BERAMBEH!




Salam,

Dalam hidup yang serba mencabar, mendesak dan menekan di zaman ini; kita sering memberi fokus dan pengisian kepada 2 cabang penting dalam hidup; keluarga dan kerjaya. Kedua-dua ini sangat penting dan tidak syak lagi perlu penyelarasan yang bijaksana agar alignment kehidupan tidak lari. Jika terlalu melebihkan kerjaya, maka keluarga akan hilang kasih sayang dan perhatian. Apatah lagi hidup majoriti kita adalah 40% setiap hari untuk kerja, 5% untuk traffic jam, 30% untuk tidur, 5% untuk makan dan ke bilik termenung, meninggalkan kita hanya dengan baki 20% untuk keluarga dan juga untuk sang Pencipta.

Sebaliknya, kesengetan berlebihan kepada keluarga sudah tentu juga akan mengganggu kerjaya kerana sering bercuti, kurang fokus, lambat ke tempat kerja atau mahkamah dan macam-macam lagi kesan negatifnya. Namun, ramai yang berjaya dan mempunyai kerjaya yang baik, keluarga yang bahagia masih merasakan jiwa mereka kosong. Gaji yang tinggi dah dicapai. Persekitaran kerja yang kondusif pun dikecapi. Keluarga yang supporting pun dipunyai. Kenapa masih jiwa terasa kosong seolah-olah ada satu bahagian dalam jiwa yang masih perlu diisi dengan sesuatu?

Saya pernah merasainya. Anda mungkin juga telah, sedang dan akan merasainya. Jawapannya adalah jiwa kita perlukan pengisian kerohanian. Perlukan jiwa untuk berjuang dan berkorban. Dahagakan memberi khidmat kepada ugama dan masyarakat tanpa dibatasi keluarga mahupun disyarati oleh isme "no fulus no talk". Kita perlukan satu social circle yang baik, rakan2 yang sekepala dan sering saling menyedarkan ke arah kebaikan.

Ada yang mengisinya dengan cara berjemaah di surau dan masjid. Ada pula yang melibatkan diri dalam kumpulan yang mempunyai hobi dan minat yang sama seperti kelab kenderaan. Ada yang cuba mengisi kekosongan dengan berkumpulan dalam mengisi masa lapang seperti kelab futsal dan lain-lain. Ada juga yang menyertai pertubuhan atau jemaah yang mana mereka merasakan mereka boleh menyumbang dan berbakti tanpa diganggu karier atau mengganggu keluarga.

Bak kata bait2 lagu Nadamurni nyanyian arwah Ustaz Asri; "sudah sunnah orang berjuang, mengembara dan berkelana", maka antara cara mengisi kekosongan jiwa ini adalah dengan berjalan ke tempat orang. Berjalan dalam erti memberi khidmat sambil menginsafi nikmat yang kita kecapi, bersimpati dengan kedaifan masyarakat marhaen yang tertindas. Berjalan bukanlah untuk membangga2 dengan pencapaian duniawi seperti bangunan tertinggi, isteri terkini mahupun hutang tertinggi. Berjalan dengan niat yang betul untuk membantu masyarakat, meluahkan kepakaran dan ilmu serta mencungkil mutiara di tempat baru.

Itulah yang saya alami melalui perjalanan coretan Berambeh ke Sawarak. Berambeh maksudnya berkampung. Benarlah kata pujangga; tak kenal maka tak cinta, tak cinta maka tak mesra, tak mesra maka tak setia, tak setia maka tak bahagia. Kunjungan kali pertama saya ke bumi Kenyalang membuka mata saya terhadap banyak perkara. Ramai lagi rakyat yang masih hidup tertindas dan melarat dalam masa pemimpinnya dikhabarkan mempunyai puluhan syarikat di luar negara, harta yang bertimbun dan isteri yang muda. Hanya 5 minit dari bandaraya Miri sebuah bandaraya minyak yang kaya; kaum Iban masih tinggal di rumah panjang bergantung kepada generator untuk mendapatkan bekalan eletrik sedangkan sudah 40 tahun mereka setia kepada yang satu, dulu kini dan selamanya.

Masih ramai lagi di Sarawak yang memanggil Sarawak sebagai Negara dan Ketua Menteri Tok Ubannya sebagai Perdana Menteri menyebabkan saya terfikir di manakah keberjayaannya integrasi nasional. Di masa yang sama, keramahan penduduk Sarawak, keindahan Bandaraya Kuching dan tempat2 menarik yang dikunjungi pasti menggamit memori sesiapa sahaja yang berkunjung ke sana. Pendek kata kawan-kawan, isilah kekosongan jiwa saudara itu dengan berjuang, berkhidmat dan beramal. Tanpa dilingkari wang ringgit, pangkat mahupun kedudukan, nescaya kekosongan jiwa itu bakal terisi dengan semangat perjuangan, pengorbanan dan amal yang diharap dapat membantu kita semua di hadapan mahkamah tanpa KPI, mahkamah yang abadi yang tidak akan tertinggal walau satu zarah pun amalan kita daripada ditanya. Wassalam.

Comments

  1. "Masih ramai lagi di Sarawak yang memanggil Sarawak sebagai Negara dan Ketua Menteri Tok Ubannya sebagai Perdana Menteri"

    Bro, u ni lawyer tetapi menulis ikut suka hati tanpa fakta sokongan. U Menulis seolah-olah orang sarawak tak tahu membezakan yang mana satu ketua menteri dan yang mana satu perdana menteri. U nak impresskan orang dengan tulisan u is not a big deal. Tapi janganlah insult their intelligence serendah ni.
    Pen adalah digunakan untuk menulis merupakan satu fakta. Pen itu tidak cantik satu pendapat. Orang sarawak masih ada lagi ketinggalan. Mungkin fakta dan mungkin pendapat. Ini aku bolehlah terima sebab make sense. Tapi membaca petikan u di atas, aku tak rasa ianya fakta mahupun pendapat tapi lebih kepada serkap jarang.
    Kalau ko sincere dengan tulisan ko, publishla komen aku ni. Kalau ko lagi berani, ko ulang balik komen ko dan my reply secara terbuka kat mana-mana, kat Fb, twitter, kat kawan-kawan Sarawak ko..so dari sana ko boleh form your final opinion...than we can start to debate...I am expecting your answer...

    ReplyDelete
  2. Salam bro,

    Pertamanya maaf sebab baru publish komen saudara, tiada niat nak diabaikan. Cuma saya buat filter kerana pernah blog ini dimasuki spam.

    Keduanya, saya ucapkan terima kasih atas teguran saudara. Mungkin niat saya lain dan difahami lain. Namun kalau saudara yg mungkin orang Sarawak merasakan coretan saya part itu agak insulting, saya akui kesilapan. Terima kasih sebab menegur. Mmg kadang2 jari jemari ni terlepas dan perlu yg tegur jika silap.

    Saya menulis blog atas luahan hati dan pengalaman. Sesiapa bebas setuju atau tidak. Saya tidak minat untuk berbalah dengan sesiapa. Jika saya telah tersilap, saya minta maaf. Harap saudara tak jemu mengunjungi dan menegur. Saya amat menghargainya bro. Wassalam.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA