PILIHANRAYA
Assalam,
Musim kegemaran ramai kembali lagi. Setiap 4 ke 5 tahun maka sudah sampainya kita untuk menjadi pemilih. Memilih siapakah yang akan menjadi pemimpin kita. Setibanya musim ini, pelbagai durian runtuh boleh dinikmati oleh rakyat tanpa perlu diminta. Begitu juga pelbagai perangai pelik dan turun ke bumi (down to earth) oleh para politikus dapat kita lihat. Seterusnya, pelbagai elemen kurang baik seperti fitnah, berita palsu, konspirasi teori, character assassination dan drama ulang tayang pengisytiharan keluar masuk parti, terpaksa kita hadapi dengan penuh kemuakan.

Di Mahkamah akhir-akhir ini juga topik pilihanraya muncul juga. Pabila ingin mengambil next date, persoalan samada ianya bertembung dengan tarikh pilihanraya menjadi pertimbangan. Bahkan saya pernah ditanya dalam Mahkamah samada akan menjadi calon dalam PRU 14 yang akan datang! Jawapan saya nampaknya sama seperti pra PRU 13 dulu; mungkin pada PRU 18 saya akan bersedia. Bukan saja saya tidak berminat dan tidak layak, bahkan saya lebih merasakan tanggungjawab saya memenuhi tuntutan fardu kifayah sebagai peguam kes jenayah lebih dekat di jiwa dan lebih memberikan kepuasan dan ketenangan.


Apa pilihan yang perlu peguam bela buat? Pertama sekali hendaklah membuat pilihan yang betul dalam menerima perlantikan apa-apa kes. Jika kita mampu dan berpengalaman mengendalikan sesuatu kes, itulah yang sebaiknya untuk dipilih. Jujurlah dalam mengakui kepada anak guam jika kes yang diminta itu bukannya bidang kepakaran kita. Usahlah dikejar wang ringgit semata-mata dalam keadaan kita sendiripun tidak mampu mengendalikannya. Usah bodoh sombong seperti juri masterchef UK mempertahankan versi rendang crispy. Lebih teruk lagi jika kita sanggup untuk mislead anak guam dalam menjual kepakaran kita yang tidak wujud sebenarnya.
Sudah tentu ia tak bermakna kita tidak boleh mengambil kes pada sesuatu yang baru pada kerjaya kita sebagai peguam. There's always be the first one in anything and every professional starts as an amateur or beginner. Terdapat banyak bidang dalam kerjaya peguam ini. Ada jenayah, sivil, syariah, perbankan, korporat, hartanah, accident dan macam-macam lagi yang mana tak mungkin seorang peguam itu mahir kesemuanya. Dalam jenayah sendiri terdapat banyak niche area yang mana sebahagian saja peguam jenayah mahir; ada kes dadah, senjatapi, commercial, rasuah, general crime, amla, sosma dan banyak lagi.
Ada ketikanya saya masih dilantik oleh keluarga walaupun saya kurang pengalaman (dan jiwa) dalam mengendalikan kes syariah kerana mereka kenal dan selesa dengan saya. Apa yang saya buat adalah melantik seorang lead counsel atas persetujuan keluarga dan saya tetap terlibat sebagai co-counsel (bukannya mislead counsel). Ada masanya saya menolak dengan baik dan meminta keluarga merujuk kepada rakan-rakan peguam yang lebih mahir dalam bidang tersebut. Risaukan rezeki terlepas? Jangan risau rezeki itu tak pernah salah alamat dan jika rezeki itu milik kita, lambat laun akan dapat juga kepada kita.
Pentingnya pilihan samada menerima atau menolak perlantikan ini kerana hasilnya perjalanan kes tersebut akan bermula dengan pilihan ini. Jika kita tidak jujur dan menerima perlantikan dalam keadaan kita tidak mahir; sudah tentu hasil yang merugikan anak guam akan terjadi. Keadilan tidak akan tertegak hasil pilihan yang salah ini, sebaliknya kezaliman pula yang akan menang akhirnya.
Pilihan kedua yang perlu dibuat oleh peguam jenayah adalah apakah pilihan yang terbaik untuk anak guam beliau. Memilih pada tahap kedua ini jauh lebih crucial daripada pilihan pertama tadi. Pilihan yang salah akan menyebabkan anak guam terpenjara atau lebih buruk lagi digantung. Jika kita telah membuat pilihan yang tepat dan telah berusaha sehabisnya, tapi anak guam kita masih dihukum; itu bermaksud justice is served. Dia telah diadili dengan seadilnya, dicanai oleh 3 pihak yang berperanan berbeza di Mahkamah dan sudah tentu pilihan kita untuk meneruskan perbicaraan adalah tepat.
Secara dasarnya dalam kes jenayah, 3 pilihan akan muncul untuk dipilih; mengaku salah, meneruskan dengan bicara atau membuat representasi kepada pendakwa raya agar mengkaji balik kes tersebut atau memberikan pertuduhan lebih ringan. Siapakah yang perlu membuat pilihan ini? Secara peribadi saya percaya anak guam lah yang perlu membuat keputusan. Bukannya peguam yang tidak akan menanggung kesan dan akibat daripada pilihan. Begitu juga bukannya pihak keluarga yang mungkin mempunyai pertimbangan lain untuk membuat keputusan seperti ingin menghabiskan kes secepat mungkin atau pertimbangan kewangan (diskaun fee guaman).
Pilihan oleh anak guam ini sudah tentunya perlu disulami dengan nasihat yang lengkap, jujur dan realistik daripada peguam. Tugas peguam apatah lagi dalam kes jenayah adalah menasihatkan anak guam tentang kekuatan kes, peluang yang ada serta yang mustahaknya kesan dan akibat setiap pilihan yang available. Sudah tentu kita bertanggungjawab menasihatkan apakah pilihan yang terbaik dan bukannya memaksa anakguam mengikut pilihan yang akan benefit kepada peguam semata-mata. Itulah bezanya peguam yang amanah dengan yang hanya mencari makan.
Walau seberat manapun pilihan sebagai peguam bela, saya percaya saya masih ada kekuatan, minat dan jiwa untuk meneruskan amanah dan tugas fardu kifayah ini. Untuk menjadi ahli politik, malangnya ketiga-tiga kriteria penting itu tiada dalam kamus hidup saya. Untuk rakyat Malaysia, memilihlah dengan bijak. Sebijak memilih peguam bela di Mahkamah. Wassalam.
Comments
Post a Comment