SAKSI TERLINDUNG

         Selama dua hari berturut-turut kes bunuh yang sedang saya kendalikan terhenti momentumnya. Perjalanan kes yang agak lancar sebelum ini dikejutkan dengan satu pendedahan eksklusif pihak pendakwaan. Mereka ingin membuat satu permohonan. Dua daripada saksi awam yang akan dipanggil, tidak ingin dipanggil secara biasa. Pendakwaan ingin menukar status mereka kepada kluster lain; sebagai saksi terlindung.

 

            Memanggil saksi secara biasa bermaksud, saksi akan masuk ke kandang saksi, mengangkat sumpah dan memperkenalkan diri. Saksi bakal disoal oleh timbalan pendakwa raya dalam pemeriksaan utama. Kemudian, beralih pula kepada acara cabar-mencabar daripada peguam bela dalam tempoh soal balas. Akhirnya, saksi boleh diperbaiki sebarang kerosakan yang terbit daripada soal balas tadi. Proses terakhir yang dipanggil pemeriksaan semula.

 

            Begitulah cantiknya prosedur yang ditetapkan di dalam undang-undang. Semua pihak berpeluang mengutarakan kes masing-masing. Pihak pendakwaan ada ample time and avenue untuk mengemukakan keterangan. Pembelaan pula, ada ruang untuk mengakaskan bukti yang dikemukakan tadi. Penutupnya, pendakwaan kembali berpeluang memperbaiki mudarat yang wujud, jika ada. Semua ini dilakukan dengan satu keadaan; saksi diketahui identitinya.

 

            Semua pihak boleh melihat wajah saksi. Demeanournya boleh dikesan dengan mudah. Nama, kad pengenalan dan bahkan alamatnya dicatatkan di dalam Mahkamah. Tidak ada halangan untuk sesiapa menyaksikan keterangan yang dikemukakan oleh saksi. Inilah cara yang sangat adil dan transparent.

 

            Kembali kita kepada permohonan rakan bijaksana pendakwaan tadi.  Pendakwaan nampaknya ingin depart daripada norma yang biasa. Umpama Menteri mengatakan tidak perlu kuarantin dalam era pandemik covid 19, sebab puak sendiri yang terlibat. Begitulah perumpamaan yang setimpal.

 

            Amalan cantik seperti yang saya nukilkan di atas, tidak mahu diikuti. Prosedur yang adil untuk semua officers of the court. Kendatipun peranan masing-masing berbeza. Apabila saksi menjadi saksi terlindung, identiti mereka akan ditutup (concealed). Siapakah yang memberi keterangan itu tidak diketahui. Manusiakah, ibliskah, malaikatkah?

 

            Apakah masalahnya jika saksi itu berubah menjadi saksi terlindung? Masalahnya sangat benar dan nyata. Status sebagai saksi terlindung akan menyebabkan identiti saksi itu wajib ditutup. Tidak boleh didedahkan sama sekali. Maknanya, daripada awal sehinggalah kes ini selesai sekalipun, kita tidak akan tahu siapakah saksi yang datang itu.

 

            Cara saksi ini memberikan keterangan juga istimewa. Ia boleh dilakukan melalui video conference atau video link. Boleh juga dibuat di lokasi khas. Pokok pangkalnya, identiti saksi mestilah terpelihara daripada pihak peguam dan juga tertuduh. Memang aneh, tapi itulah peruntukan yang ada dalam undang-undang kita. Kita tidak boleh tahu siapa yang mendakwa kita. Bunyinya pun sudah kedengaran kurang saksama. Laksana lempar batu sembunyi tangan.

 

            Contoh yang mudah dalam satu kes bunuh. Saksi yang tidak dikenali ini boleh datang dan mendakwa tertuduhlah yang membunuh mangsa. Bagaimana peguam hendak mencabar saksi ini? Boleh. Tetapi dalam serba kepayahan dan keterbatasan. Apatah lagi jika contohnya fakta kes menunjukkan kejadian itu berlaku dalam satu pergaduhan beramai-ramai. Yang mana satu dalam yang ramai-ramai itu yang akhirnya datang menjadi saksi anonymous ini?

 

            Peguam sukar untuk mencabar samada saksi itu adalah rakan sejenayah. Orang yang terlibat sama dalam pembunuhan itu contohnya. Motif saksi juga tidak boleh diselidiki sebab kita tidak tahu siapa saksi itu. Jika ada CCTV menunjukkan kejadian sekalipun, kita tidak tahu yang mana satu di dalam CCTV itu yang menjadi saksi sekarang. Kesimpulannya, samada saksi ini benar-benar ada semasa kejadian pun masih diragui. Kesemuanya hanya meneka dalam kesamaran.

 

            Saya akui, saksi terlindung bukanlah perkara yang asing dalam kes-kes tertentu. Contohnya dalam kes-kes keselamatan seperti kes SOSMA. Ada kes yang telah dilaporkan melibatkan saksi terlindung seperti kes di Sulu. Begitu juga kes-kes pemerdagangan manusia di bawah Akta ATIPSOM. Kebanyakan mangsa warga asing dijadikan saksi terlindung. Bagi kes-kes sebegini, bukanlah pelik. Bahkan, mungkin kaedah begini lebih sesuai. Kena dengan nature kes tersebut. Rasionalnya nampak di situ. 


Saya mendengar makluman daripada pihak pendakwaan dengan senyuman. Walaupun agak caught by surprise, saya hargai courtesy pendakwaan yang memberi notis di awal pagi itu. Sepanjang lebih setahun kes ini berjalan bicaranya, tidak ada sekelumit pun tanda-tanda bahawa permohonan sebegini akan timbul di kemudian hari.

 

            Ada kalangan rakan peguam saya yang lain sudah jelas tidak puas hati. Saya juga memahami perasaan mereka. Kes bunuh ini adalah sebenarnya kes yang biasa. Bukannya melibatkan individu berprofil tinggi. Tidak juga melibatkan isu keselamatan negara. Jadi apa keperluannya saksi yang bakal dipanggil nanti, perlu dilindungi? Bukankah ini akan menyebabkan kebanjiran (floodgate) permohonan sebegini di kemudian hari? Semua kes biasa hendak menggunakan prosedur luar biasa?

 

            Inferens (buruk sangka) yang boleh dibuat adalah pihak pendakwaan hendak menang kes ini at all cost. Walaupun apa yang dipohon itu legal selegal-legalnya, dalam undang-undang ini ada perkara lain juga selain apa yang tersirat di atas kertas. Satu prinsip yang dipanggil natural justice. Boleh juga dipanggil fair trial. Atau boleh juga dipanggil dalam bahasa mudahnya, gentleman dalam mengendalikan kes.

 

            Contoh klasik adalah penggunaan kata-kata beramaran (cautioned statement). Ramai kalangan rakan-rakan TPR yang tidak lagi menggunakan kata-kata amaran dalam pembuktian kes. Sekalipun, dalam undang-undang seperti Akta Dadah Berbahaya dan Akta SPRM, peruntukan mengenai kata-kata amaran ini belum dibuang seperti Seksyen 113 CPC. Banyak lagi cara lain untuk membuktikan kes pendakwaan. Walaupun cautioned statement ini legal dalam kes-kes dadah dan SPRM, ia bertentangan dengan natural justice.

 

            Rentetan daripada permohonan pihak pendakwaan, Mahkamah memberikan peluang untuk pihak-pihak berhujah. Dua hari diberikan sebenarnya. Banyak perkara baru saya jumpa dalam membuat researchberkenaan isu ini. Permohonan ini dibuat di bawah Seksyen 265A CPC dan Seksyen 20 Akta Perlindungan Saksi 2009.

 

            Beberapa reported case saya berjaya jumpa. Antaranya kes SOSMA di Sabah, kes rogol exco Perak dan kes pembunuhan melibatkan ajaran sesat di Pahang. Ada satu common theme bagi kesemua kes; high profile dan ada yang melibatkan keselamatan negara. Kes-kes yang mungkin sangat perlu menggunakan peruntukan saksi terlindung. Jika tidak, natural justice juga boleh dikompromi.

 

            Niat penggubal undang-undang bila memperkenalkan undang-undang adalah murni. Hansard bagi kedua-dua undang-undang saya teliti dan baca baris demi baris. Walaupun sebahagian daripada perbahasan ahli parlimen kita berstatus sampah dan drama semata-mata, saya gagahi menghabiskannya. Kedua-dua peruntukan bertujuan membantu pendakwaan dalam keadaan saksi enggan beri keterangan, bila wujudnya ancaman terhadap keselamatan.

 

            Namun, peruntukan undang-undang ini, with greatest respect, open to abuse. Kes-kes yang tidak patutpun menggunakan saksi terlindung, boleh saja dihujahkan sebagai penting dan perlu. Peruntukannya terlalu umum; any case at any time. Apa-apa kes dan bila-bila masa saja boleh dipohon oleh pihak pendakwaan. Pra-syaratnya terlalu ringan. Itu bahaya yang pertama.

 

            Bahaya yang kedua adalah proses inquiry yang Mahkamah perlu buat. Jika Mahkamah benarkan permohonan pendakwaan, Mahkamah perlu buat siasatan samada saksi itu berhak untuk dilindungkan atau tidak. On paper, satu safeguard yang baik wujud di sini. Mahkamah boleh menapis permohonan pihak pendakwaan. Tidaklah permohonan pendakwaan menjadi automatik. Mahkamah masih ada budi bicara untuk menolaknya. Satu check and balance ada di situ.

 

            Realitinya, safeguard itu pun sebenarnya tidak adil. Kenapa? Dalam inquiry tersebut, pihak pembelaan dan tertuduh tidak boleh hadir. Inquiry itu bersifat ex-parte, yakni sebelah pihak saja yang memberikan alasan-alasan. Pihak yang membantah permohonan (iaitu pihak pembelaan), tidak boleh hadir. Kami tidak boleh tahupun bilakah inquiry akan dibuat. Bagaimanakah Mahkamah boleh membuat keputusan yang adil, jika Mahkamah hanya diberikan hujah yang datang daripada sebelah pihak saja?

 

            Bahaya ketiga dan paling maksima impaknya adalah semasa saksi terlindung itu memberi keterangan nanti. Identiti mereka akan disembunyikan. Apa-apa soalan yang menjurus kepada pendedahan siapakah mereka, akan dihalang. Tiada lagi peluang yang menyeluruh diberikan kepada pembelaan. Ruang soal-balas peguam kepada saksi sudah pun dibataskan (curtailed). Pada saya, dalam keadaan begitu, rules of natural justice and fairness telahpun dikompromi dengan hebatnya (greatly compromised).

 

            Memandangkan kes ini masih berjalan, saya tidaklah mahu indulge ke dalam merit dan fakta kes bunuh saya ini. Tidak wajar dilakukan. Jadi saya berhenti setakat menyatakan kegusaran saya dengan peruntukan undang-undang yang mencengkam pembelaan ini. Jika banyak permohonan begini dibenarkan, satu trend yang berbahaya akan dicipta. Banyak kes akan didengar berasaskan keterangan saksi terlindung. Kes yang patut dan juga kes-kes yang tidak wajar. Semuanya akan dilonggokkan sekali. Hanya atas dasar pendakwaan menggunakan peruntukan undang-undang yang legal. Adil atau tidak, bukan lagi jadi pertimbangan.

            

            Jadi, apakah langkah ke depan (the way forward)? Saya mengimbau kenangan mengendalikan kes semasa awal-awal saya berkecimpung dalam arena kemahkamahan. The good old days. Ketika itu, saya perasan, semangat gentleman antara pihak-pihak sangat menebal. Mutual respect kepada semua pihak walaupun pihak lawan, adalah sesuatu yang lumrah. Seronok sekali ke Mahkamah ketika itu. Walaupun kalah, kita masih enjoy. Walaupun dimaki Hakim dan dibaling fail, kita masih tak sabar-sabar untuk kembali ke Mahkamah esoknya.

 

            Kedua-dua pihak samada pendakwaan mahupun pembelaan mestilah cuba meletakkan keadilan sebagai matlamat dalam menjalankan tugasan masing-masing. Barulah kita tidak akan dibebani dengan tekanan untuk ‘menang’ kes. Setiap kes dijalankan berdasarkan apa yang available di depan mata. Ada keterangan, sangkutlah kes. Tak cukup keterangan, lepaslah. As simple as that. Hidup kita terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perkara-perkara yang menyerabutkan fikiran. Wassalam.

 








Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA