KENALI ANAK GUAM ANDA




Salam,

Ada 2 jenis pembahagian karier secara umum iaitu jenis yang berhadapan dengan manusia dan jenis yang berhadapan dengan mesin. Kedua-duanya memerlukan kemahiran, sikap dan skil yang berbeza. Bagi kerjanya berhadapan dengan manusia; kemahiran mendengar, sikap penyabar dan skil pujuk-memujuk adalah antara pra-syarat yang wajar ada. Bagi yang kerjanya mengadap mesin pula; kemahiran berfikir secara kreatif, sikap teliti dan skil menyelesaikan masalah pula sangat-sangat diperlukan. Sebab itulah kita boleh memerhati anak-anak kita melalui pengamatan sikap ini bagi menduga jenis karier bagaimana yang sesuai dengan mereka kelak. Kalau yang asyik menghadap komputer mungkin sesuai menjadi engineer dan sebagainya. Kalau yang suka berhujah saja mungkin sesuai jadi loyar!

Saya seringkali terfikir, alangkah bagusnya jika karier saya hanya perlu berhadapan dengan mesin. Jika meragam sekalipun, masih boleh dibaiki. Jika ada kerosakan, boleh dirujuk manualnya. Tiada perasaan yang perlu dijaga, tiada kata-kata kasar (dan mungkin kesat) yang perlu diterima dan tiada juga raut wajah serta perangai yang pelbagai ragam yang perlu ditangani dengan bijaksana mengikut kesesuaian keadaan. Tambahan pula, tidak ramai yang memahami kepayahan dan keperitan mereka yang rutin hariannya berhadapan dengan makhluk bernama manusia ini.

Contoh paling mudah adalah kerjaya sebagai guru. Berapa ramai yang mampu bersabar menjadi seorang guru? Saya sendiri memang tidak sanggup dan mungkin kerja saya hanya merotan murid hari-hari. Namun, masyarakat hanya nampak kerjaya guru dari kacamata yang prejudis dan negatif seperti guru yang mengajar acuh tak acuh, sibuk dengan tuisyen dan guru yang asyik kursus memanjang. Begitu juga kerjaya salesman seperti yang selalu mengganggu kita di kedai mamak atau kopitiam, menawarkan buku agama yang dah berbelas biji kita ada ataupun cd untuk anak-anak yang dua kali ganda harganya. Prinsip saya mudah saja, tolaklah dengan baik kerana mereka juga bekerja mencari rezeki cuma dengan karier yang tidak sebaik karier kita.

Menjadi loyar jenayah adalah karier yang sangat mencabar kerana kerjanya adalah 95% berkaitan manusia dan mungkin 5% sahaja berkaitan dokumen. Antara manusia yang ditempuhi saban hari adalah hakim, pihak lawan, saksi, kakitangan mahkamah, pihak penguatkuasa dan yang paling terutama sekali adalah anak guam. Banyak sekali jenis dan spesies anak guam yang boleh dikesan wujud di dunia ini. Ada yang baik dan ada yang memeningkan kepala, menyakitkan hati dan boleh juga menyesakkan nafas.

Jenis pertama adalah anak guam yang lebih sudu dari kuah. Jenis ini selalunya menganggap diri mereka lebih terrorist daripada loyar mereka sendiri. Mereka selalunya akan mencadangkan apakah strategi yang sesuai, bagaimana untuk mengoyakkan kes pendakwaan dan kadang-kadang cuba bersuara pula di mahkamah dari dalam kandang orang salah. Saya sendiri pernah diberikan artikel-artikel dan komentari undang-undang oleh anakguam sebegini yang beliau yakin boleh membantu dalam perbicaraan kesnya (walaupun semuanya tak boleh dipakai).

