Loyarberjurus

hanya untuk yang berjurus sahaja

Wednesday, January 27, 2010

HUJAHAN KES BUNUH





PENGHUJAHAN PEMBELAAN

DI AKHIR KES PENDAKWAAN

Dengan izin Yang Arif,

PEMBUKAAN

1) Orang kena tuduh pertama (OKT1) dalam kes ini telah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana dikatakan telah melakukan satu pembunuhan iaitu menyebabkan kematian kepada si mati sepertimana dalam pertuduhan P1A. Selanjutnya, OKT1 dan OKT kedua (OKT2) juga dituduh secara bersama-sama melakukan 3 kesalahan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan (P2A-P4A) dan 1 kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (P5A).

2) Seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 180 (1) KAJ, pada penutup kes pendakwaan, Mahkamah perlu menimbangkan samada satu kes prima facie terhadap tertuduh telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

3) Langkah-langkah yang perlu diambil oleh Mahkamah di akhir kes pendakwaan telah diperincikan dalam kes Balachandran v. P.P [2005] 1 CLJ 85 (m/s 87).

ANALISA KETERANGAN PENDAKWAAN

1) Diteliti secara keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, adalah jelas tiada keterangan terus (direct evidence) yang menunjukkan satu kesalahan di bawah Seksyen 302 telah dilakukan oleh OKT1. Maka, pihak pendakwaan hanya bergantung kepada “circumstantial evidence” untuk membuktikan kes. Rujuk kepada prinsip di dalam kes Karam Singh v PP [1967] 2 MLJ 25 (m/s 2) dan kes Jayaraman & Ors v PP [1982] 2 MLJ 306 (m/s 2).

2) Keraguan mengenai apakah sebenarnya yang berlaku. Keterangan yang penting adalah seperti berikut;

a) SP3 - anggota polis yang mula-mula sampai dimaklumkan satu kes pergaduhan,

b) Dimaklumkan oleh seorang perempuan bahawa teman lelakinya telah jatuh,

c) Dimaklumkan oleh pengawal keselamatan 2 lelaki sebagai orang-orang yang bergaduh,

d) Juga kata ada bercakap dengan seorang perempuan yang membonceng motorsikal memaklumkan bahawa OKT-OKTlah yang bergaduh di atas,

e) SP3 juga nyatakan lihat mayat 5 minit kemudian baru tangkap OKT-OKT yang sedang membonceng 2 motorsikal yang katanya tergesa-gesa cuba melarikan diri,

f) SP5 - pengawal keselamatan terima panggilan telefon bahawa seorang telah jatuh,

g) Telah periksa dan semasa di tingkat 5 ada dengar bunyi macam orang bergaduh,

h) SP7 – ketua pejabat pertanyaan Balai Polis Pandan Indah telah terima panggilan telefon dari seorang lelaki bernama Suresh beritahu ada seorang lelaki Melayu telah jatuh dari bangunan,

i) SP10 – salah seorang mangsa (Ahmad Faizal) ada terdengar suara salah seorang dari OKT mengatakan saspek seorang dah lepas dan seorang lagi dah jatuh,

j) Menurut SP10 juga, tiada orang kawal saksi bernama Sofiyya dan Sofiyya ada masuk ke bilik BK1 dan merayu kepada OKT2 supaya memberhentikan tindakannya,

k) SP16- IO kes semasa pertama kali jumpa Lin/Sofiyya diberitahu yang si mati jatuh dari bangunan.

Hujah - daripada kesemua saksi pendakwaan, samada yang berada di tempat kejadian, yang menerima maklumat awal mahupun yang mula-mula berjumpa dengan saksi; tidak ada langsung sebarang maklumat atau indikator yang menunjukkan satu kejadian bunuh telah berlaku. Sebaliknya, perkataan seperti “jatuh” dan “bergaduh” yang digunakan oleh kesemua saksi. Adakah yang sebenarnya berlaku adalah bukannya satu pembunuhan? Sekiranya benar satu pembunuhan telah berlaku sudah tentu pada peringkat awal-awal lagi sudah ada aduan atau maklumat yang menjurus ke arah itu.

3) Keterangan saksi-saksi yang ada di dalam rumah tempat kejadian mengenai kejadian. Keterangan yang penting adalah seperti berikut;

a) SP8 – salah seorang mangsa (Badarul Hisham) mengatakan tiada sesiapa buka pintu kerana tak mahu campur tangan,

b) Apabila keluar dari bilik BK1, SP8 melihat ke luar tingkap dan dapati si mati telah pun berada di bawah tertiarap, saksi perempuan tidak pula serta-merta beritahu OKT yang lakukan sesuatu seperti tolak atau humban,

c) SP8 juga katakan bila tersempak dengan Sofiya hanya dimaklumkan tolong tengokkan Mohd Radhi, seolah-olah dia pun tak tahu apa berlaku kepada si mati,

d) SP10 – salah seorang mangsa (Ahmad Faizal) juga mengatakan perkara yang sama; Sofiyya minta pergi tengok Radhi dan SP10 pergi cari di bilik utama dan bilik air dahulu jelas tunjukkan Sofiyya pun pada ketika itu masih belum tahu apa berlaku kepada Mohd Radhi. Kemudian baru Sofiyya menepuk bahu SP10 dan menunjukkan ke arah luar tingkap,

e) SP9 – salah seorang mangsa (Mohd Asran) mengatakan tidak tahu di mana Lin dan Radhi berada sebab berada di dalam bilik dan tidak tahu apa berlaku kepada Radhi,

f) SP9 juga setuju bahawa mereka duduk diam-diam dan kunci pintu bilik sebab tidak mahu campur tangan.

Hujah – keterangan saksi yang mengatakan sebab mereka tidak mahu buka pintu kerana tidak mahu campur tangan menunjukkan mereka sudah tahu apa sebab OKT-OKT datang dan mencari si mati iaitu hendak mencari Lin/Sofiyya yang telahpun tinggal di rumah kejadian selama beberapa hari. Tambahan pula, mereka sememangnya mengetahui bagaimana perhubungan antara si mati dengan Sofiyya serta fakta bahawa perhubungan ini mendapat tentangan keluarga Sofiyya.

Hujah - jika benar orang yang datang itu dengan keadaan yang ramai serta dengan nada dan gaya yang kasar; sudah pasti mereka semuanya sebagai rakan serumah serta SP9 yang merupakan bapa saudara kepada si mati, akan segera keluar dan membantu mempertahankan diri sendiri dan juga si mati. Mereka berada di rumah sendiri, berjumlah 5 orang lelaki dewasa dan secara lojiknya akan mempertahankan diri dan harta benda dari sebarang pencerobohan. Anehnya, mereka mengambil sikap untuk tidak mahu campur. Jelas hanya satu saja penjelasan yang ada iaitu mereka telahpun tahu dari awal-awal perkara yang mereka tidak ingin campur itu.

Hujah – daripada keterangan SP8, SP9 dan SP10 juga, Sofiyyah hanya memaklumkan kepada mereka supaya pergi tengok si mati. Ini menyebabkan mereka mencari si mati di tempat lain terlebih dahulu seperti di dalam bilik utama dan bilik air. Tindakan ini seolah-olah Sofiyya sendiri ketika itu tidak tahu apa yang berlaku kepada si mati dan di mana si mati berada. Sekiranya, beliau tahu atau nampak apa yang berlaku kepada si mati, tidak perlulah beliau meminta yang lain mencari si mati terlebih dahulu.

Hujah – keterangan ketiga-tiga saksi yang berada di dalam rumah tempat kejadian tidak dapat membantu mahkamah untuk mendapatkan naratif cerita yang lengkap berkenaan pertuduhan kes bunuh. Saksi Zulfika yang berjaya melarikan diri tidak dipanggil oleh pihak pendakwaan manakala saksi Sofiyya juga gagal dikesan. Namun, daripada keterangan SP8, SP9 dan SP10 sendiri, timbul keraguan samada Sofiyya sendiri tahu/nampak atau tidak apa yang berlaku kepada si mati.

