EMOSI DAN KEMANUSIAAN

Assalam,

Sebagai seorang peguam kita selalu dinasihati supaya menjadi seorang yang profesional. Profesional bagaimana? Maksudnya tidak boleh mencampur adukkan diantara kerjaya dengan perasaan atau pandangan peribadi sebagai manusia. Seperti apa yang diungkapkan dalam kes PP v Krishnan Ramar; "however heinous the crime that the accused is charged, he is entitled to be represented". Au kama qaal.

Namun bolehkah peguam terutamanya peguam jenayah mempersempadankan diri dalam melaksanakan tugas; bersikap profesional dan tidak dipengaruhi emosi? Peguam juga adalah manusia. Peguam juga ada hati dan perasaan. Peguam juga dicabar emosi saban hari. Bukan calang-calang orang yang boleh bertahan dengan kerenah anak guam, kerenah mahkamah dan yang lebih mencabar adalah harapan yang diberikan oleh anak guam serta keluarga. Dengan kata lain peguam sudah menjadi seperti seorang penyelamat dunia bagi mereka di mana nyawa dan kebebasan diri disandarkan kepada peguam untuk diselamatkan.

Sesiapa yang pernah menonton filem Inception lakonan hebat Leonardo di Caprio, pasti masih ingat bagaimana beliau cuma mempersempadankan diri beliau antara realiti dan hidup di alam mimpi dalam mimpi, iaitu menggunakan sebuah gasing kecil. Barangkali peguam juga perlu ada tool sebegitu agar dapat menjalankan amanah tanpa dipengaruhi emosi. Saya percaya bukan peguam jenayah sahaja yang berhadapan cabaran emosi ini, malahan peguam lapangan lain juga seperti peguam syarie misalnya turut dicabar dan digoda emosi mereka.

Peguam sepatutnya berhati waja dan tidak sepatutnya dikacau ganggu emosi dek kerana apa yang berlaku dalam kes yang dikendalikan. Begitu juga apa sahaja keputusan oleh Mahkamah, bukan sepatutnya menjadi kepedulian sang peguam samada anakguamnya bebas mahupun dipenjara ataupun digantung. Yang mustahak adalah, buatlah sebaik mungkin dalam keupayaan dan kepakaran yang ada, maknanya tanggungjawab peguam sudah selesai. Apa sahaja keputusan Mahkamah, bukanlah dalam bidang kuasa kita lagi. Waima keputusan itu justified ataupun keputusan itu umpama membaling dadu semata-mata, peguam hendaklah menerimanya dengan hati yang terbuka dan dada yang lapang.


Begitu mudahkah kerjaya peguam? Buat kerja saja tanpa ambil pusing perasaan diri sendiri dan juga pihak yang memberikan harapan? Jawapannya, a resounding no. Memang peguam dilarang membiarkan diri dibuai emosi apatah lagi diperkotak-katikkan oleh anakguam. Begitu juga a big no untuk kita terlibat dalam permasalahan anakguam (selain sudah tentu menjadi peguam yang sebenarnya adalah penyelesai masalah mereka).

Sebaliknya, emosi dalam kepeguaman pada saya adalah mustahak untuk memastikan kita menjadi peguam yang lebih baik. Semangat dan kesungguhan dalam melaksanakan amanah sangat membantu dalam mencapai hasil yang baik. Begitu juga perasaan tidak puas hati sekiranya anak guam kita memang totally innocent akan memacu representasi yang lebih bermutu. Kadang-kadang perasaan geram, sakit hati mahupun bengang dengan mahkamah, pihak lawan atau saksi juga boleh ditransformasikan secara positif untuk membantu anak guam kita. Pendek kata, beremosi dalam menjadi peguam diperlukan asalkan kita tahu mengawalnya dan memposisikannya dengan baik.

Sebab itulah peguam tidak boleh lari dari perasaan ralat mahupun terkilan. Ralat apabila kes yang kita yakin anakguam kita teraniaya, tapi masih disabitkan. Terkilan apabila kes yang tidak sepatutnya dituduh masih ditekan dengan bersungguh-sungguh oleh pihak pendakwa. Ralat apabila anakguam yang sewajarnya diberi peluang kehidupan dan kebebasan tapi tidak mendapatnya walaupun kita memberikan alasan kemanusiaan dengan harapan pihak pendakwa membuka mata dan melihat melampaui kertas siasatan semata-mata. Dengan kata lainnya, cuba membuat keputusan berdasarkan naluri kemanusiaan juga, bukan bergantung pada keterangan atau taklimat pegawai penyiasat sahaja.


Keralatan saya datang lagi hari ini. Anak guam saya telah dijemput pulang menghadap Yang Esa semalam. Ralat bukan kerana saya gagal melepaskan beliau daripada pertuduhan yang beliau hadapi dalam umur yang melebihi 70 tahun dan di saat beliau menghidap kanser stage 4. Terkilan saya kerana kemungkinan besar emosi dan kemanusiaan mungkin sudah luput dari kamus dan senarai checklist pendakwa sebelum membuat keputusan.  Maafkan saya beremosi hari ini. Saya juga manusia! Al-faatihah untuk arwah.

  

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA