PEGUAM DAN IBRAH COVID 19

Banyak isu perundangan yang timbul akhir-akhir ini. Temanya pelbagai. Ada yang berkait rapat dengan integriti dan kebolehpercayaan rakyat terhadap wibawa pihak berkuasa. Pihak berautoriti di sini saya tidak maksudkan Menteri. Kerana, isu wibawa terhadap kredibiliti Menteri dewasa ini sudah acap kali disuarakan dengan sinis. Lagipun, ini bukan entri politik. Masih kekal sebagai tulisan perundangan diselit rencah kemanusiaan.

 

Isu acara lompat pagar di belakang bangunan SPRM Putrajaya antara yang mendapat perhatian ramai. Walau apapun penjelasan mahupun diagram yang dibentangkan kepada khalayak, isu ini nampaknya telah menghakis keyakinan masyarakat kepada pihak berkuasa dengan hebatnya. 


    Persepsi yang bermain di minda masyarakat kini tidaklah molek. Terlepasnya seorang Dato Seri daripada pagar serba canggih itu terlalu sukar untuk diterima. Walaupun, apa yang sebenarnya berlaku, berkemungkinan besar memang begitu. Fly daripada SPRM dengan dibantu kekuda dua orang pengawal peribadi, bunyinya pun tidak munasabah. Damage has been done. Saya simpati dengan pihak berkuasa yang menjalankan tugas dengan amanah dan berintegriti. Persepsi negatif ini membadai semua. Tidak kira yang salah atau yang tidak.

 

            Kenyataan media bahawa dua saspek utama termasuk yang melompat pagar itu adalah koordinator yang menyediakan kemudahan untuk Macau Scam juga, menambah perisa sakit hati rakyat marhaen. Lantaran Macam Scam atau yang sewaktu dengannya adalah jenayah yang keji. Mengambil kesempatan daripada kejahilan dan juga kenaifan masyarakat tentang undang-undang untuk mengikis wang hasil penat lelah mencari rezeki bertahun-tahun lamanya.

 

Scam sebegini malahan pernah dicuba kepada beberapa orang saudara terdekat dan rakan saya. Mujurlah mereka menghubungi saya, seorang peguam untuk mendapat kepastian. Malangnya, ramai lagi yang tidak ada privilege mengenali peguam yang terjebak menjadi mangsa. Scammer yang menyamar ini wajar dipanggil dengan panggilan yang keji dan hina juga. Seperti yang banyak kita kesan melalui applikasi Truecaller. 



Satu lagi isu yang mengeggarkan bumi Malaya adalah NFAnya seorang Menteri daripada apa-apa pertuduhan di Mahkamah. Gara-gara berkelana ke bumi Ertugrul Ghazi di musim covid dan dakwaan melanggar SOP. Semalam, seorang marhaen di Melaka dipenjara 14 hari kerana melanggar SOP. Kata-kata keramat sempat dia luahkan sebelum dijatuhkan hukuman; “kalaulah saya Menteri dan bukannya kontraktor”. Pedih tapi itulah realiti perasaan kita rakyat biasa-biasa ini. Rightly or wrongly.

 

Betul atau tidak keputusan NFA (No Further Action) itu bukan isu utamanya. Sebagai bekas penjawat awam, saya menginsafi kuasa dan budi bicara yang ada pada Peguam Negara. Perintah NFA itu boleh jadi tepat setepat-tepatnya. Memang based on available evicence. Tapi, proses penyiasatan (dan proses bertukar-tukar kertas siasatan) yang mengambil masa berbulan-bulan juga tidak membantu keadaan. Adakah begitu complicated sekali kes ini berbanding kes pakcik sivangangga, makcik gelang pink atau banyak lagi kes straight forward yang dibawa ke Mahkamah sebelum ini? Satu lagi persepi tidak comel tercipta.

 

Bagi kita semua rest of the world, hidup mesti diteruskan. Rezeki masih perlu dicari. Bebasnya atau masuk ke penjaranya Menteri atau Dato’ Seri; tidak memberi impak kepada kehidupan seharian kita. Sebagai seorang pengamal undang-undang, saya memandang isu-isu perundangan mutakhir ini dengan pandangan yang berbelah bagi. Sudah tentu kita perlu teruskan keyakinan kita kepada sistem perundangan dalam negara kita. Tapi, tidak salah juga untuk berkongsi kerisauan rakyat marhaen.

 

Tanggal 18 Mac 2020, dunia seakan terhenti seketika apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan. Bukan seketika tapi lebih kurang tiga bulan sebenarnya. Dalam tempoh itu, pihak yang paling terkesan adalah mereka yang berkerja sendiri dan bukannya makan gaji. Pekedai jalanan mahupun peguam, natijahnya sama ketika itu. Tidak boleh membuka kedai. Tak boleh juga memberikan khidmat (guaman). 

 

Hasilnya, tiga bulan itu pendapatan kami di tahap kosong. Sesetengahnya pula mencapai tahap negatif kerana semua komitmen bulanan, gaji pekerja dan overhead pejabat masih perlu dilunaskan. Satu tempoh masa yang unprecedented. Tidak pernah berlaku dalam hidup semua orang di muka bumi ini. Bakal diceritakan dengan nada bangga atau sedih kepada anak cucu di kemudian hari.

 

Syukurlah tempoh penjara tiga bulan itu berjaya diredahi dengan penuh ketabahan dan semangat tak mengalah. Bagi yang menjadi survivor selepas keluarnya daripada madrasah covid 19 tempohari, saya salute dan ucapkan syabas. Walaupun terpaksa mengikat perut, mengorek tabung dan sebagainya, ujian itu tetap mampu diharungi. 


Ketika itu, malangnya ramai juga yang kurang bernasib baik termasuklah daripada legal fraternity sendiri. Ada yang terpaksa menutup firma atau menjalankan proses downsizing seperti membuang sebahagian pekerja. Ada rakan peguam saya yang hanya mampu memberi wang saku untuk membeli barang dapur kepada pekerjanya. Dalam kepayahan itu, masih ada majikan yang prihatin dengan nasib anak buah. Walaupun boss sendiri tidak ada gaji, tidak sanggup membiarkan dapur pekerjanya tidak berasap.

 

Pasca PKP bermula bulan Julai 2020 itu kemudiannya mula menampakkan kesannya. Banyak firma guaman mula merangkak perlahan-lahan keluar daripada daerah bencana itu. Slowly but surely, insya Allah ramai yang mula beransur pulih. Recovering. Ekonomi mula rancak kembali. Kes-kes di Mahkamah kembali meriah. 

 

Bagi peguam jenayah, permintaannya tetap menggalakkan. Entahlah, mungkin kerana ramai yang tidak bercuti daripada melibatkan diri dengan jenayah. Walaupun kuasa membayar yurannya makin merosot, khidmat peguam bela sebagai semak dan imbang di Mahkamah syukurlah masih relevan dan dicari-cari.

 

Sejak pasca PKP juga, saya perasan satu trend yang agak sedih. Ramai sekali orang yang tidak ada kerja atau gagal mendapat kerja. Firma saya yang kecil ini juga saban minggu menerima e-mail samada memohon kerja atau sebagai chambering student. Ada yang mempunyai degree tetapi meminta kerja sebagai para legal atau kerani.

 

Ada juga yang bersungguh-sungguh ingin chambering tapi tidak ada tempat. Ramai pula yang menyatakan sanggup tidak dibayar satu sen pun asalkan diterima sebagai peguam pelatih. Saya sedar, banyak firma yang tidak berani untuk expand dalam saat-saat tidak menentu begini. Termasuklah menerima pelatih dalam kamar. Jika mereka diterima tetapi tidak dibayar selayaknya, itu sudah jadi satu kezaliman pula.

 

Saya menjawab setiap e-mail satu persatu dan mendoakan agar mereka diberi kejayaan di masa depan. Hajat di hati ingin membantu semua tapi saya sedar firma saya hanyalah sebuah firma kecil. Mungkin jika saya jutawan (dan dermawan beriman) seperti Ustaz Ebit Liew, hasrat itu boleh menjadi kenyataan.

 

Di Lembah Kelang dan Sabah, badai PKP ini melanda lagi di bulan Oktober ini. Albeit a slightly lighter version, PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat). Kami, para peguam mengulangi episod lebih kurang sama seperti bulan Mac ke Jun dulu. Bracing another storm. Saat coretan ini diketuk di keyboard, masih belum tahu lagi nasib PKPB ini selama mana tempohnya. Adakah sekadar dua minggu atau mungkin dilanjutkan lagi.

 

Domino effectnya bakal berulang. Mahkamah terpaksa ditutup. Kes tidak berjalan. Anak guam tidak membayar yuran. Pendapatan bakal mengurang secara drastiknya. Itulah kitaran kejam (vicious cycle) yang terpaksa diredah lagi. Kali ini, juga dengan semangat yang tinggi dan tawakkal yang maksima. Saya percaya, sekali lagi semua peguam boleh menempuhi badai ganas angkara wabak covid 19 ini dengan jayanya. Doa ini saya lanjutkan juga kepada semua yang mencari rezeki yang halal di luar sana. Kita jaga kita. Rakyat bantu rakyat.

 

Yang penting, setiap ujian itu pasti ada jalan keluarnya. Mesti ada hikmahnya. Seteruk manapun ujian ke atas kita, ada terlalu ramai manusia lagi yang diuji lebih dahsyat. Laluilah ujian ini dengan senyuman dan iltizam. Di masa depan, jika dipanjangkan umur, kita akan mengimbau memori zaman istimewa dilanda covid 19 ini dengan penuh keinsafan dan kepuasan. Lantaran kita berjaya menempuh ujian ini dengan bergaya.

Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA