POST MORTEM RAMADHAN




Salam,

Dalam kesibukan kita menyambut lebaran yang bakal tiba, tidaklah salah untuk kita menoleh sejenak ke belakang selama tempoh 29 hari kita berada dalam bulan pentarbiyahan Ramadhan atau bulan pesta ibadah ini. Tidak kiralah pada malam buat ketupat ini kita sibuk menggantung lampu lip-lap atau memasukkan duit raya ke dalam sampul atau benar2 membuat ketupat (mengumpat?) atau memalaskan diri menghadap astro sports channel (bola lagi yang tak pernah cuti); malam menjelang 1 Syawal inilah masa terbaik untuk membuat post mortem/bedah siasat Ramadhan edisi kali ini.

Seperti lagu kumpulan The Zikr; Ramadhan Dua Zaman yang antara lain liriknya berbunyi...Ramadhan satu nasib tak serupa, peluangnya sama, natijah berbeza...(boleh download sendirilah ok), maka kita umat akhir zaman ini tidak boleh tidak mestilah mengkoreksi diri meneropong ke dalam diri menembusi hati nurani kita setiap kali Ramadhan pergi. Bedah siasat ini perlu agar kita dapat menggredkan pencapaian kita saban tahun agar kita sentiasa ada benchmark yang perlu dikejar dan digapai. Jika tidak ada kemungkinan kita akan berprestasi mendatar sahaja (macam suara kebanyakan pelajar AF) di mana saban tahun kita gagal merebut peluang yang tiba semasa Ramadhan dalam pemikiran yang over-confident yang kita akan pasti berjumpa Ramadhan berikutnya.

Menteri pun ada menteri KPInya, restoren pun ada gred-grednya iaitu A (sangat bersih selalunya kedai makanan cepat/fast food saja) atau B (bersihla masih ada selera pergi) dan C (kurang memuaskan, apasal tak tulis kotor saja?), bahkan telur dan jersi bola siam pun ada grednya. Maka kita pun wajarlah memberikan gred kepada diri kita sendiri dalam konteks Ramadhan, samada gred super/AAA atau gred secukup rasa (cukup makan) atau gred under par (rasib wal mardud).

Sesiapa yang pernah menghadiri post mortem di hospital seperti saya (walaupun tak full) akan mengetahui bahawa proses bedah siasat jasmani itu adalah satu proses yang detail, penuh berhati-hati, tidak meninggalkan sebarang batu tidak dibalikkan (leave no stone unturned) dan bertujuan mencari satu jawapan iaitu COD (cause of death). Sebab itulah saya sangat menyanjung dan salute karier sebagai pakar pathologi ini yang kariernya bermandi darah (legal pulak tu), menghadap client yang kaku hari-hari; namun masih mampu tersenyum di mahkamah dan masih juga berselera untuk makan setiap hari. Justru, pendekatan yang sama wajar juga kita applikasikan dalam bedah siasat rohani kita pula.

Terdapat beberapa indikator yang saya percaya mudah untuk kita menilainya secara jujur. Pertamanya, sudah tentu mengenai ibadah paling favourite di dalam bulan Ramadhan. Terawih? Bukan. Tadarrus? Pun bukan. Tahajjud? Mungkin tidak. Ibadah yang saya maksudkan itu adalah ibadah berbuka puasa. Penilaian yang kita boleh buat adalah; pertamanya berapa incikah luas meja makan yang masih kosong tidak dicover oleh juadah berbuka? Juga berapa peratus makanan yang dihabiskan dan berapa peratus pula yang menjadi makanan kucing (atau Ratattouille)?. Juga kita boleh tanya diri sendiri juga pernahkah kita terjama' solat maghrib di dalam waktu isya' dek kerana melayan nafsu makan kita yang dikekang selama setengah hari itu?

Indikator kedua dalam post mortem Ramadhan adalah aspek ekonomi atau berbelanja. Antara soalan cepu platinum yang kita boleh lontarkan adalah; adakah kita terpaksa mengorek duit simpanan (ASB, Tabung Haji, bawah katil) untuk top up perbelanjaan Ramadhan? Adakah di dalam Ramadhan kita berkawan lebih karib dengan along versi plastik (kad kredit la tu)? Juga soalan yang menarik adalah adakah kita masih mengekalkan kadar sedekah RM 1 atau kurang setiap kali solat Jumaat atau jari-jemari kita lebih ringan memberi kepada mereka yang memerlukan?

Indikator ketiga yang boleh dirujuk adalah berkaitan ibadah lain yang sepatutnya menjadi rebutan iaitu ibadah terawih dan tadarus al-Quran. Adakah terawih kita bersifat menurun grafnya yakni hanya penuh di awal Ramadhan dan berlubang di peringkat yang terkemudian? Seterusnya, adakah kita benar-benar berasa rehat dengan berterawih atau berasa terpaksa untuk menghabiskan walau hanya 8 rakaat kerana mengejar drama Nur Kasih atau aksi Wayne Rooney? Begitu juga dengan aktiviti tadarrus, di akhir Ramadhan sudah berapa banyakkah helaian Quran (yang akan menerangi kita di dalam kubur) yang kita berjaya habiskan? Di hari ke 29 ini, cuba lihat adakah kita sudah berjaya menghabiskan banyak lembaran al-Quran atau masih lagi tersangkut di Surah Al-Baqarah?

Mungkin ada banyak lagi indikator yang boleh disenaraipanjangkan untuk mencapai maksud post mortem Ramadhan ini. Yang pentingnya, berlaku jujurlah kepada diri sendiri dalam menjawab persoalan-persoalan yang telah dilontarkan di atas. Jika banyak yang positif, bersyukurlah kerana program tarbiyah Ramadhan telah memberi impak maksima ke atas batang tubuh dan rohani kita. Jika banyak yang dakwat merah pula, nampak gaya kita kena eksplorasi diri kita lagi dan mengetuk brain head (kepala otak) kita agar lebih menghargai satu nikmat yang begitu agung yang Allah kurniakan kepada kita yang bernama Ramadhan. Berdoalah moga kita diberi peluang untuk bertemu Ramadhan lagi di edisi berikutnya untuk bershopping ibadah di mega sale Ramadhan. Wassalam.






Comments

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA