DALIL KENAPA KES JENAYAH TIDAK WAJAR DIKOMPROMI DENGAN KPI




Salam,

KPI (key performance index) bermula sebagai satu perkara yang positif. Di dalam arena kemahkamahan, saya percaya ia bertujuan untuk mempercepatkan proses pelupusan kes, menyaring mereka yang berkualiti untuk dipacu ke depan di samping mengenepikan tunggul -tunggul kayu yang wujud selama ini. Justru, dengan pengejaran yang bersungguh-sungguh kepada KPI ini, maka persepsi masyarakat terhadap mahkamah iaitu mahkamah seperti mahkamah kanggaru dan satu lagi komponen parti pemerintah dapat dikikis. Namun, selepas beberapa purnama ia berjalan, nampaknya penawar mujarab yang diharap-harap untuk mengubat kanser yang wujud di mahkamah; di masa yang sama mungkin menjadi racun berbisa yang boleh mengundang parah terutamanya jika dikaji perlaksanannya di dalam perjalanan kes-kes jenayah.

Dalam keterbatasan ini, biarlah saya menyenaraipendekkan beberapa dalil kenapa KPI ini nampaknya lebih mendatangkan aspek negatif berbanding positifnya. Yang positif tak perlulah saya sentuh, lagipun saya tak ada orang atasan untuk dilaporkan apa-apa. Lebih baik kita menelan yang pahitnya agar jelas kesan buruk KPI di samping dapat mengetuk minda pendokong kewujudan KPI ini.

Pertamanya, fahamlah wahai pendokong KPI bahawa kes jenayah mempunyai nature yang unik dan istimewa berbanding kes sivil, syariah, eksiden, perbankan dan lain. Ia melibatkan 2 perkara yang paling penting dalam hidup seseorang; iaitu nyawa dan kebebasan. Ini bermakna pihak-pihak yang terlibat sewajarnya memberikan tumpuan yang lebih dan masa yang secukupnya sebelum sesuatu keputusan untuk mencabut nyawa seseorang (ya, menjadi tuhan di sini) atau menyeksa seseorang di sebalik tirai besi, dibuat. Keputusan yang maha besar (dan boleh menjadi maha berdosa) ini hendaklah dicanai dengan kombinasi pendakwaan yang baik, pembelaan yang berkualiti dan semestinya penilaian yang maksima dan menyeluruh di pihak mahkamah (masih ingat kes Loo Kow Chai?).

Keduanya, KPI itu sendiri adalah satu penilaian yang kurang tepat dalam menentukan kebagusan atau kehampasan seseorang pegawai itu. Adakah kadar pelupusan kes yang laju dan banyak setiap bulan adalah indikator pegawai itu cekap dan rajin ataupun itu indikator beliau seorang yang cincai dan tidak bertimbangrasa dalam mengendalikan kes? Sebaliknya, adakah pegawai yang kurang kadar pelupusan kesnya menunjukkan beliau malas dan kurang dedikasi ataupun sebenarnya beliau orang yang teliti dan mementingkan kualiti? Sebab itulah saya percaya kaedah menentukan prestasi pegawai hendaklah melangkaui nombor (KPI) atau borang (SKT); sebaliknya dilakukan secara berterusan dan bersepadu mengambilkira pandangan lebih daripada 1 pihak termasuklah immediate boss.

Ketiganya, adalah sukar untuk mengukur kualiti pendakwaan, penghakiman mahupun pembelaan di dalam kes jenayah disebabkan nature kes jenayah yang unik, ia menghasilkan variasi antara setiap kes itu sendiri. Setiap kes akan mempunyai masalah yang berbeza. Contohnya ada kes yang ada masalah dari segi saksi, ada yang bermasalah dari segi barang kes dan ada yang mempunyai masalah dari segi hakim itu sendiri yang mengamalkan prinsip "I don't care" dan kadang-kadang memakai 3 topi (atau songkok) sekaligus! Jika bilangan kes yang sama diberikan kepada setiap pegawai sekalipun (rasanya bilangan pun tak sama), masih lagi ukuran efisyennya pegawai itu tidak boleh diukur pada nombor semata-mata tanpa menghayati aspek variasi yang wujud pada setiap kes itu.

Keempatnya, sudah berlaku beberapa kali situasi di mana hak OKT dinafikan oleh mahkamah dek kerana mengejar KPI ini dan bertunjangkan alasan; "postponement is a big NO". Ada mahkamah yang menolak permohonan penangguhan yang diberikan lebih awal secara bertulis walaupun alasannya munasabah. Ada mahkamah yang memberikan tarikh sambung bicara secara "unilateral" tanpa merujuk kepada pihak-pihak. Ada mahkamah yang menolak permohonan (sepatutnya makluman) oleh peguam menarik diri dan memaksa peguam meneruskan khidmat. Yang paling teruk sekali, ada mahkamah meneruskan bicara walaupun peguam tiada termasuklah di dalam kes-kes gantung. MasyaAllah! Apa sangat yang hendak dikejar ini? Di manakah prinsip keadilan yang dijunjung selama ini? Kenapa persetankan hak OKT dan memaksanya menjalankan kes sendiri termasuklah berhujah sendiri walaupun tiada peguam yang mewakili? Sanggupkah menanggung dosa membuat keputusan yang zalim kerana tidak memberikan peluang sepatutnya kepada pihak-pihak?

Ketidakadilan yang sama dihempapkan ke atas pendakwaan juga. Sudah kurang peluang yang diberikan untuk mengesan saksi dan sebagainya. Sudah sedikit masa yang diberikan untuk persediaan sesuatu kes sehinggakan kualiti pendakwaan yang bersifat mee segera ini sangat menyedihkan dan mendatangkan kezaliman pula kepada pengadu atau mangsa di dalam kes itu. Apabila kes-kes ini dibuang atau di DNAA kan, maka leher para DPP ini pula yang akan disembelih oleh orang atasan mereka. Adilkah begitu? Sudah ada mahkamah yang tidak menerima alasan sakit yang diberikan dan ramai yang masih ingat sudah ada seorang doktor disapina memberikan keterangan mengenai MC seorang DPP oleh seorang hakim.

Sebaliknya, ramaikah kalangan hakim yang memaklumkan "before hand" kepada DPP atau peguam yang mereka tidak sihat, bercuti atau berkursus atas dasar timbangrasa dan "courtesy " yang sepatutnya sama diamalkan? The same rule should apply to each officer of the court including those on the bench. Kita tidaklah mengharapkan bahawa hakim itu menelefon kepada pihak-pihak memaklumkan bercuti, namun sekurang-kurangnya cubalah memahami mereka yang di bawah ini dengan cuba memberikan makluman yang munasabah. Yang sedihnya, spesies hakim berjurus sebegini sudah hampir pupus. Yang selalu berlaku adalah pihak DPP, peguam, saksi, polis dan seluruh dunia berada dalam keadaan hampa apabila tiba-tiba kes terpaksa ditangguhkan dek kerana ketiadaan hakim.

Akhir sekali, saya dapati (its slowly becoming a judicial notice) bahawa sikap timbang rasa, "mutual respect" dan "courtesy" sudah mula menghakis akibat obsesi melampau terhadap KPI ini. Sesi mahkamah dipanjangkan hingga pukul 6 lebih walaupun semuanya keletihan, kepanasan (kerana air-cond centralised dah tutup) dan kelesuan minda. Notis makluman perubahan tarikh atau penetapan tarikh sudah mula bertukar wajah menjadi seperti pekeliling atau arahan perkhidmatan; tak perlu rujuk dahulu, tetapkan saja dan maklumkan pihak-pihak kemudian tanpa mengira lapang atau tidak. Malahan, sudah ada makluman perubahan tarikh disampaikan melalui telefon sahaja dengan ayat-ayat seperti "Yang Arif nak awalkan kes tahun depan tu ke minggu depan bicaranya, kami call nak maklum saja ni".

Keputusan-keputusan bercirikan Hitler makin rancak diberi seperti hujahan serta-merta selepas menutup kes, memaksa menutup kes walaupun saksi tak hadir dengan alasan serta mengarahkan peguam MOB soal balas bagi peguam yang sepatutnya walhal peguam itu datang untuk MOB bagi menangguhkan kes sahaja. Ini belum dikira penetapan tarikh yang berterusan dan terlalu dekat tanpa mengira kesibukan DPP atau peguam dengan kata-kata manisnya "kena ikut jadual mahkamah, kalau ikut jadual peguam tahun depan pun tak free".

Sebagai penutup, saya ibaratkan KPI bagi kes jenayah ini seperti Panadol. Asalnya adalah ubat tetapi obsesi melampau terhadapnya tanpa mengira kewajaran atau tidak akan membawa penyakit seperti batu karang. Saya percaya, jika kita melakukan tugas dengan dedikasi dan bertimbangrasa; kita akan dihargai bukan sahaja oleh orang atasan kita, malahan juga mereka yang berada di bawah dan juga mungkin lawan kita. Stop this KPI obsession for the sake of justice. Rakan-rakan yang punya kesedaran, cubalah untuk mengurangkan impak negatif perlaksanaan KPI ini semoga kes jenayah tidak akan menjadi seperti satu lagi "mechanical process". Berkata benar walaupun pahit. Wassalam.

Comments

  1. Ketika ini, satu tempoh peralihan yang boleh dikategorikan positif sedang berlaku. Sebagai sebuah badan bebas yg berkuasa, menjadi keperluan umum bahawa mesej yang cuba disampaikan adalah jelas dan untuk kebaikan semua pihak.

    Namun, tindakan proaktif ini perlu diimbangi dengan beberapa keperluan agar semua pihak dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing lebih efektif dan seterusnya membantu keperluan KPI tersebut.

    Contoh, peguam yang dilantik mahkamah menerima bayaran yang selayaknya berdasarkan perkhidmatan profesional mereka. Pendakwa, menerima insentif sewajarnya atas pengorbanan mereka melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi. Polis, tidak terlalu dibebankan dengan bidang tugas yang pelbagai.

    Maka, kita semua akan dapat memberikan yang terbaik, dan mereka turut dapat mencapai KPI masing-masing.

    ReplyDelete
  2. Saudara anonymous,

    Terima kasih atas pandangan saudara. Tahniah kerana saudara masih optimis dengan KPI. Saya akui ada positifnya KPI namun aspek perlaksanaan yang tidak seimbang seperti yang saudara katakan mestilah digantikan dengan yang lebih seimbang.

    ReplyDelete
  3. Oppss..terkomen sebagai anonymous pulak.

    ReplyDelete
  4. salam imam

    "justice hurried is justice burried" as you said

    ReplyDelete
  5. Salam saudara Doremon,

    Thanks for the comment bro.

    ReplyDelete
  6. i believe trend justice hurried ni mulai menjelma semenjak dua menjak ni terutamanya selepas top 1 di dalam judiciary ketika ini menaiki takhta

    ReplyDelete
  7. Saudara anonymous,

    Seperti kata saudara, ia bukannya kebetulan dengan perlantikan CJ baru. Trend baru ini pada saya berniat murni cuma menyimpang di pertengahan jalan dek kerana perlaksanaan yang caca merba.

    ReplyDelete
  8. salam imam

    ni off topic sat. paper harini rata2 cover cerita report dr audit. yang banyak nya claims yang kelakar2 la ha ha ha. claim tayar la minyak la bonus la cuti la. yang best cuti taun 2007 approval tahun 2008 pun ada! donnia! donnia! however, i has no doubt you never did those haram claim! alhamdulillah

    ReplyDelete
  9. tak terkecuali opis aku terkena tempias dek audit report tu...isk isk...letih nak bersilat menepis ni...hang takdak jurus menepis yg baguih punyak tak, arif?

    ReplyDelete
  10. Salam saudara Doremon,

    Penyalahgunaan kuasa melalui dubious claim sebegini dah jelas lagi bersuluh sampai 1000% melebihi harga standard pun ada. Cuma, akan ada action atau tetap juga erectile dysfunction? Sebenarnya kita tak perlu tengok yang jauh, perkara sebegini melibatkan ramai antara kita; yang paling mudah adalah claim mileage dan masa saya dulu DPP adalah amalan write off saman. Walau satu sen pun kita makan sumber haram ini, tiada keberkatan dan api neraka aula bihi.

    ReplyDelete
  11. Saudara Shahrin,

    Hang pakai saja jurus mengkesampingkan kesalahan ke atas muka boss ataupun boleh juga jurus sniper iaitu menembak tepat ke atas batang hidung pelakunya.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

MITIGASI KES SEKSYEN 39A(2) AKTA DADAH BERBAHAYA

ADA APA DENGAN REPRESENTASI

HUJAHAN RAYUAN SEKSYEN 39A(1) AKTA DADAH BERBAHAYA