Loyarberjurus

hanya untuk yang berjurus sahaja

Saturday, October 24, 2009

LINGAMGATE: MAKCIK BELACAN JUGA YANG MERANA




Salam,

Beberapa hari lepas tersepit antara celahan berita-berita lain adalah berita mengenai jawapan bertulis Menteri Nazri Aziz kepada soalan KM Pulau Pinang mengenai apakah hasil siasatan terhadap usul Suruhanjaya Diraja Lingam yang telahpun lebih setahun. Mungkin ada yang tidak sedar pun bahawa 4 kertas siasatan yang dibuka (3 dihantar ke AG dan 1 dengan MACC) telah diputuskan sebagai NFA (no further action). Mungkin sebagai damage limitation, berita ini tidak displashkan di front page media dan sekadar mendapat tempat setaraf dengan kolum obituary sahaja nampaknya.

Mungkin juga kerana di hari yang sama keluarnya keputusan sabit dan salah ke atas penggigit polis iaitu Tian Chua yang dihukum penjara 6 bulan dan denda RM 3,000, sekaligus melayakkan untuk rakyat di Parlimen Batu pula menerima hujan rahmat jika rayuan ke mahkamah tinggi nanti tidak berjaya. Saudara Tian Chua mungkin terfikir alangkah eloknya jika beliau mengikut aksi Mike Tyson menggigit telinga Evander Holyfield, mungkin berbaloilah dengan hukuman yang dikenakan. Tambahan pula, aksi beliau menggigit tidak berjaya dirakamkan dan polis Narkotik itu mengaku menumbuk Tian Chua sebelum digigit. Kes ini masih pending appeal, jadi saya tak ingin mengomen lebih lanjut kecuali memuji majistret kerana mengelurkan judgment yang tepat (satu ni sajalah yang tepat agaknya) iaitu the police was not on trial.

Biar saya mengulas pengumuman low key mengenai Suruhanjaya Lingam itu dari kacamata peguam dan juga dari kacamata bekas DPP yang pernah dahulunya biasa dengan perkataan NFA ini. NFA atau ada yang memanggil KUS (kemas untuk simpan) adalah keadaan di mana kertas siasatan yang dibuka atas sesuatu aduan, telah diputuskan untuk ditamatkan riwayatnya. Kesannya, tiada mana-mana saspek yang akan dituduh dengan apa-apa pertuduhan. Selalunya, tindakan membungkus kes ini berlaku dalam keadaan yang ekstrem contohnya ketiadaan bukti yang melampau, permohonan tarik balik oleh mangsa dan mungkin akibat kehilangan ekshibit. Walhal, banyak lagi arahan yang diberikan untuk sesuatu kertas siasatan selain NFA seperti arahan siasatan lanjut, arahan DNAA (lepas tanpa bebas) terlebih dahulu pending siasatan, arahan tuduh dengan bukti yang mencukupi dan mungkin juga arahan tuduh dengan bukti yang tak mencukupi dikepilkan dengan kata-kata keramat "let the court decide".

Kuasa Peguam Negara cukup besar dan untouchable. Beliau boleh menuduh, menarik balik atau tidak menuduh sesiapa mengikut budi bicara beliau. Semuanya ada diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tatacara Jenayah. So, nobody is threatening this absolute power. Tetapi, di zaman di mana makcik Rohani di Dungun dituduh kerana belacannya tidak cukup protein (syaratnya kena 25% malangnya belacan makcik ini cuma ada 23.75%); sebagai orang yang waras dan mengamalkan undang-undang; saya sendiri menghadapi nightmare untuk menjustifikasi kata-kata Menteri Nazri bahawa tiada elemen jenayah terlibat terhadap kesemua orang di dalam klip video Lingam. Untuk rekod, makcik yang malang itu didenda RM 600 kerana menjual 3 keping belacan tak cukup sifat itu yang berharga RM 2.50 setiap satu. Mungkin makcik itu terlupa membeli mesin protein detector agaknya. Indahya sistem keadilan kita!

Jika kita recall kembali Suruhanjaya Lingam yang selesai bersidang pada tahun 2008 itu telah mengesyorkan agar 6 individu; TDM, 2 bekas Ketua Hakim Negara (takyah sebutlah), bekas Menteri Pelancongan, Pengerusi Berjaya Group dan sudah tentu peguam korekx3, disiasat berhubung peranan mereka dalam perlantikan hakim sekaligus dicadang juga disiasat di bawah Akta Hasutan, OSA dan juga menghalang penjawat awam (under Penal Code). Dalam masa yang sama, ia juga mengesahkan bahawa klip video itu sebagai authentic dan watak-watak di dalamnya adalah benar walaupun Lingam menyatakan "he looks like me and sounds like me!".

Suruhanjaya yang berskala richter besar ini telah memakan banyak masa, tenaga dan sudah tentu wang rakyat yang membayar cukai (yang tak bayar tak perlu masuk campur). Justru, bukankah adil juga satu pengumuman yang berskala mega juga dibuat sekalipun hasil siasatan ke atas syor Suruhanjaya ini adalah negatif iaitu tiada sapa-sapa buat salah apa-apa pun? Tidak bolehkah alasan untuk NFA ini lebih diperincikan dan diterangkan kepada orang ramai bagi mengelakkan salah tanggap dan tohmahan menyapu ke bawah karpet lagi? Sekurang-kurangnya adalah juga markah untuk usaha, walaupun isinya tetap tidak lojik sekalipun.

Selanjutnya, keputusan NFA ini juga adalah satu tamparan kepada panel Suruhanjaya itu sendiri yang mengesyorkan adanya asas untuk menyiasat watak-watak terlibat atas kesalahan jenayah. Mungkin bagi yang sudah terlupa, antara panelnya adalah bekas Hakim Besar Malaya, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, bekas Peguam Cara Negara dan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak. Dengan kata lain, finding mereka dikatakan sebagai tidak tepat dan tidak boleh diterima pakai.

Benar juga dalam sesuatu siasatan, mungkin ada yang berkesudahan dengan statusnya menjadi NFA. Namun, bagi kes Lingam ini yang keterangan klip videonya telah disahkan sebagai sahih, ditapis oleh Suruhanjaya yang hebat ahlinya, tested by cross examination oleh loyar-loyar yang hebat dan telah disyorkan sebegitu rupa oleh Suruhanjaya; maka saya tidak dapat mencari lojiknya atau legalnya di mana yang boleh menjustifikasikan keputusan NFA ini. Keadaan mungkin berbeza jika Suruhanjaya menolak kesahihan klip video itu contohnya atau tidak mengesahkan identiti individu yang dilihat dalam klip atau yang bercakap dengan pelakon utama itu atau namanya disebutkan itu.

Ditambah dengan cara pengumuman yang secukup rasa sahaja ini dan alasan yang ringkas dan bernas itu; membuatkan saya simpati dengan ramai sahabat dan mereka yang jujur dan dedikasi yang berada di arena kemahkamahan ini. Adakah masih ada masa depan untuk mereka? Yang menariknya juga, salah satu kertas siasatan yang disiasat oleh MACC dimaklumkan hasilnya adalah tiada penyalahgunaan kuasa yang wujud. Membandingkan pula kes-kes yang saya tempuhi hari-hari yang melibatkan ikan bilis seperti makcik belacan itu, banyak sekali kes yang dituduh di mahkamah atas dasar wujudnya salah guna kuasa ini seperti menjalankan arahan orang atasan atau kes mengambil rasuah tetapi wangnya tidak pernah ada sekadar aduan pengadu sahaja. Bukan saya sahaja yang tidak puas hati dengan keputusan ini. TDM pun tidak puas hati kerana hilang peluang untuk membersihkan nama beliau. Mungkin hanya tuhan sahaja yang mampu membantu kita semua memberi kekuatan untuk meneruskan tanggungjawab menegakkan keadilan ini. Wassalam.



2 comments:

  1. salam imam

    "nak wat guano gak, mokcik ore lemoh! tak dok sapo2. mokcik pung tok se bisibg2 nih, baya jah same tuh"

    ReplyDelete
  2. Salam Doremon,

    Mokcik tu memang civiliang yang tuleng. Hok buat keputusang tuduh mokcik tu jah dok berape beto.

    ReplyDelete