MISTIK

Assalam,

Pagi ini kehadiran saya ke salah satu Mahkamah di lembah Kelang menghadirkan sesuatu yang sedikit berbeza. Mahkamah naik agak lambat tanpa sebab yang munasabah. Kelihatan beberapa anggota polis seperti sibuk mencari-cari sesuatu disekitar Mahkamah. Makin saya hampir, makin kuat pula bau-bauan yang agak janggal tetapi mengganggu gugat hidung. Saya juga bertembung dengan seorang Hakim yang mengatakan beliau menggunakan laluan yang sedikit jauh dan bukan normal ke Mahkamah beliau. Dikhabarkan juga ada sessi bacaan Yaasin sedang berlangsung dibaca oleh kakitangan Mahkamah.

Rupa-rupanya sesuatu yang tidak diundang atau mistik dikesan. Khabarnya ada pihak yang tak bertanggungjawab telah menaburkan 'sesuatu' di sekitar Mahkamah. Mungkin peguam mereka tidak cukup bagus atau kes mereka sendiri sudah maha koyak. Wallahua'alam. Bagi yang tidak berkecimpung dengan arena kemahkamahan mungkin menganggap ini tidak munasabah atau tak mungkin berlaku di Mahkamah. Tapi bagi saya yang sudah berbelas tahun tanpa jemu (lagi) saban hari ke Mahkamah; elemen mistik di Mahkamah ini memang berlaku dan wujud walaupun bukanlah menjadi sesuatu yang normal. True? Yes it's true.

Pertama-tamanya hendaklah kita jelas bahawa perbuatan untuk resort to such tactics adalah salah disisi agama dan boleh membawa kepada syirik. Full stop, ini adalah persoalan aqidah bukannya isu cabang atau furu'. Jangan kata perkara begini, beriktikad bahawa ubat yang kita makanlah yang menyembuhkan penyakit kita juga boleh merosakkan aqidah. Jelas, ia bukannya perkara yang main-main.

Perkara-perkara mistik juga antara perkara yang mudah menarik minat ramai di kalangan masyarakat, seperti juga cerita basi dan memualkan mengenai artis dan ahli politik. Sebab itulah akhir-akhir ini banyak perkara yang trending dan viral di media sosial adalah berunsur mistik. Contoh yang agak terkini adalah seperti video kebaya merah, video buaian bergerak sendiri dan juga filem Dukun yang asalnya diharamkan telah dihalalkan untuk tayangan ramai.

Selain melantik peguambela, ikhtiar atau usaha di pihak anakguam dan keluarga untuk membebaskan tertuduh adalah sesuatu yang lumrah. Asalkan usaha itu mengikut lunas undang-undang dan munasabah, pada asalnya ia baik asalkan tidak mengganggu tugas hakiki peguambela. Jika contohnya anak guam atau keluarga maklumkan ingin buat solat hajat atau doa selamat untuk memohon kepada Yang Esa untuk mendapat keputusan kes yang favourable, saya tiada halangan malah menggalakkan lagi. 

Sebaliknya peguam hendaklah berhati-hati apabila permintaan anakguam itu sendiri pelik dan diselubungi misteri seperti inginkan nama penuh pihak-pihak yang terlibat kononnya untuk di "solat hajatkan" atau "ditiup-tiup". Tolaklah permintaan mengarut sebegini dan nasihatilah anak guam agar tidak terjebak dalam perkara khurafat serta percayalah dengan peguam yang telah dilantik.

Saya bersyukur sepanjang beramal di arena kepeguaman jenayah, samada sebagai timbalan pendakwa raya mahupun kini sebagai peguam bela; saya tidak diuji secara kuat dengan perkara-perkara mistik. Jika pernah terjadi pun sekadar sipi-sipi atau setakat seperti blank atau pening dalam Mahkamah tatkala mengendalikan kes-kes tertentu. Alhamdulillah.

Namun, pengalaman beberapa rakan-rakan samada peguam mahupun timbalan pendakwa raya dan hakim, nampaknya ada yang lebih kuat diuji. Malah ada yang sehingga terpaksa mendapatkan rawatan dengan pengamal perubatan Islam seperti dari Darussyifa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Memang berat dugaan dan cabaran beramal di arena kemahkamahan dunia ini. Tidak dinafikan kerjaya sebagai hakim, pendakwa raya dan peguam terdedah kepada risiko samada yang zahir mahupun yang tidak nampak. Oleh itu untuk bakal-bakal pengamal undang-undang yang akan terjun ke dunia serba mencabar ini, perlengkapkanlah ilmu dan kekuatan rohani masing-masing. Menceburi arena kemahkamahan ini bukanlah untuk mengejar glamor mahupun publisiti dan nama.

Tidaklah bermakna sedikit expose saya mengenai pengalaman mistik ini menyebabkan minat dan semangat adik-adik untuk bersama-sama menjadi pengamal undang-undang menjadi terbantut. Usah lemah semangat kerana setiap kerjaya pasti ada cabarannya yang unik dan tersendiri. Beramallah dengan attitude yang betul, elakkan daripada menyakiti hati pihak lain serta bersikap profesional bukannya personal dalam tugasan. Itulah antara tips-tips untuk menjadi perisai diri daripada musibah dalam meneruskan beramal dalam arena yang serba sukar dan mencabar ini.

Seperkara lagi, pengalaman saya mengendalikan kes di Mahkamah, kadang-kadang faktor yang bukan dalam kawalan kita turut menyumbang kepada keputusan sesuatu kes. Sebagai contohnya, ada kes yang saya kendalikan, saya dapati laluannya mudah dan keputusan yang baik diperolehi. Apabila saya selidiki, rupanya ibu atau bapa tertuduh tidak putus-putus mendoakan dan mengerjakan solat hajat untuk kesejahteraan sang anak. 

Sebaliknya, ada pula kes yang sepatutnya tiada masalah menjadi sebaliknya iaitu berliku-liku dan hasilnya tidak cantik. Rupa-rupanya anakguam tidak menjaga hubungan baik dengan ibu bapa (dan mungkin juga dengan Tuhan). Saya pernah melihat sendiri anakguam mengherdik ibunya di Mahkamah dan keputusan kes tersebut akhirnya mengecewakan.  Sempat juga saya memberi sedikit tarbiah sentap kepada anakguam yang kurang sedar diri itu. Bunyinya macam mistik juga tapi mungkin ada kebenarannya.

Yang penting dalam apa jua pekerjaan seharian kita, pandai-pandailah kita membawa diri, membawa peribadi dan membawa tanggungjawab yang ditaklifkan. InsyaAllah kita akan terpelihara daripada apa-apa yang mistik, drastik mahupun sarkastik dalam perjalanan karier kita. Wassalam.

Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA