HUJAHAN KES ROGOL


PENGHUJAHAN PIHAK PEMBELAAN DI AKHIR KES PENDAKWAAN

BEBAN PEMBUKTIAN

1) Kes prima facie - Seksyen 180 (4) KAJ.

2) Kes - P.P v. Mohd Radzi bin Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457.

ELEMEN PERTUDUHAN

1) Di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, pihak pendakwaan perlu membuktikan adanya “penetration” dan ianya berlaku “without consent”.

2) Rujuk kes PP v. Mohd Ridzwan bin Md Borhan [2004] 5 MLJ 300.

3) Seperti kes rasuah, kes-kes seksual termasuk dalam kategori “easy to accuse but difficult to defend”. Adalah menjadi satu keperluan (practice and prudence) di dalam kes-kes seksual, “corroboration” diperlukan bagi menyokong keterangan pengadu.

4) Rujuk kes.

ANALISA KES PENDAKWAAN

1) Keterangan yang “crucial” bagi pertimbangan mahkamah adalah daripada SP1 (pengadu). Secara ringkas keterangan SP1 yang penting semasa pemeriksaan utama adalah seperti berikut;

a. Beliau telah melarikan diri dari majikan
b. Beliau tidak membawa bersama apa-apa dokumen pengenalan diri
c. Di Kuala Lumpur, beliau terjumpa seorang lelaki India yang jahat
d. Lelaki ini membawa beliau ke Hotel Pudu Raya dan cuba merogol beliau
e. Beliau bermalam dengan lelaki jahat itu dan meminta izin untuk keluar pagi esoknya
f. Menurut SP1 beliau ada pengetahuan bahawa beliau akan ditangkap polis jika dijumpai
g. Beliau mengikut OKT menaiki motorsikal untuk mencari kerja tanpa sebarang paksaan
h. Beliau ada berhenti di stesen minyak di mana OKT mengisi minyak dan beliau disuruh untuk mandi oleh OKT
i. Beliau mengatakan hanya sedar niat buruk OKT setelah berada jauh di dalam hutan
j. Beliau mendakwa dipaksa dan telah dipukul oleh OKT dengan helmet di bahagian kepala
k. Beliau juga mengatakan OKT ada memukul sekali lagi memakai tangan pula
l. Beliau dipaksa menghisap kemaluan OKT selama 5 minit dan beliau nampak kemaluan OKT keras sebelum OKT memasukkan kemaluan, di mana beliau rasa sakit di kemaluan beliau
m. Keterangan SP1 juga pada mulanya beliau mendakwa tidak melawan tapi menukar keterangan kepada ada melawan
n. Menurut SP1 lagi, selepas itu beliau ditinggalkan oleh OKT dan beliau terjumpa seorang lagi lelaki jahat yang menyamar sebagai polis
o. Lelaki itu juga ada pegang-pegang tubuh SP1 sambil lelaki itu menunggang motorsikal
p. Lelaki itu telah tinggalkan SP1 di tepi jalan sehingga SP1 terjumpa seorang perempuan Melayu sedang main filem
q. Perempuan ini telah menghubungi pihak polis
r. Kemudiannya, menurut SP1 4 orang polis sampai ketika perempuan itu sudah tiada dan membawa SP1 ke balai polis lalu SP1 membuat laporan
s. Pada sebelah malamnya, SP1 dibawa ke hospital untuk tujuan pemeriksaan

2) Hujah; keterangan SP1 pada peringkat pemeriksaan utama lagi tidak konsisten, berubah-rubah dan meragukan. Selepas diuji dengan soal balas dan juga dibandingkan dengan keterangan saksi pendakwaan yang lain, dihujahkan keterangan SP1 menjadi lebih “unreliable” lagi. Kupasannya dapat dilihat seperti berikut.

