LAPANG DI AIDILFITRI




Salam,

1 Syawal telah berlalu. Kemeriahan aidilfitri tahun ini sungguh dirasakan sehingga beku sebentar blog ini (hampir 2 minggu expired). Terasa lapang sungguh di jiwa berada di kampung halaman tanpa hambatan dan tekanan kerja duniawi yang kadang-kala sungguh menyesakkan. Nikmat lapang ini jarang kita hargai kecuali ketika kita berada di saat-saat kesesakan samada dari segi masa, wang ringgit, tenaga dan macam-macam lagi aspek kelapangan yang selalu kita terlupa.

Di saat tak berapa lama lagi kehidupan rutin (yang berputar deras yang kadang kala tiada belas kasihan bagi mereka yang lembab) akan kembali melingkari kita; maka bertambah-tambah lagi kita terasa betapa nikmatnya dianugerahkan nikmat lapang ketika aidilfitri walaupun mungkin seminggu cuma. Bagi yang menjadi loyar samada loyar gomen ataupun loyar swasta, mungkin ketika cuti yang agak panjang beginilah kita beranjak sekejap dari dunia tahi cicak kita (baju hitam putih da). Tiada jelingan manja dan mulut lazer hakim, tiada panggilan hangit dari anakguam, tiada heretan beg kotak ke mahkamah dan tiada juga kejutan bunyi buzzer (atau polis mahkamah kata banggungggg) ketika mahkamah mula bersidang. Ahhh, lapang sungguh rasanya menjadi orang awam.

Kehidupan di alam kemahkamahan memang tidak memberi ruang langsung untuk berlapang-lapang. Bahkan tahukah anda jika seorang loyar itu asyik lapang saja dan mukanya sudah jarang-jarang dilihat di mahkamah; maka itu alamat kariernya mungkin akan menjadi nasi bungkus. Walaupun loyar swasta dikatakan boleh control masanya sendiri, realitinya sebenar adalah masanya menjadi lebih tidak lapang kerana saban masa ada saja temujanji yang hendak diselitkan. Namun, bak kata bekas Ustaz saya, waktu subuh pun ada meetingkah, ada appoinment kah? Ini bermakna kuasa menentukan kelapangan atau kesibukan masa seorang itu masih lagi ada dan tidak ada alasan untuk kita memberikan alasan yang kita sibuk sehingga melupakan tanggungjawab keluarga dan masyarakat.

Di dalam filem Labu Labi, mereka yang terlibat dalam arena kemahkamahan (dalam filem itu majistret) digambarkan sebagai manusia yang angkuh, tidak bertimbangrasa malah suka berfoya-foya. Majistret yang degreenya L.E.M.B.U dalam filem itu (lakonan P Ramlee) berebut-rebut pragawati Sarimah dengan tuan Doktor. Ini satu lagi ketidaklapangan yang menimpa mereka yang terlibat dalam kancah perundangan ini iaitu tidak lepas dari persepsi serong masyarakat yang mengecop atau memberi label yang pelbagai; dari loyar buruk ke hakim manggostine ke tukang kipas kepada mahkamah kanggaroo.

Kita selalu mengukur kelapangan itu dari aspek material. Tidak salah berfikiran begitu kerana memang sengoti (bahasa kelate bermaksud benar) kerana kita selalu menganggap (presume) bahawa yang banyak atau yang besar atau yang kaya itulah yang lapang. Ya dan tidak jawapannya. Yang kaya tak selalunya lapang hidupnya dan yang kurang kaya tak semestinya sesak. Lihat saja Kassim Baba dalam Ali Baba Bujang Lapok. Hartawan yang kaya raya di kota Baghdad namun sebenarnya hidupnya sempit dan tidak lapang langsung. Apa ukuran kaya jika masih ke pajak gadai, bil air tak dibayar dan risau meminjamkan cupak di tengah malam kepada adindanya sendiri Ali Baba?

Sebab itulah saya sangat bersetuju dengan prinsip mudah yang disarankan oleh Azizi Ali dalam buku beliau. Katanya, jika kita mampu membeli 5 series, belilah 3 series agar kewangan lebih lapang dan ada wang berlebih setiap bulan. Dengan kata lain yang agak relevan (yang pernah seorang senior DPP nasihatkan saya), jika kita ni gred L48, hiduplah macam L44, jangan pula gred L41 tapi nak hidup macam L54! Sifirnya mudah sahaja, walau gaji kita 700k++ sebulan sekalipun (seperti boss CIMB) tapi kita masih berbelanja ngam-ngam sahaja setiap bulan atau kadang-kadang defisit (dan terpaksa buat personal loan dgn mak bapa); maknanya kewangan kita masih belum lapang lagi. Oleh itu kawan-kawan beringatlah, besar periuk maka bersarlah keraknya. Solusinya? Kecilkan periuk atau belajar lagi memasak supaya kurang keraknya!

Selain lapang dari segi masa dan lapang dari segi kewangan, sudah tentu lapang dari aspek minda dan perasaan juga banyak teruji dalam musim aidilfitri ini. Berapa ramai kalangan kita yang masih mampu tersenyum dan tidak menjahanamkan orang apabila dipotong Q di jambatan Sultan Yahya Petra atau jambatan Brahim Ali Adi Jagat (self-proclaimed title) selepas berjam-jam memandang lampu brek kereta di depan? Berapa ramai pula yang sabar dan tidak cuba menjadi Juan Pablo Montoya memotong lori semasa jemboree teruk di perjalanan pergi dan balik ke kampung?

Berapa kelatkah pula senyuman kita apabila rempit-rempit junior datang beraya ke rumah dan terang-terang isytihar yang mereka hanya nak duit raya semata-mata dan tidak sudi menjamah juadah raya? Berapa ramai dari kita pula yang berjaya melapangkan minda kita dan anak-anak dari menonton filem Melayu (atau Bollywood atau Indon) recycled yang memualkan dengan isu-isu lapuk, cinta babun yang sama dan lawak slapstik yang membuatkan kita hendak menangis bukannya ketawa? Hah! Jawablah sendiri dan barulah anda tahu lapang atau tidak minda anda dan berapa berlapang dadakah anda.

Di dalam kulit kacang (in a nutshell), hargailah nikmat lapang yang kita ada (selain menghargai sungai kita). Gunakan dengan sebaik mungkin agar hidup kita terasa luas terbentang bak sawah padi di Sekinchan bukannya menjadi sesak lagi menyesakkan seperti bandaraya Kota Bharu di musim Aidilfitri yang dipenuhi kenderaan berplet B dan juga W. Wassalam.

Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA