk kita keluar kerana mungkin semangat juang sudah berkurangan.

Keenamnya, kita boleh membuat perbandingan dengan boss kita sendiri. Adakah kehidupan seperti boss kita yang kita akan capai dalam 15-20 tahun akan datang itu sesuai untuk kita. Adakah semakin kita naik pangkat, maka semakin sibuk dan semakin tertekan kita dengan amanah? Atau adakah kehidupan seperti boss kita itu kita idam-idamkan? Tepuklah dada tanya selera dan juga iman.


Ketujuh dan akhir sekali, nasihat saya cubalah berbincang dengan keluarga terutamanya ibu bapa dan isteri. Saya sentiasa percaya ada keberkatan jika apa-apa keputusan kita itu direstui dan disokong oleh keluarga kita. Insyaallah lebih senang untuk kita meneruskan penghidupan apabila menyedari di belakang kita ada insan-insan yang akan sentiasa bersama kita, senang atau susah.
Akhirnya, percayalah apa saja keputusan yang dibuat, rezki kita sudah ditentukan Allah. Tunggu kita sahaja untuk mencungkilnya keluar. Apa-apa pun buatlah kerja yang membahagiakan kita dan jiwa kita seronok melakukannya. Tanpa keseronokan bekerja, anda umpama zombie atau robot sahaja yang bekerja tanpa perasaan. Wassalam.

2 comments:

  1. Nasihat En.Ariff sungguh bernas, sudah lama xbaca blog ni, tetiba teringin nak baca, rupanya ada juga hikmah utk saya percaya dan percaya,.."Apa-apa pun buatlah kerja yang membahagiakan kita dan jiwa kita seronok melakukannya"...Terima Kasih En Ariff.

    Ex-student Criminal Law I USIM.(Alumni)

    ReplyDelete
  2. Mohd Solieheen,

    Terima kasih. Teruskan menyumbang untuk ummah.

    ReplyDelete