4) Keterangan mengenai niat kehadiran OKT-OKT. Keterangan yang penting adalah seperti berikut;

· SP9 - setuju OKT2 telah marah kepada mereka berkenaan teman wanita Radhi dan kata mereka telah merosakkan Lin,

· Juga mengatakan senjata tidak dibawa oleh OKT-OKT,

· SP9 turut mengatakan bahawa OKT2 ada kata “kalau adik awak atau anak awak dirosakkan orang, bagaimana perasaan awak”. SP9 juga kata jika beliau beranggapan begitu beliau juga akan marah, cuma kata OKT2 tersilap sangka yang mereka bersubahat,

· SP9 juga mengatakan ada lihat ke arah luar rumah dan nampak lebih daripada 3 orang lelaki di luar rumah,

· SP10 - dalam keterangan ada mendengar suara memperkenalkan diri sebagai polis Bukit Aman,

· Beliau juga nampak lebih dari 5 orang di luar rumah,

· SP10 juga sahkan selepas kejadian baru tahu yang talipinggang levis P12M(1) adalah milik kawannya bernama Syukri yang tiada semasa kejadian,

· SP16 – IO kes bersetuju tali pinggang P12M(1) milik salah seorang penghuni,

· SP15 – forensik mengesahkan jumpa satu puntung rokok dan telah mengutipnya dan menyerahkannya kepada IO kes.

Hujah – timbul keraguan di sini apakah sebenarnya tujuan kedatangan OKT-OKT ke rumah tempat kejadian. Jika mereka datang untuk tujuan membunuh, menyamun mahupun mencederakan sesiapa; mengapa perlu mereka membawa pihak lain ke situ. Kewujudan pihak lain iaitu Che Mat dan rakan-rakanya disahkan oleh saksi pendakwaan sendiri dan bukannya watak yang direka-reka. Kewujudan puntung rokok dan percakapan D37 dan D38 menyokong kewujudan mereka ini. Fakta bahawa mereka tidak kelihatan masuk ke dalam rumah dan juga tidak kelihatan selepas kejadian; adalah satu kemungkinan bahawa mereka hanya datang untuk menemani sahaja dan segera beredar apabila terjadinya insiden yang tidak dirancang oleh mereka.

Hujah – selanjutnya, tiada keterangan langsung yang OKT-OKT membawa apa-apa senjata untuk tujuan melaksanakan “niat jenayah” mereka itu. Adalah tidak munasabah mereka tidak membawa apa-apa untuk “membunuh” atau “merompak” atau “mencederakan” mangsa dalam keadaan tiadanya keterangan samada OKT-OKT tahu berapa ramai orang yang ada di dalam rumah. Talipinggang P12M (1) pula adalah jelas bukannya dibawa oleh OKT-OKT sebaliknya memang sedia ada di dalam rumah.

5) “Conduct” OKT-OKT yang tidak konsisten dengan orang yang melakukan jenayah. Keterangan yang penting adalah seperti berikut;

· OKT 2 telah benarkan SP8 dan SP10 keluar ke bilik air,

· OKT-OKT tidak mengawal pergerakan saksi-saksi sampai ada yang terlepas melarikan diri (Zulfika),

· Tiada juga kawalan untuk SP8 dan SP10 ke bilik air untuk mencuci darah,

· Tiada juga kawalan semasa saksi-saksi mencari si mati kemudiannya di bilik air, bilik B3 dan balcony,

· Rampasan dokumen menunjukkan identiti di mana menurut SP10, OKT2 ada ambil fail mengandungi sijil persekolahan dan sijil-sijil aktiviti beliau,

· Dompet SP10 tidak pula diambil oleh OKT2 berbanding mangsa-mangsa lain,

· SP3 – mengatakan dalam beg yang dirampas ada mengandungi passport, kad pengenalan dan fail mengandungi sijil,

· SP10 - dengar suara orang bagi salam dari luar rumah, nada yang biasa sebanyak 2 kali,

· Selepas itu ada panggil nama Mohd Radhi dan Sofiyya dengan nada yang sama dan ada dengar “dik, buka pintu dik”,

· Setuju nada jadi marah sebab lengah-lengah buka pintu dan setuju juga 3 kali tak bagi kerjasama,

· SP8 –setuju pintu bilik dipecahkan kerana mereka tidak buat sebarang respons pada 2 permintaan suara di luar,

· SP9 - OKT2 masukkan barang-barang ke dalam satu beg dalam keadaan biasa,

· SP10 - Safiyyah masuk ke dalam bilik dan menangis sambil meminta OKT2 supaya menghentikan perbuatan,

· SP3- OKT-OKT masih berada di dalam kawasan tempat kejadian sekalipun SP3 ambil masa 5 minit untuk memeriksa mayat terlebih dahulu

Hujah – jika diteliti “conduct” OKT-OKT sepertimana yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan sendiri; timbul beberapa keraguan kerana nampaknya tidak konsisten dengan “conduct” mereka yang baru sahaja melakukan kesalahan jenayah yang serius. Tiadanya kawalan yang dikenakan ke atas mangsa-mangsa selepas mereka dibenarkan keluar untuk ke bilik air. Banyak peluang untuk mangsa-mangsa melarikan diri dan ini jelas terbukti kerana saksi Zulfika berjaya melarikan diri.

Hujah – OKT2 turut merampas dokumen peribadi yang tidak boleh dijual seperti passport dan sijil. Untuk tujuan apakah dokumen-dokumen ini dirampas? Yang menariknya, OKT2 tidak merampas dompet kepunyaan SP10. Adakah beliau sebenarnya telah berpuas hati dengan rampasan dokumen pelbagai milik SP10 seperti sijil yang telahpun mencukupi untuk menujukkan identiti? Tambahan lagi di dalam percakapan beliau (D38) OKT2 awal-awal lagi menerangkan sebab beliau merampas barang daripada mangsa-mangsa iaitu untuk bagi kepada pihak polis.

Hujah – adalah jelas dari keterangan pendakwaan bahawa nada suara yang digunakan untuk meminta membuka pintu utama ataupun pintu bilik adalah nada biasa pada awalnya dan bertukar menjadi kasar selepas tiadanya respons. Ini ditambah dengan keterangan bahawa mereka yang hadir itu member salam dari luar rumah. Adakah orang yang hendak melakukan jenayah yang serius akan berbuat demikian?

Hujah – SP3 telah gagal untuk menjelaskan di mahkamah bagaimanakah yang beliau katakan OKT-OKT cuba larikan diri walaupun berulang-ulang kali ditanya. Jika benarlah mereka cuba larikan diri mestilah sudah berjaya kerana SP3 mengambil masa 5 minit untuk melihat mayat sedangkan OKT-OKT tidak buat apa-apa dan tidak dikawal oleh sesiapa pun. 3 pengawal yang maklumkan kepada SP3 bahawa OKT-OKT yang bergaduh pun tidak menangkap mereka. Justru, ini adalah satu lagi “conduct” OKT-OKT yang tidak konsisten iaitu tidak bersegera untuk melarikan diri daripada tempat kejadian.

6) Keterangan pathologist (SP14). Keterangan yang penting adalah seperti berikut;

· SP14 mendapati kecederaan adalah “consistent with a fall from height”,

· Simpulkan bahawa “fall” itu adalah “mixed feature of elements of homicidal and accidental”,

· Mengatakan “homicidal because evidence of ransack but as there’s no sign of struggle and the deceased strongly built”, maka ia adalah gabungan dengan “accidental”,

· Beliau setuju yang gambar P15 (27-29) tak dapat menunjukkan yang bilik utama telah “ransacked” atau “just in a mess”,

· Beliau juga “concluded could be homicidal just based on evidence perceived as ransack plus the landing spot”,

· Kata “possible landed on the same spot if deceased slipped from the window whereby he was squatting on the window sill”,

· Kata juga “possible the slipped without any force being used on him and landed on the same position”,

· Juga bersetuju “if thrown out he would have landed further away than the spot”,

· Beliau juga menyimpulkan si mati “suffered multiple injuries and all injuries were consistent with the injuries caused by fall from a height”,

· Kata juga “he could have squatted on the window sill or frame before he fell off if he had squeezed himself out of the window”.

Hujah – memandangkan pendakwaan bergantung kepada “circumstantial evidence” maka keterangan SP14 ini menjadi sangat penting. Dapatkah keterangan pathologist menuding kepada kecederaan yang ada adalah diakibatkan oleh perbuatan yang boleh menyebabkan kematian semata-mata? Namun, jelas daripada keterangan saksi ini, beliau hanya dapat memberi pandangan bahawa apa yang berlaku adalah gabungan antara “homicidal” dan “accidental”. Ini sudahpun menjadi satu keraguan yang munasabah kerana kesan dari jatuhan itu sendiri adalah tidak konklusif dan jauh sekali dari mencapai syarat “irresistibly pointing to the accused’s guilt”.

Hujah – tambahan pula beberapa kemungkinan yang menjadi penyebab kepada jatuhnya si mati telah dipersetujui oleh SP14 sebagai kemungkinan boleh menjadi penyebab kepada kejatuhan. Apatah lagi, pendapat beliau yang mengatakan adanya unsur “homicidal” adalah hanya berdasarkan keterangan “ransack” di dalam bilik utama, sedangkan saksi pendakwaan yang lain seperti IO dan forensik mengesahkan bilik itu teratur dan kemas. Oleh itu, versi pendakwaan sendiri yang dikemukakan melalui saksi ini yang menyebelahi pembelaan mestilah diterima oleh mahkamah.

7) Keterangan forensik (SP15). Keterangan yang penting adalah seperti berikut;

· SP15 mendapati bilik utama kemas dan teratur, tiada kesan “forced entry”,

· Beliau membuat penimbulan cap jari pada satu tingkap yang terbuka tetapi tidak mendapat sebarang hasil yang positif,

· Ukuran lebar tingkap itu adalah 1 kaki 10 inci dan tingginya 3 kaki 8 inci. Manakala ketinggian “window sill” daripada lantai ialah 3 kaki,

· Berpendapat tiada sebarang bukti menunjukkan adanya pergelutan atau pergaduhan yang berlaku di dalam bilik utama,

· Berpendapat tingkap terlalu sempit dan tidak mungkin seseorang ditangkap dan dicampak melalui tingkap kecuali dalam keadaan tidak sedar diri,

· Kejatuhan disebabkan orang lain hanya boleh berlaku jika si mati tidak sedarkan diri atau si mati menjenguk keluar, bahagian atas badan di luar bangunan dan telah ditolak oleh orang lain dari belakang,

· Berpendapat mungkin juga apa yang berlaku adalah “accidental” iaitu si mati berdiri di luar tingkap untuk cuba melarikan diri dan tergelincir menyebabkan dia jatuh,

· Setuju si mati definitely “conscious” (sedar) semasa mendarat kerana si mati dipercayai jatuh dengan bersentuhan kaki kanan dan tangan kirinya tahan untuk “break the fall”,

· Setuju keadaan di ruang tamu juga tidak menunjukkan ada unsur-unsur pergelutan atau pergaduhan berlaku,

· Jarak antara bilik B1 dan B2 dengan bilik utama lebih kurang 4 kaki dan semua pintu bilik diperbuat daripada kayu jenis plywood,

· Mengatakan selain kesan cap jari, turut jumpa satu kesan tapak tangan tapi kurang jelas. Beliau bagaimanapun tidak mengambil gambar dan tidak membuat sebarang catitan,

· Setuju di bahagian luar tingkap ada tempat seseorang boleh berpijak, ia terdapat di semua tingkap bahagian atas dan bawah.

Hujah – sepertimana keterangan pathologist, keterangan forensik juga menimbulkan lebih banyak tandatanya dan memberikan lebih dari satu inferens. SP15 juga tidak dapat memberikan satu pendapat yang konklusif dan hanya berpandangan kejatuhan mungkin disebabkan oleh jatuh atau terjun. Yang pentingnya, mahkamah boleh “rule out” kemungkinan si mati dicampak keluar kerana adanya luka tangkis akibat menahan. Sebaliknya, pendapat SP15 sebenarnya lebih cenderung kepada satu kemalangan yang berlaku samada “slipped” ataupun “accidental”. Ini disebabkan tiadanya unsur pergelutan atau pergaduhan di dalam bilik utama dan kesan-kesan lain yang berkaitan.

Hujah – walau apa sekalipun pendapat yang dikemukakan oleh saksi pakar; mahkamah perlulah cenderung kepada inferens yang menyebelahi OKT. Di dalam kes kita ini, inferens tersebut adalah si mati telah “slipped” atau terjatuh daripada tingkap tanpa apa-apa “force” digunakan terhadap beliau. Ini juga adalah satu lagi keraguan yang terbit daripada kes pendakwaan sendiri.

8) Kecederaan yang dialami oleh mangsa-mangsa adalah diperbesar-besarkan (exaggerated). Keterangan yang penting adalah seperti berikut;

· SP8 – mendakwa dipukul 5 kali di kepala, paha, tangan dan kaki di mana pukul memukul lebih kurang 30 minit, dipukul bergilir-gilir,

· Kepala beliau dakwa berlumuran darah dan menerima 6 jahitan,

· SP9 – mendakwa OKT2 pukul dengan tali pinggang berkepala besi di kepala dan disepak di belakang badan,

· Beliau mengatakan “boleh tahan kuatnya”,

· SP10 – mendakwa OKT1 pegang dan angkat beliau dan hantuk kepala ke dinding,

· Juga mendakwa beliau di pukul dan tendang di belakang, di mana OKT1 ada ambil kerusi rotan kecil dan baling kena bahagian belakang bahu,

· SP11 – doktor yang merawat ketiga-tiga mangsa memberi keterangan; Badrul Hisyam (SP8) sustained small laceration wound on his forehead 2-3 cm, Mohd Asran (SP9) had soft tissue injury scratch mark and Ahmad Faizal (SP10) sustained soft tissue injuries over the left shoulder (report P27a-c),

· SP11 juga mengatakan hanya ambil masa 5 minit setiap pesakit, setuju semuanya “minor injuries”, found no injury on Ahmad Faizal’s head or forehead.

Hujah – walaupun tidak dinafikan kesemua mereka mengalami kecederaan, namun apa yang digambarkan melalui keterangan lisan adalah terlalu berbeza berbanding keterangan SP11. Kecederaan mereka sebagaimana keterangan SP11 dan juga laporan perubatan (P27) adalah sangat kecil dan terlalu ringan berbanding apa yang digembar-gemburkan di mahkamah. Satu contoh yang nyata adalah keterangan SP10 yang mendakwa OKT1 menghantuk kepala beliau ke dinding sedangkan SP11 tidak mengesan apa-apa kecederaan pun di kepala SP10. Mereka juga diperiksa hanya beberapa jam dari masa kejadian. Oleh itu, mahkamah hendaklah meneliti keterangan mereka dengan waspada (with caution).

9) Kegagalan mengemukakan saksi bernama Lin/Sofiyya

· Pihak pendakwaan telah cuba mengemukakan percakapan saksi ini (ID39) tetapi mahkamah telah menolak permohonan ini atas alasan usaha yang dibuat untuk mengesan saksi tidak mencukupi.

Hujah - kegagalan pihak pendakwaan untuk mengemukakan saksi ini serta kegagalan untuk mengemukakan percakapan saksi ini juga membolehkan mahkamah menggunapakai Seksyen 114 (g) Akta Keterangan. Daripada naratif kes pendakwaan, adalah jelas wujudnya satu “gap” yang besar disebabkan saksi ini gagal dikemukakan. Tiada saksi yang dapat menceritakan apakah yang benar-benar berlaku di dalam bilik utama dan apakah yang menyebabkan si mati jatuh sehingga menemui ajalnya.

Hujah - Bukanlah tugas pembelaan untuk mengisi “gap” ini. Rujuk kes PP v Amir b Mahmood [1996] 5 MLJ 159 (m/s 13). Seksyen 114(g) wajar diinvoke kerana saksi ini adalah “important and material witness”. Oleh itu, pihak pendakwaan tidak boleh dikatakan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie. Rujuk kes Hii Lam King [2007] 10 CLK 557 (m/s 556).

10) Percakapan beramaran OKT1(D37) dan OKT2(D38). Antara bahagian yang penting adalah seperti berikut;

· Dirakam pada hari ke 4 reman dan secara berasingan antara OKT-OKT,

· Dalam D37, OKT1 telah menyatakan tujuan pergi ke rumah si mati pada m/s2 baris 36-39, watak Che Mat anggota polis pada m/s 3 baris 23-26, Che Mat hadir dengan 3 lelaki lagi pada m/s 3 baris 36-40, juga apa berlaku dalam bilik utama pada m/s 4 baris 55-60, reaksi OKT1 selepas budak lelaki terjun pada m/s 5 baris 2&3, tidak bawa senjata pada m/s 5 baris 17-21 dan menafikan pengetahuan kenapa lelaki itu terjun,

· Dalam D38 pula, OKT2 menyatakan tujuan ke rumah si mati pada m/s 3 baris 2-5, juga nyatakan watak Che Mat pada m/s 3 baris 15-20, ada nyatakan hendak ke balai selepas pergi ke rumah si mati pada m/s 4 baris 54&57, mengapa beliau mengambil barang-barang dalam rumah si mati pada m/s 4 baris 63 hingga m/s 5 baris 2 dan mengapa beliau memukul budak-budak.

11)Percanggahan yang wujud. Keterangan yang penting adalah seperti berikut;

· SP3 - keterangan lisan beliau 9 barang kes dirampas sebenarnya 12, alasan beliau terlupa,

· SP3 juga mengatakan SP4 yang tunjukkan beliau kepada OKT-OKT sedangkan SP4 kata beliau tidak nampak muka mereka yang ditangkap itu,

· SP10 gagal mengecam OKT1 walaupun kata yang OKT1 yang memukulnya,

· Keterangan lisan SP3 kata nampak OKT2 letakkan beg dalam raga motorsikal sedangkan laporan beliau P14 beg sudah ada di dalam raga.

PENUTUP

1) Berdasarkan penilaian secara maksimum (maximum evaluation) terhadap keterangan-keterangan yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan, adalah dihujahkan pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap OKT sepertimana yang digariskan dalam kertas pertuduhan bagi pertuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

2) Dengan kata lain elemen “that the injuries were caused by the act of the accused” tidak dapat dibuktikan. Pohon rujuk Penal Code Commentary dan kes Sainal Abidin bin Mading [1999] 4 MLJ 497 (m/s 5). Tiada keterangan langsung yang dapat mengaitkan OKT1 dengan jatuhnya si mati hingga menyebabkan kematiannya. Bahkan, tiada keterangan langsung yang boleh mahkamah ini simpulkan bahawa OKT1 pernah masuk ke dalam bilik utama sekalipun.

3) Keterangan “circumstancial” yang cuba dibawa oleh pihak pendakwaan untuk mengaitkan OKT1 dengan kematian si mati adalah terlalu lemah dan tidak dapat menuding kepada kesalahan OKT1 semata-mata. Bahkan, daripada keterangan pendakwaan sendiri, wujudnya kemungkinan dan versi yang pelbagai tentang bagaimana berkemungkinan si mati telah jatuh. Daripada kecederaan yang dialami oleh si mati juga, mahkamah tidak dapat membuat inferens mengenai niat OKT1. Namun, isu niat bunuh ini tidak timbul kerana tiada keterangan mengenai “actus reus” yang wujud pada awal-awal lagi. Rujuk kes PP v Mohd Nazrul Shuhaimi [2009] 9 CLJ 830 (m/s 831).

4) Adalah menjadi prinsip asas dalam pertuduhan jenayah apatah lagi yang melibatkan hukuman mati bahawa versi yang memihak kepada pembelaan wajar diterima. Dalam keadaan keterangan yang terlalu lemah ini, mahkamah tiada pilihan lain selain daripada melepas dan membebaskan OKT1 daripada pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

5) Untuk mengaitkan OKT1 dengan kematian si mati di bawah pertuduhan yang lebih ringan seperti Seksyen 304(a) atau (b) juga adalah tidak mungkin kerana keterangan tidak langsung berupaya untuk menunjukkan bahawa OKT1lah yang menyebabkan kematian si mati; samada dengan niat ataupun tidak. Tiada keterangan bahawa OKT ada “contact” dengan si mati mahupun pernah bersemuka dengan si mati di dalam rumah tempat kejadian.

6) Selanjutnya, timbul keraguan daripada naratif kes pendakwaan sendiri tentang niat kehadiran OKT-OKT ke rumah tempat kejadian di mana mahkamah tidak boleh membuat satu “finding of fact” yang jitu bahawa kehadiran mereka adalah untuk melakukan kesalahan samun mahupun mencederakan. Gabungan antara “conduct” OKT yang tidak konsisten dengan kesalahan jenayah yang dilakukan, keterangan pendakwaan yang tidak “overwhelming” di mana adanya unsur-unsur “exzaggeration” dan percanggahan serta wujudnya “gap” yang serius dengan ketiadaan keterangan Sofiyya; menyebabkan mahkamah ini tidak boleh menyimpulkan bahawa pihak pendakwaan juga telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap 4 lagi pertuduhan. Keterangan pendakwaan yang tidak kukuh ini menyebabkan tidak selamat untuk mahkamah ini untuk bergantung padanya dan memutuskan wujudnya satu kes prima facie bagi 4 lagi pertuduhan.

7) Ini diburukkan dengan kemasukan percakapan beramaran OKT-OKT iaitu D37 dan D38 yang sejak awal-awal lagi telah menyangkal setiap pertuduhan yang dikemukakan dengan satu versi pembelaan yang kukuh dan munasabah. Kegagalan IO kes untuk menyiasat pembelaan OKT-OKT ini dengan bersungguh-sungguh adalah “fatal” kepada kes pendakwaan. Rujuk kes Alcontara A/L Ambross Anthony v. PP [1996] 1 CLJ 705. Oleh itu, OKT-OKT juga wajar dilepas dan dibebaskan daripada 4 lagi pertuduhan dan bukannya tugas pembelaan untuk menutup sebarang kelemahan kes pendakwaan.

8) Secara alternatifnya, sekiranya mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan ini dan berpendapat masih ada kesalahan yang dilakukan oleh OKT-OKT; dihujahkan kesalahan yang wujud pada tahap prima facie hanyalah kesalahan Seksyen 324 Kanun Keseksaan; bagi OKT1 terhadap SP10 dan bagi OKT2 terhadap SP8 dan SP9. Ini memandangkan timbul keraguan mengenai tujuan mengapa OKT2 mengambil barang-barang daripada saksi-saksi yang menyangkap elemen pertuduhan berkaitan elemen samun. Namun, disebabkan OKT-OKT telah mendatangkan kecederaan, maka Seksyen 324 Kanun Keseksaan telah dibuktikan pada tahap prima facie.

9) Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan pula, daripada keterangan adalah jelas elemen pencerobohan rumah dengan bersembunyi (lurking house trespass or house-breaking) tidak dipenuhi. Berdasarkan Seksyen 443 Kanun Keseksaan, ianya memerlukan elemen mengambil langkah bagi menyembunyikan pencerobohan rumah itu (taken precautions to conceal such house trespass).

10) Jelas daripada keterangan yang dikemukakan, tindakan OKT-OKT memecah masuk ke dalam rumah tidak diikuti dengan sebarang langkah bagi menyembunyikan pencerobohan itu. Justru “at most” kesalahan yang telah dilakukan adalah di bawah Seksyen 451 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan rumah biasa (tanpa lurking) ataupun sekadar Seksyen 448 Kanun Keseksaan sekira mahkamah mendapati ada keraguan mengenai niat OKT2 mengambil barang-barang daripada saksi.

11) Memang benar satu nyawa telah hilang dalam insiden ini. Namun, untuk mengambil satu lagi nyawa yang tidak terlibat juga akan menyebabkan satu lagi kezaliman yang akan berlaku. OKT-OKT hanya boleh dipanggil membela diri jika wujud keterangan yang mencukupi setelah satu penilaian maksimum dibuat. Tugas mahkamah hanyalah untuk memutuskan berdasarkan “available evidence” sahaja. Rujuk kes PP v Saimin [1971] 2 MLJ 16.

Sekian, terima kasih,


4 comments:

  1. Salam..Sangat menarik hujahan kes ini. Tapi case law yg dikemukakan mcm kurang sikit kut, just my opinion ;-)

    ReplyDelete
  2. Keputusan kes ini mcm mana tuan?

    ReplyDelete
  3. Salam Anonymous 3 December,

    Terima kasih atas komen saudara. Dalam kes ini OKT dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan kes 302KK di akhir kes pendakwaan lagi. Manakala mereka mengaku salah ke atas pertuduhan seksyen 394 dan 457KK.

    ReplyDelete
  4. bope lama kes ni makan masa

    ReplyDelete