Loyarberjurus

hanya untuk yang berjurus sahaja

Friday, August 3, 2012

ANTARA WISEL DAN VUVUZELA

Salam,



Sebagai peminat tegar sukan bolasepak, ada beberapa perkara yang menyakitkan hati dan telinga saya apabila berkunjung ke stadium sebenar mahupun sekadar berlingkar di depan stadium astro. Antaranya adalah kualiti pengulasan pengulas yang syok sendiri, play-acting atau simulasi oleh pemain dan yang agak terkini adalah makhluk bernama vuvuzela. Alat ini muncul dan menjadi sensasi semasa piala dunia 2010 di Afrika Selatan. Bunyinya memang bingit, tidak berseni langsung seperti gendang atau rebana dan mengganggu fokus menyaksikan bola.

Umpama vuvuzela juga saya terma-kan apa yang berlaku berkaitan penangkapan dan pertuduhan yang maha pantas terhadap saudara Rafizi dari PKR di bawah BAFIA. Tiba-tiba juga selluorouhh umat menyebut-nyebut istilah BAFIA, peniup wisel (whistle blower) melampaui populariti pergaduhan sensasi dan basi Neelofa v Anzalna (siapa dioarang ni, ada ku kesah?).

Umpama vuvuzela yang saya maksudkan adalah impak yang muncul gara-gara pendedahan Rafizi berkenaan isu lembu feedlot membawa kepada cadangan penurunan harga kereta dan lain-lain lagi yang bakal terbit itu begitu besar dan menerujakan banyak pihak. Dalam masa yang sama, nampak gayanya memang menyakitkan hati dan membingitkan telinga pihak yang terlibat barangkali dengan pendedahan beliau.

Sebab itulah ramai berpandangan beliau memang tidak wajar dilindungi di bawah Whistleblower Protection Act 2010 lantaran pendedahan beliau berskala vuvuzela dan bukan lagi setakat bisik-bisik ala wisel pengadil perlawanan. Barangkali juga cara pendedahan dibuat secara terus kepada media secara sensasi dan bukannya dibisikkan ala-ala yusoof thaiyyub kepada mana-mana pihak berkuasa juga menyebabkan akta yang nampak cantik ideanya itu mungkin menjadi satu lagi lambang transformasi yang akhirnya basi dan bertaraf kosmetik semata-mata.

Pertuduhan beliau di bawah BAFIA adalah isu yang berlainan. Jika pendakwaan mendapati ada asas kukuh untuk menuduh, tuduhlah beliau. Itu hak pihak pendakwaan (yang akan dinilai oleh rakyat). Beliau juga berhak dibela dan mematahkan setiap tuduhan yang dilemparkan sekaligus membersihkan nama beliau, Itulah sistem keadilan yang kita dokongi setakat ini di negara kita yang mana pengertian kerejaan dan parti politik sudah menjadi fused dan tidak mampu lagi dipisahkan.

Walau betapa pincangpun kita rasa, kita masih perlu meletakkan kepercayaan kepada sistem keadilan ini. Persepsi-persepsi seperti high-handed tactics dalam proses menahan, isu penggunaan gari yang nampaknya double standard dibandingkan dengan VIP lain yang turut dituduh serta permohonan jumlah jaminan yang melampaui batasan normal; semua ini tidak membantu mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem ini.

Sebagai pengamal undang-undang, pertuduhan-pertuduhan yang dijenamakan sebagai  'terpilih' sebegini amat menarik untuk diikuti dan diskrutini. Adakah pertuduhan dibuat untuk menutup mulut Rafizi dari pendedahan-pendedahan lain yang rakyat ingin tahu? Adakah pertuduhan akan menunjukkan Whistleblower Protection Act 2010 itu sah adalah bersifat tempelan dan bukannya ada polical will pun untuk melaksanakannya? Adakah akan ada precedent janggal dari mahkamah atau permohonan pelik dari pendakwaan semasa prosiding nanti? Kita tunggulah perbicaraannya nanti dan yang paling penting rakyat akan menilai kerana rakyat adalah hakim negara. Wassalam.

No comments:

Post a Comment