Jenis kedua adalah lebih menyayatkan hati. Jenis ini saya panggil; bayar samah (50 sen) nak layanan macam anak raja. Selalunya mereka jenis ini amat berkira dengan pembayaran yuran dan kelewatan memberi resit adalah satu dosa besar bagi mereka. Namun, selalunya mereka ini hanya membayar amaun yang nominal seperti bayaran buka fail sahaja, namun demand dan permintaan mereka terhadap kita mahukan layanan yang bertaraf diraja. Liat membayar yuran tapi mahukan pembelaan terbaik setaraf Karpal Singh. Where got road like this? Cannot go.

Jenis ketiga adalah jenis penglipurlara. Jenis begini amat membahayakan kerana akan menyedut masa kita sehingga kita tidak sedar berapa lama kita habiskan untuk mendengar penindasan, kezaliman dan penganiyaaan yang mereka alami. Anak guam jenis ini mempunyai kelebihan untuk bercakap tanpa henti waima berapa kali kita enterframe sekalipun, mereka masih terus-menerus ingin bercakap sahaja. Ayat mereka yang paling popular adalah; "cerita saya belum habis". Dan kita akan dapat mendengarlah keseluruhan cerita mereka ini daripada mereka celik mata sehinggalah mereka pejam mata semula.

Jenis keempat adalah yang paling bahaya, iaitu jenis yang menjadikan kita penyendal atau batu loncatan sahaja. Selalunya, ketika mereka dalam kesempitan atau desperado seperti perlu loyar untuk menjamin mereka keluar atau mengelakkan mereka dipenjara, maka mendayu-dayulah rayuan mereka dan pelbagai janji manis dilontarkan kepada kita. Ya, sebagai loyar yang tidak mementingkan wang sebagai matlamat semata-mata; terkadang saya membantu mereka yang terdesak ini terutamanya secara ad-hock di mahkamah. Namun berhati-hatilah di mahkamah; selalunya selepas bala mereka terlepas, maka jadilah kita seperti habis madu botolnya dibuang ke tong sampah.

Jenis kelima adalah saya panggil sebagai anakguam keliru. Keliru bermaksud menyamakan loyar sebagai kaunselor mereka dan pakar rujuk mereka dalam semua hal-ehwal semasa mereka walaupun tidak berkait langsung dengan undang-undang. Hasilnya, kita akan jadilah penadah telinga yang setia mendengar segala macam masalah daripada masalah peribadi kepada tempat kerja kepada masalah haiwan peliharaan mereka. Mungkin mereka ingat loyar ni macam Nujum Pak Belalang barangkali.

Jenis keenam yang agak popular dan ramai bilangannya adalah yang beranggapan bahawa dialah satu-satunya client kita. Anakguam jenis ini paling menyeksakan kerana mereka akan menghubungi kita tiap-tiap hari dan mengharapkan kita memberi respon setiap kali. Mereka juga akan mengadu semua perkara yang berlaku kepada mereka, yang pada mereka semuanya memerlukan tindakan yang maha urgent. Setiap kali tarikh kes mereka naik ke mahkamah, mereka akan hadir ke pejabat kita tanpa apa-apa temujanji untuk bertanyakan perkara yang sama dan untuk mendengar penjelasan yang sama daripada kita.

Cukuplah enam jenis anakguam yang saya senaraikan. Jenis-jenis ini tidaklah patut kita panggil sebagai 6 jahanam, namun jika kita tidak menanganinya dengan kebijaksanaan dan mungkin sedikit ketegasan memang boleh menjahanamkan hidup kita. Di sebalik spesies yang bermasalah ini, sudah tentu ada pula jenis anak guam yang berjurus, pemurah, bertimbangrasa, menghargai dan memahami kerjaya kita sebagai loyar yang saban hari tidak dapat mengelak daripada bertembung dengan kerenah manusia yang pelbagai, di samping dituntut memberikan khidmat yang terbaik untuk anak guam. Jenis anak guam sebeginilah pula yang memberikan sebab untuk memacu kita supaya terus memberikan khidmat guaman terbaik seterdaya yang kita mampu. Wassalam.





Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA