EMOSI DAN KEMANUSIAAN
Assalam,
Sebagai seorang peguam kita selalu dinasihati supaya menjadi seorang yang profesional. Profesional bagaimana? Maksudnya tidak boleh mencampur adukkan diantara kerjaya dengan perasaan atau pandangan peribadi sebagai manusia. Seperti apa yang diungkapkan dalam kes PP v Krishnan Ramar; "however heinous the crime that the accused is charged, he is entitled to be represented". Au kama qaal.

Sesiapa yang pernah menonton filem Inception lakonan hebat Leonardo di Caprio, pasti masih ingat bagaimana beliau cuma mempersempadankan diri beliau antara realiti dan hidup di alam mimpi dalam mimpi, iaitu menggunakan sebuah gasing kecil. Barangkali peguam juga perlu ada tool sebegitu agar dapat menjalankan amanah tanpa dipengaruhi emosi. Saya percaya bukan peguam jenayah sahaja yang berhadapan cabaran emosi ini, malahan peguam lapangan lain juga seperti peguam syarie misalnya turut dicabar dan digoda emosi mereka.

Begitu mudahkah kerjaya peguam? Buat kerja saja tanpa ambil pusing perasaan diri sendiri dan juga pihak yang memberikan harapan? Jawapannya, a resounding no. Memang peguam dilarang membiarkan diri dibuai emosi apatah lagi diperkotak-katikkan oleh anakguam. Begitu juga a big no untuk kita terlibat dalam permasalahan anakguam (selain sudah tentu menjadi peguam yang sebenarnya adalah penyelesai masalah mereka).

Sebab itulah peguam tidak boleh lari dari perasaan ralat mahupun terkilan. Ralat apabila kes yang kita yakin anakguam kita teraniaya, tapi masih disabitkan. Terkilan apabila kes yang tidak sepatutnya dituduh masih ditekan dengan bersungguh-sungguh oleh pihak pendakwa. Ralat apabila anakguam yang sewajarnya diberi peluang kehidupan dan kebebasan tapi tidak mendapatnya walaupun kita memberikan alasan kemanusiaan dengan harapan pihak pendakwa membuka mata dan melihat melampaui kertas siasatan semata-mata. Dengan kata lainnya, cuba membuat keputusan berdasarkan naluri kemanusiaan juga, bukan bergantung pada keterangan atau taklimat pegawai penyiasat sahaja.
Keralatan saya datang lagi hari ini. Anak guam saya telah dijemput pulang menghadap Yang Esa semalam. Ralat bukan kerana saya gagal melepaskan beliau daripada pertuduhan yang beliau hadapi dalam umur yang melebihi 70 tahun dan di saat beliau menghidap kanser stage 4. Terkilan saya kerana kemungkinan besar emosi dan kemanusiaan mungkin sudah luput dari kamus dan senarai checklist pendakwa sebelum membuat keputusan. Maafkan saya beremosi hari ini. Saya juga manusia! Al-faatihah untuk arwah.
Eloklah meninggal tanpa sabitan
ReplyDelete