3) Pertamanya, mengikut keterangan, SP1 bukanlah di bawah umur sebagaimana peruntukan Seksyen 375 (f) Kanun Keseksaan. Ini bermakna, segala “conduct” SP1 sebelum dan selepas kejadian adalah relevan berkaitan isu “consent” (Seksyen 8 Akta Keterangan). Selanjutnya, mahkamah perlu meneliti samada keterangan SP1 adalah konsisten sebagai seorang yang benar-benar dirogol secara paksa. Jika mahkamah ada keraguan mengenai isu “consent” dan “conduct” SP1 ini, maka mahkamah hanya mempunyai satu pilihan iaitu untuk membebaskan OKT pada tahap ini. Isu “consent” ini adalah “question of fact”.
4) “Approach” yang perlu mahkamah ambil adalah; melihat samada keterangan SP1 kredibel atau tidak, barulah isu “corroboration” samada wujud atau tidak timbul. Perlu juga dijelaskan di sini, bahawa SP1 bukanlah mangsa yang “bebas”, iaitu tiada sebarang motif untuk membuat laporan polis. Berdasarkan keterangan beliau sendiri, beliau telah lari dari majikan, tiada dokumen pengenalan diri dan ada pengetahuan beliau boleh ditangkap polis. Berdasarkan keterangan IO (SP5), SP1 berada dalam jagaan Asrama Kedutaan Indonesia sejak tarikh dijumpai sehinggalah selesai memberikan keterangan, dan bukannya ditahan di penjara kerana kesalahan tiada dokumen.

5) Daripada keterangan adalah jelas bahawa wujud satu “set of facts” yang relevan tentang isu “consent” ini iaitu keterangan mengenai lelaki India. Insiden ini berlaku kurang 24 jam daripada kejadian melibatkan OKT. SP1 telah mengikut lelaki yang tak dikenali ini sehingga bermalam di sebuah hotel atas alasan tawaran kerja. Menurut SP1 lagi, lelaki ini ada cuba merogol beliau tetapi beliau berjaya tahankan. Beliau malah sanggup bermalam bersama lelaki itu selepas cubaan rogol itu malah memaafkan lelaki itu. Beliau juga tidak cuba melarikan diri semasa lelaki itu meninggalkan bilik lebih kurang sejam. Yang mengejutkan lagi, SP1 mengejutkan lelaki itu dan meminta izin untuk keluar walhal lelaki itulah yang cuba merogolnya atas alasan budaya beliau dan kerana berasa telah ditolong.

6) Hujah; keterangan SP1 pada peringkat ini lagi sudah tidak munasabah dan tidak masuk akal. “Common sense” meminta akal waras kita menyimpulkan mesti telah berlaku sesuatu antara SP1 dan lelaki India itu apatah lagi ada cubaan untuk merogol SP1 sebelumnya di bilik hotel yang sama. SP1 sepatutnya melarikan diri apabila ada peluang dan bukannya bermalam dengan orang jahat sehingga pagi esoknya. Kredibiliti SP1 sudah hancur di tahap ini lagi. Apatah lagi di mahkamah, SP1 mendedahkan bahawa lelaki India itu cuba merogol beliau, mengapakah perbuatan itu tidak dilaporkan kepada pihak polis? Jadi, “conduct” SP1 awal-awal lagi sudah tidak konsisten dengan seorang wanita yang bermaruah yang tidak mungkin melakukan hubungan seks dengan mana-mana lelaki yang dijumpai.

7) Sebagai reaksi normal dan lojik, SP1 sepatutnya tidak mengikut lelaki India ini awal-awal atau paling teruk pun melarikan diri selepas cuba dirogol. Perlu diingat, lelaki India itu tidak memaksa atau mengugut SP1 semasa mengajaknya ke hotel serta SP1 juga tidaklah dalam keadaan terdesak. Penjelasan beliau adalah beliau ikut kerana tidak ada orang lain yang menawarkan kerja, itu sahaja. Di manakah kredibiliti SP1 yang kemudiannya menuding kesalahan kepada OKT pula? Wajarkah mahkamah bergantung kepada keterangan saksi yang sebegini untuk menghumban OKT ke penjara? Jika mahkamah ragu-ragu pada kebenaran cerita SP1, maka mahkamah tidak perlu mendengar apa-apa penjelasan dari OKT.

8) Keterangan mengenai “prior conduct” SP1 juga adalah bahawa OKT tidak pernah menggunakan kekerasan ataupun paksaan mahupun ugutan semasa mengajak SP1 mencari kerja. SP1 juga mengatakan ada singgah di stesen minyak untuk mengisi minyak dan beliau disuruh mandi. SP1 akui ada masanya beliau tidak dilihat oleh OKT semasa di stesen minyak itu. SP1 juga hanya menyedari OKT berniat serong selepas berada jauh di dalam hutan yang jaraknya 3 kilometer dari jalan besar.

9) Hujah; jika benar SP1 tidak merelakan perbuatan OKT, “resistance” beliau harus ditunjukkan awal-awal lagi, apatah lagi bukankah beliau baru sahaja mengalami episod buruk malam sebelumnya cuba dirogol? Adakah beliau tidak belajar dari kejadian itu apatah lagi OKT juga menggunakan modus operandi yang sama dengan lelaki India itu yakni menawarkan untuk mencari kerja. Beliau juga bukan dalam keadaan terdesak, wujud orang ramai di stesen bas termasuk wanita dan beliau jelas ada duit (beliau ada berikan duit kepada OKT untuk mengisi minyak). OKT juga tidak mengugut atau menggunakan sebarang senjata terhadap SP1. Tambahan pula, tempat di mana mereka berjumpa adalah tempat awam di mana wujud ramai orang, SP1 boleh menolak atau meminta bantuan dari orang ramai dengan mudah.

10) Hujah; “conduct” yang tidak konsisten dengan mangsa yang tidak rela ini berterusan apabila SP1 tidak menggunakan peluang melarikan diri atau meminta pertolongan sesiapa yang ada di situ. Beliau malah membantu OKT dengan memberi wang untuk mengisi minyak. Beliau tidak syak lagikah ketika ini apatah lagi OKT ada menyuruh beliau mandi di situ. Adakah beliau sebenarnya setuju dengan kejadian yang berlaku? Paling mengejutkan adalah SP1 menyatakan bahawa beliau hanya sedar apabila sudah berada jauh ke dalam hutan iaitu melihat tiada orang Indonesia di situ. Bukankah dari jalan besar ia mengambil lebih kurang 3 kilometer, melalui jalan yang kecil dan motorsikal dipandu perlahan-lahan serta ada hutan di kiri dan kanan semasa dalam perjalanan itu?

11) Selanjutnya, SP1 mengatakan bahawa beliau dipukul di kepala dengan “helmet” dan juga dipukul di muka dengan tangan. Beliau akui pukulan itu kuat, beliau sakit dan wujud kesan benjol. Namun, apabila dibandingkan dengan keterangan doktor dan juga laporan perubatan, semua dakwaan SP1 ini tidak wujud langsung. Yang ada hanyalah kesan gigitan di leher yang juga konsisten dengan “love bite”.

12) “Conduct” SP1 selepas kejadian juga amat meragukan. Beliau mengatakan terjumpa dengan seorang lelaki yang mengaku polis. Lelaki ini ada pegang-pegang badan SP1 sambil menunggang motorsikal dan kemudiannya meninggalkan SP1 di tepi jalan.

13) Hujah; pertamanya, bagaimanakah SP1 boleh diraba dalam keadaan lelaki itu menunggang motorsikal dan SP1 berada di belakang? Apa pula tindakan SP1 untuk melawan atau melarikan diri? SP1 tidak berbuat apa-apa. Yang paling penting juga adalah keterangan mengenai lelaki ini tidak dimasukkan ke dalam laporan polis SP1 walhal dia juga ada melakukan kesalahan cabul terhadap SP1.

14) Rumusan yang boleh dibuat adalah wujudnya 3 orang yang telah melakukan kesalahan jenayah terhadap SP1, tetapi SP1 telah “pick and choose” OKT sahaja. Kedudukan 2 lagi lelaki juga sama yakni tidak dikenali oleh SP1 dan OKT juga hanya ditangkap beberapa bulan kemudian kerana disyaki terlibat dalam kes yang lain. Apakah jaminan bahawa SP1 tidak membesar-besarkan cerita terhadap OKT apabila beliau mudah sekali untuk tidak mendedahkan kesalahan 2 orang lagi kepada pihak polis? Hujahkan keterangan yang bersifat selektif sebegini patut dilihat oleh mahkamah dengan waspada.

15) Hujah; secara keseluruhannya, berdasarkan “surrounding circumstances” dan “conduct” SP1 sebelum dan selepas kejadian, mahkamah tidak dapat membuat satu penemuan fakta bahawa SP1 tidak merelakan perbuatan yang berlaku. “Circumstances” dalam kes ini tidak konsisten dengan kewujudan ketidakrelaan yang dikemukakan melalui keterangan lisan SP1 semata-mata. Rujuk kes Hassan. Tanpa keterangan pengadu yang kredibel, kes pendakwaan tidak boleh “sustain”. Ini adalah prinsip yang jelas. Rujuk kes Ab Malek bin Atan v PP [2002] 4 MLJ 84. Tambahan pula, pihak pendakwaan tidak memperbaiki keterangan SP1 in di dalam re exam.

16) Keduanya; jika sekalipun mahkamah mendapati keterangan SP1 yang sebegini masih lagi kredibel, adakah wujud sebarang “corroboration” bagi menyokong keterangan SP1 ini? Kedudukan autoriti mengenai kewujudan “corroboration” ini adalah “settled”. Rujuk kes. Fakta dalam kes ini; keterangan berkenaan “consent” atau tidak mangsa perlu dicorroborate. Rujuk kes. Ini dibezakan dengan kes yang “genuine” yakni OKT perlu “rebut” atas imbangan kebarangkalian.

17) Keterangan “corroboration” yang pertama sekali yang boleh wujud adalah samada wujudnya “evidence of distress” pada SP1 sebaik sahaja selepas kejadian. Dalam kes kita, mahkamah telah “deprived” daripada mendapat keterangan terbaik daripada wanita yang didakwa membantu SP1 menghubungi pihak polis. Jadi, yang tinggal hanyalah SP2 iaitu anggota “patrol car” yang menjumpai SP1. Menurut SP2, tiada apa-apa yang luar biasa pada SP1, cuma beliau macam dalam keadaan ketakutan. Perlu diingat SP1 ada pengetahuan yang beliau boleh ditangkap polis, jadi ada 2 inferens di sini samada ketakutan itu akibat kejadian rogol atau ketakutan ditahan pihak polis? Inferens yang memihak kepada pembelaan mesti dipilih oleh mahkamah. Apatah lagi pihak pendakwaan tidak memperjelaskan keterangan ini semasa pemeriksaan semula.

18) Melalui keterangan SP2 juga didapati beliau tidak perasan samada adanya kesan darah pada pakaian, kesan merah di leher atau apa-apa kecederaan yang lain. Tiada juga keterangan samada SP1 menangis, bajunya kusut masai atau terkoyak, keadaan rambut yang bagaimana dan tidak ada apa-apa “evidence of distress” yang wujud. Jika keterangan ini ada, SP2 mesti telah merekodkannya di dalam laporan beliau kerana ia adalah sejurus selepas kejadian. “At best”, keterangan mengenai keadaan ketakutan ini bersifat neutral yang tidak mampu “corroborate” keterangan SP1 yang mendakwa baru sahaja dirogol. Alasan SP2 tidak ingat atau tidak perasan tidak boleh diterima melainkan memang benar-benar tidak ada langsung apa-apa yang signifikan pada tubuh badan SP1. Rujuk kes.

19) Mahkamah yang mulia ini juga telah “deprived” sekali lagi mengenai keterangan sokongan “distress” ini apabila pihak pendakwaan tidak memanggil anggota polis yang merekodkan laporan SP1. Mungkin ada keterangan di situ namun mahkamah kini dalam keadaan meneka-neka samada wujud atau tidak.

20) Ketiganya; adakah ada “independent corroboration” daripada keterangan saksi lain? Jika dilihat keterangan doktor (SP4), beliau tidak ingat keadaan SP1 semasa dibawa berjumpa beliau pada malam kejadian. Beliau hanya mengatakan adanya kesan gigitan di leher SP1 dan kesan koyakan baru pada hymen SP1 pada jam 3, 5 dan 8. Ini disahkan oleh laporan perubatan yang dikemukakan.

21) Hujah; keterangan SP4 tidak mampu untuk “corroborate” keterangan SP1. “At best” ia bersifat neutral. Menurut SP4, beliau tidak dapati apa-apa kecederaan pada kepala atau muka mangsa. Tiada juga sebarang “defensive wounds” pada badan mangsa. Bukankah SP1 mengatakan beliau ada melawan sampai “helmet” OKT jatuh ke jurang? Tiada keterangan mengenai keadaan pakaian SP1 samada koyak atau kusut masai begitu juga dengan keadaan rambut. SP4 juga setuju kesan merah di leher boleh disebabkan oleh “love bite” juga. Apabila dirujuk gambar P1(d), SP4 mengatakan jika kejadian rogol berlaku di atas “surface” sebegitu, mesti ada kesan calar di belakang SP1. SP4 juga mengatakan koyakan pada hymen berlaku kurang dari 72 jam, maka kemungkinan ia diakibatkan oleh orang lain (lelaki India) tidak dapat diketepikan.

22) Keterangan SP4 bukan sahaja tidak menyokong SP1 malah bercanggah dengan keterangan SP1. Perlu diingat SP1 mengatakan beliau berbogel semasa OKT memasukkan kemaluan atas permukaan yang kasar. SP1 juga mendakwa ada kesan darah pada pakaian dan seluar dalam. Tambahan pula SP1 datang ke hospital dengan pakaian lengkap yang sama dengan semasa kejadian, tetapi SP4 tidak jumpa apa-apa. SP4 juga tidak jumpa sapu tangan biru yang SP1 dakwa tertinggal di hospital yang digunakan untuk menahan darah di kemaluan. Paling memburukkan keadaan adalah pengakuan SP4 bahawa laporan beliau mengenai kesan lebam di leher pun adalah hasil pemeriksaan pegawai perubatan di bahagian kecemasan yang beliau “cut and paste” ke dalam laporan beliau.

23) Hujah; tidak mungkin SP4 cuai dengan tidak merekodkan apa-apa kecederaan terutamanya pada bahagian kepala dan belakang seperti yang didakwa oleh SP1. Pemeriksaan dilakukan kurang 24 jam dari kejadian, jika keterangan ini wujud, ia mesti disedari oleh SP4. Ini bermakna keterangan SP1 mengenai kecederaan atau kesan darah tidak disokong oleh keterangan SP4 malahan bercanggah pula yang menimbulkan lagi keraguan ke atas kredibiliti mangsa. Keterangan SP5 mengesahkan beliau tidak merampas pakaian mangsa sebaliknya terus membawa SP1 berjumpa doktor dengan pakaian asal.

24) Keterangan IO (SP5) kes pula mengatakan semasa berjumpa SP1, beliau menangis, sedih dan ketakutan. Sekali lagi keterangan pendakwaan tidak jelas adakah keadaan ini disebabkan dirogol atau kerana ditangkap polis. Mahkamah hanya boleh membuat keputusan berdasarkan “positive evidence” dan bukannya andaian. SP6 mengatakan tidak nampak apa-apa kecederaan fizikal pada SP1. Jadi, sekali lagi keterangan SP1 mengenai kecederaan yang berkait rapat dengan elemen “consent” tidak disokong oleh IO sebagai antara orang yang terawal berjumpa dengan SP1.

25) Keempatnya, wujud kelemahan lain dalam kes pendakwaan. Jika secara sendiri mungkin tidaklah fatal, tetapi jika digabungkan menyebabkan tidak selamat untuk mahkamah ini bergantung kepadanya. Jika diteliti keterangan kawad cam adalah jelas bercanggah dengan IGSO dan “irregular”. Daripada 10 peserta kawad cam, hanya 3 sahaja yang lebih kurang sebaya dengan OKT. Manakala 5 peserta berumur 19 tahun ke bawah dan 2 lagi berusia 35 dan 45 tahun sedangkan OKT berusia 27 tahun. Ini jelas telah mencacatkan pengecaman yang dibuat. Tambahan pula, OKT adalah “stranger” kepada SP1 dan kawad cam dibuat lebih kurang 2 bulan selepas kejadian.

