Loyarberjurus

hanya untuk yang berjurus sahaja

Wednesday, March 16, 2011

ALALALA LATOK JANGAN SAMAN




Salam,

1)Aspek perundangan; Akta Polis 1967 adalah akta yang memberikan kuasa kepada polis dalam melaksanakan tugasan mereka. Dalam Akta ini, satu bab khusus iaitu bab VII menjelaskan dengan terperinci kuasa-kuasa yang dibolehkan oleh undang-undang untuk pihak polis melaksanakannya. Sebagai contohnya Seksyen 20(3)(i) memberi kuasa untuk polis menangkap haiwan yang berkeliaran.

2)Spesifiknya kepada persoalan sekatan jalanraya yang dibuat oleh polis. Seksyen 21 Akta Polis memberikan kuasa secara umum kepada polis mengawal ketenteraman dan keamanan di jalan umum (public road). Manakala Seksyen 26 secara khusus memberi kuasa untuk polis membuat halangan lalulintas (road barriers). Menurut Seksyen 26 ini, pra-syarat untuk pihak polis hanyalah jika polis berpandangan halangan itu perlu untuk maintain dan preserve undang-undang. Peruntukan ini juga memberikan kuasa untuk polis mengambil tindakan yang munasabah (reasonable steps) untuk polis menghalang sesiapa atau mana-mana kenderaan daripada bertindak untuk melepasi halangan tersebut.

3.Di bawah Seksyen 24 Akta juga memberikan kuasa kepada polis untuk memeriksa lesen dan kenderaan tanpa sebarang waran jika polis mengesyaki ada perlanggaran undang-undang berlaku dan ujian kepada pihak polis hanyalah sekadar mengesyaki secara munasabah sahaja. (reasonable grounds)

4. Justru, menjawab persoalan saudara, pihak polis memang diberikan kuasa untuk membuat sekatan jalanraya, memeriksa kenderaan, lesen dan sebagainya. Cuma, dari aspek perlaksaannya, mungkin ada perbezaan jika melibatkan unit yang berlainan contohnya trafik, mencegah penyeludupan dan jenayah walaupun kesemuanya adalah polis. Begitu juga dengan tujuan sekatan dijalankan; samada operasi besar-besaran atau sekatan rutin atau mungkin sesuatu operasi khas seperti ops sikap, menyebabkan perlaksanaannya menjadi berbeza. Oleh itu, cara perlaksaan sekatan jalanraya seperti berapa jumlah polis, pakaian mereka, adapegawai Inspektor ke atas atau tidak, samada ada kon atau meja dan sebagainya berkemungkinan boleh menjadi berlainan antara satu sama lain.

5.Persoalan lebih penting adalah apakah hak kita sebagai rakyat dan apakah safeguard kita dalam menghadapi situasi sebegini? Apatah lagi dalam keadaan Akta Polis memberi kuasa yang luas dan penafsiran yang longgar untuk polis melaksanakannya. Pertamanya, kerjasama perlu diberikan kepada pihak polis kerana kegagalan kita mematuhi arahan kita boleh dituduh dibawah Akta Polis sendiri seperti di bawah Seksyen 26 tadi ataupun kesalahan lebih serius iaitu menghalang penjawat awam di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan. Kita tidak mahu keadaan di mana asalnya tiada asas untuk polis menahan tetapi dek kerana adanya resistence untuk bekerjasama, maka polis sudah ada asas menahan.


6. Keduanya, walaupun pihak polis mempunyai kuasa yang luas dan kita hendaklah berkerjasama; tidak bermakna kita tidak boleh bertanya kepada polis apakah tujuan lesen kita atau kenderaan kita hendak diperiksa. Kita juga berhak untuk tahu untuk apakah sekatan jalanraya dibuat dan pihak polis perlu memaklumkan kepada kita semua maklumat ini.


7. Ketiganya, sekiranya pihak polis ingin membuat tangkapan kepada kita atas apa alasan sekalipun, hak kita sebagai orang yang ditahan dijamin oleh perlembagaan dan juga di dalam Kanun Tatacara Jenayah (CPC). Kita perlu dimaklumkan apakah sebab kita ditahan. Kita juga diberi hak untuk berkomunikasi dengan peguam dan juga keluarga. Pihak polis juga hanya ada kuasa menahan sehingga 24 jam dan perlu membawa kita ke hadapan majistret untuk memohon perintah reman jika ingin meneruskan tahanan terhadap kita.


8. Keempatnya, oleh itu apabila kita sudah memahami kuasa polis dan juga hak kita, maka nasihat secara praktikalnya adalah apabila ada sekatan jalanraya berilah kerjasama kepada polis. Jika ada unsur-unsur bahawa polis ingin menangkap anda, maka berkeraslah dengan hak anda seperti hak untuk menghubungi keluarga dan peguam (simpan nombor peguam yang boleh dipercayai). Jika ada unsur-unsur rasuah atau setel dimulakan dari pihak polis, maka jangan terjebak; catit atau sekurang-kurangnya hafal nama dan nombor polis itu untuk tindakan lanjut.


9.Akhir sekali, jika anda berada di sekatan jalanraya, buatlah seperti biasa apatah lagi jika anda memang tidak lakukan apa-apa kesalahan. Jika anda disaman (saman sebenar bukan notis saman ekor) sekalipun, ambil sahaja saman itu dan bersedialah untuk membayar kompoun (jika mengaku) dan disaman ke mahkamah dan membela diri (jika tidak mengaku). Anda boleh menjadi warganegara yang celik hak anda serta menghormati undang-undang pada masa yang sama. Anda mampu mengubahnya!


Ihsan dari Unit Tindakan jenayah (TINJU) Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) DPPP. Entri ini adalah menjawab kepada persoalan di dalam laman FB KASE (kempen Anti Saman Ekor). Wassalam

3 comments:

  1. salam... info bermaklumat... mohon disalin dan dimanfaatkan... terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Pak Ngah,

    Dipersilakan utk manfaat bersama.

    ReplyDelete
  3. Very soon this site will be famous among all blog users, due to it's good articles or reviews
    Also visit my weblog ... jeremy scott wings shoes for sale

    ReplyDelete