26) Selanjutnya, tidak ada langsung keterangan mengenai pengambilan sampel samada dari SP1 ataupun OKT. Tiada keterangan mengenai adanya ujian DNA dibuat. Perlu diingat SP1 dibawa dalam keadaan asal dengan pakaian yang sama oleh SP5 berjumpa doktor selepas beberapa jam sahaja dari kejadian. Namun, tiada usaha langsung untuk mengambil “swab” atau sampel dari SP1. Jika benar OKT yang melakukannya sudah pasti DNA beliau masih wujud sekurang-kurangnya di bahagian dalam kemaluan SP1. Kecuaian oleh pihak IO dan doktor ini tidak wajar ditanggung oleh OKT. Ataupun berkemungkinan wujudnya DNA orang lain (lelaki India) tidak juga dapat diketepikan oleh pihak pendakwaan. Kegagalan ini tanpa sebarang penjelasan kepada ujian DNA tidak dibuat adalah fatal kepada kes pendakwaan.

PENUTUP

1) Berdasarkan alasan-alasan yang dikemukakan, adalah dihujahkan setelah penilaian yang maksimum diberikan secara keseluruhannya pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap OKT dan dengan itu kami memohon agar OKT dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri.

2) Tugas mahkamah yang mulia ini adalah untuk memutuskan berdasarkan keterangan yang “available” sahaja. Ketiadaan keterangan pengadu atau “gap” yang timbul di kes pendakwaan bukanlah sesuatu yang mahkamah perlu untuk memperbaikinya. Rujuk kes PP v Saimin & Ors. [1971] 2 MLJ 16.

Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh:



Peguambela OKT
5 OGOS 2009.

Comments

  1. Nak kena keje dgn CSI lah lepas nih.. boleh buat sampel menyampel..!

    ReplyDelete
  2. Saudara alif lam,

    Mesti menarik kerja CSI, tapi jadi loyar pun boleh buat sampel menyampel hujahan.

    ReplyDelete
  3. Siapa accused? Lelki India, Lelaki Melayu dlm hutan? Maaf larat baca sampai para.7 Analisa Kes Pendakwaan ajer.

    ReplyDelete
  4. Abdullah AR,

    OKT adalah lelaki Melayu. Wujud 2 lagi saspek yang turut melakukan kesalahan jenayah kepada mangsa; lelaki India yang membawa mangsa ke hotel dan lelaki menyamar polis di hutan. Walaupun mahkamah tidak memberikan alasan semasa acquit OKT, saya percaya ia mainly disebabkan kredibiliti mangsa yang hancur akibat keterangan yang bersifat pick and choose.

    ReplyDelete
  5. Bravo..memang bagus submission bro. Panjang berjela jugak....aku sempat baca..tapi bahagian last dah tak larat...hahaha... at least dapat tambah ilmu .. hehe bila jumpa klien tanya pasal kes rogol...

    ReplyDelete
  6. Bro Ajay,

    Terima kasih. Ilmu yang ada perlu dikongsi agar semua kita sama2 menjadi loyar yang berjurus.

    ReplyDelete
  7. boleh naik fi lagi lepas ni. dah tambah profail acquit

    ReplyDelete
  8. guilty as charged!!

    eh eh silap masuk court la... he he he acquitted!

    nak wat camana ISA pya judge!

    ReplyDelete
  9. saudara Zul,

    alhamdulillah, ada rezki Allah bagi tak perlu runsing

    ReplyDelete
  10. Saudara doremon,

    Dalam kes ini ada unsur2 ISA sikit di pihak hakim yang menolak permohonan saya untuk menangguhkan kes walaupun surat sudah dihantar. Namun, beliau menghubungi saya secara peribadi dan minta kes dijalankan. Dalam keadaan tidak berapa bersedia kurang dari 48 jam, saya berjaya menyiapkan hujahan ini dan hasilnya....A & D.

    ReplyDelete
  11. kalau dah aura emas peringkat kesembilan di dada, gitulah jadinya he he he. bertempur, anytime bebeh anytime...:-)

    ReplyDelete
  12. Saudara doremon,

    Saya tidak mengaktifkan hikmat tahap maksimum kerana saya berhadapan dengan seorang dpp yg agak junior..jurus2 saya hanya secukup rasa sahaja tapi memadai.

    ReplyDelete
  13. He he ..Cam pernah tengok n buat je,Lama doh tok buat seme ni...kalau tak sampai tak larat nak layan.

    ReplyDelete
  14. Kak ct,

    Mesti hujahan ini biasa saja pada kak ct, mungkin rezki dan luck saya berjaya dalam kes ini.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA